Ardell Aryana ditumbuk dimuka, rambut ditarik, PU Rahmat ‘dipaksa’ buka baju dengan tujuan dimalukan. “Ardell ditarik rambut dengan kasar selain ditumbuk di bahagian muka oleh tentera Israel sehingga mengalami kecederaan ketika rejim terbabit memintas kapal dinaiki sukarelawan itu,” kata peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin.
Menurut Fahmi, maklumat tersebut diperolehnya selepas beliau sempat berbual dengan Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin, sebaik tiba di Istanbul, Turkiye, hari ini.
Fahmi yang merupakan salah seorang daripada lima barisan peguam yang mewakili 23 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) turut memaklumkan bahawa beberapa sukarelawan lelaki juga berdepan layanan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis.
“Apa yang baharu saya dapat sedikit sebanyak maklumat sukarelawan GSF sebentar tadi antara perkara yang tidak berperikemanusiaan lain termasuk ada dua, tiga sukarelawan lelaki seperti PU Rahmat diarahkan membuka pakaian,” katanya.
Beliau turut berkongsi nasib dua aktivis wanita, Heliza dan Hazwani, yang diberikan air paip dari tandas untuk diminum sepanjang berada dalam tahanan.
“Heliza dan Hazwani pula diberikan minuman air paip dari tandas. Dalam penjara, airnya tidak bersih,” katanya.
Selain Fahmi, barisan peguam yang turut mewakili sukarelawan Malaysia ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.
Kesemua 23 aktivis kemanusiaan Malaysia itu ditahan oleh tentera Israel pada Khamis lalu dan dibawa ke penjara Ketziot yang terletak di padang pasir Negev.
Fahmi berkata, pihak peguam kini merancang untuk membawa isu kekejaman rejim Israel ke peringkat antarabangsa dengan memfailkan hasil siasatan terhadap rejim Zionis ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Kami akan dapatkan maklumat terperinci apabila pulang ke Malaysia. Apa yang boleh dilakukan terhadap rejim Zionis ialah kita cadang untuk mengambil semua bukti dan keterangan sukarelawan ini.
“Kemudian kita bercadang untuk memfailkan satu laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).
“Dengan adanya bukti ini kita boleh beri tekanan politik dan desak siasatan terperinci dibuat terhadap rejim Zionis dan failkan siasatan melalui ICC,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Artikel lain: Ardell Aryana Antara Aktivis Yang Direntap Hijab, Kemeja-T Jadi Pengganti Penutup Kepala
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE