“Anak Saya Muhammad Ammar Dah Kembali Ke Negeri Asal…” – Kanak-Kanak 7 Tahun Meninggal Dunia Selepas Seminggu Bertarung Nyawa

Share

Hati siapa yang tidak luluh… setelah seminggu bertarung nyawa akibat cedera parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya sendiri, akhirnya Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), jam 3.02 petang tadi.

Berita pemergian ini dikongsi penuh pilu oleh kedua-dua ibu bapanya melalui status WhatsApp. Bapanya, Muhammad Badrul Rameli, 31, menulis ringkas tetapi cukup meruntun jiwa.

“Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar dah kembali ke negeri asal… sama-sama sedekahkan Al-Fatihah.”

Memetik laporan Harian Metro, Badrul hanya mampu mengucapkan terima kasih atas doa orang ramai sepanjang Ammar dirawat.

“Terima kasih, meninggal jam 3.02 petang,” katanya dengan suara yang tersekat-sekat menahan sebak.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/kanak-kanak-dipukul-bapa-saudara-dengan-tukul-belum-dapat-dipastikan-otak-ammar-akan-normal-atau-sebaliknya/

Ibu Ammar, Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, turut berkongsi rasa redha di sebalik kehilangan anak sulungnya itu. Semalam, beliau sudah dimaklumkan doktor untuk bersiap sedia kerana jantung Ammar terhenti selama 14 minit sebelum kembali berdegup.

Namun sebagai seorang ibu, Ayuni tetap menaruh harapan. “Walau tahu keadaan dia parah, kepala penuh jahitan, otak bengkak, saya tetap doa dan tunggu dia buka mata semula… tapi Allah lebih menyayanginya,”

luahnya, reda dalam pasrah.

Tragedi Yang Tidak Disangka

Khamis lalu, Ammar yang juga pelajar Tahun Satu cedera parah selepas dipukul berkali-kali dengan tukul oleh bapa saudaranya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat, Bachok. Mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala sehingga menerima lebih 50 jahitan dan mengalami pendarahan otak.

Suspek berusia 46 tahun itu kemudian ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi selepas melarikan diri sejauh tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Tiada kata yang mampu menggambarkan pedihnya kehilangan seorang anak. Untuk seorang ibu, kehilangan itu bukan sekadar pemergian,  ia bagaikan separuh jiwa yang pergi bersama.

Hari ini, kita diajak merenung bahawa hidup anak-anak adalah pinjaman yang sementara. Setiap senyum, setiap salam, setiap pelukan sebelum tidur adalah memori yang mungkin jadi penawar rindu sepanjang hayat.

Al Fatihah.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE 

Kuatkan Iman, Tenangkan Jiwa

Himpunan doa-doa penuh makna untuk menenangkan hati, memberi kekuatan, dan menjadi panduan di saat kehilangan.

Amalkan Doa Sekarang

Kuatkan Iman, Tenangkan Jiwa

Himpunan doa-doa penuh makna untuk menenangkan hati, memberi kekuatan, dan menjadi panduan di saat kehilangan.

Amalkan Doa Sekarang

Published by
Rosmah Idayu