Ardell alami tekanan darah rendah, tangan Haikal cedera dipijak, dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Dua aktivis Malaysia, Ardell Aryana dan Haikal Abdullah yang terbabit dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), kini sedang dirawat di sebuah hospital di Istanbul selepas mengalami kecederaan akibat tindakan ganas tentera Zionis.
Perkara itu disahkan oleh Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin, ketika dihubungi Buletin TV3 malam ini.
Menurut Fahmi, kedua-dua aktivis itu antara mangsa kekasaran tentera Israel ketika penahanan dilakukan di perairan antarabangsa.
“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan. Ketika ditahan, rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di bahagian muka.
“Mungkin disebabkan itu keadaannya agak lemah dengan tekanan darah rendah. Haikal pula mendakwa beliau dipijak oleh tentera rejim Zionis di bahagian tangan sehingga menjejaskan beberapa jarinya. Beliau kini memerlukan rawatan lanjut,” katanya.
Tambah Fahmi, selain Ardell dan Haikal, beberapa aktivis lain turut mengalami layanan tidak berperikemanusiaan termasuk PU Rahmat, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Namun, beliau memaklumkan bahawa aktivis Malaysia lain berada dalam keadaan baik selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Turkiye semalam.
Menurutnya lagi, CENTHRA akan meneliti dan mengambil keterangan daripada semua aktivis sebaik mereka pulang ke tanah air bagi mendokumentasikan segala bentuk kekejaman yang berlaku.
“Keterangan itu termasuk pengalaman mereka di atas kapal, ketika ditahan, sehinggalah dikeluarkan daripada Penjara Ketziot.
“Kronologi berkaitan penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan. Jika bukti mencukupi, kami bercadang memfailkan aduan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi memberi tekanan kepada Israel.
“Sekiranya tekanan antarabangsa berjaya diwujudkan, tindakan lanjut termasuk siasatan dan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh diambil,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Artikel lain: Ardell Aryana Ditumbuk Dimuka, Rambut Ditarik, PU Rahmat Dipaksa Buka Baju Dengan Tujuan Dimalukan
Ardell Aryana Antara Aktivis Yang Direntap Hijab, Kemeja-T Jadi Pengganti Penutup Kepala
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE