Genap 25 tahun usianya hari ini, pelakon jelita Anna Jobling memilih untuk meraikannya dengan penuh kesyukuran.
Bintang drama fenomena Melur Untuk Firdaus itu menzahirkan ucapan terima kasih yang paling istimewa, buat insan yang melahirkannya, ibunda tercinta, Ariz Arop.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Anna atau nama penuhnya Anna Elissa Gustin memuat naik foto kenangan zaman kanak-kanak, seakan membawa dirinya dan para peminat mengimbau kembali perjalanan seorang anak membesar di bawah payung kasih seorang ibu.
“Terima kasih banyak-banyak di atas semua ucapan hari lahir. Anna baca semuanya, dan setiap mesej amat bermakna buat saya.
Terima kasih juga buat mama kerana melahirkan dan membesarkan adik. Adik doakan mama sentiasa diberkati dan dilindungi Allah,” tulisnya dengan penuh kasih.
Anna turut merakam penghargaan buat rakan-rakan serta peminat yang tidak putus-putus menitipkan ucapan dan doa sempena hari istimewanya.
Mengakhiri pesanan itu, pelakon berdarah kacukan ini meluahkan rasa bertuah kerana dikelilingi insan-insan hebat, sambil memohon doa agar langkahnya ke fasa baharu kehidupan dipermudahkan.
“Doakan yang terbaik untuk Anna dalam melangkah ke fasa baru ini,” katanya, penuh harapan.
Bagi para peminat, ulang tahun Anna bukan sekadar meraikan pertambahan usia, tetapi juga menyaksikan bagaimana seorang wanita muda terus melangkah penuh yakin, berpaut pada kasih keluarga, dan menghargai setiap insan yang mewarnai hidupnya.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE