Selebriti

Anak Norish Karman Dikecam Tidak Bekerja, “Tapi Siapa Nak Jaga Bunda Pula?”

Share

Menjadi dilema anak kepada Norish Karman, apabila dia ada meminta bantuan untuk kos rawatan ibunya yang diuji dengan penyakit kritikal baru-baru ini.

Anak Norish Karman Dikecam Tidak Bekerja

Menurut anak perempuan Norish Karman yang selesa dengan panggilan Manda, “Ramai yang kata, mintalah daripada ayah. Ada juga yang menghina, siapa suruh ibu kamu menjaga terlalu ramai anak? Pelbagai kata-kata dilemparkan kepada kami.”

Menerusi sesi siaran langsung di TikTok bersama usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri, Amanda tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan bagaimana dia menjadi sasaran penghinaan hanya kerana mahu mencari bantuan untuk ibunya.

“Siapa Nak Jaga Bunda Pula?”

Manda menyifatkan tempoh sukar itu sebagai ujian sangat mencabar mentalnya, terutama apabila dia dituduh tidak mahu bekerja sedangkan tanggungjawab menjaga ibu yang sakit terletak di bahunya.

“Sangat sukar apabila saya hendak meminta pertolongan untuk membayar bil perubatan bunda. Saya cuba sedaya upaya saya.

“Ada yang bertanya, mengapa kamu tidak bekerja? Hakikatnya, kerja saya sekarang ialah menjaga bunda. Jika saya tiada di sisi bunda dan sesuatu berlaku, siapa yang akan menjaga dia?” katanya.

Menurut Manda, kehidupannya kini hanya berkisar antara rumah dan hospital, malah, perlu menguruskan keperluan adik-beradik lain.

“Ketika bunda dimasukkan ke hospital, saya berulang-alik. Saya juga perlu menyediakan makanan untuk adik-beradik dan dalam masa yang sama menjaga bunda kerana dia tidak mampu ke tandas seorang diri,” katanya.

Tidak Mampu Berjalan

Dalam sesi yang sama, Aliff mendedahkan keadaan fizikal Norish yang kini tidak lagi mampu berjalan seperti biasa dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Menjelaskan keadaan itu, Norish memberitahu faktor kesihatannya yang merosot menyebabkan dia sering hilang imbangan.

“Kerana ketika saya menjalani rawatan ini, saya sering berasa pening. Sudah beberapa kali saya tergelincir dan terjatuh,” katanya.

Kisah pengorbanan keluarga ini bertambah hiba apabila anak lelaki Norish, Haqiem mendedahkan dia terpaksa melupakan cita-cita akademik demi menyara tujuh lagi adik-beradiknya yang lain.

Tak Sambung Sekolah Sebab Kewangan

Disebabkan kekangan kewangan yang meruncing, dia tidak mampu mengambil sijil persekolahan dan terus terjun ke alam pekerjaan sebaik tamat sekolah menengah.

“Saya tidak dapat mengambil sijil persekolahan kerana masalah kewangan. Selepas tamat sekolah menengah, saya terus bekerja sebagai cef.

“Sebanyak 99 peratus gaji saya disalurkan kepada adik-adik. Saya tidak mengambil walau satu sen pun untuk diri sendiri selama tujuh tahun bekerja,” katanya.

Walaupun dalam keadaan payah, Aliff menegaskan bahawa pelakon filem Sayang Salmah itu tegas dengan prinsipnya untuk tidak meminta sedekah.

“Norish Karman tidak meminta sumbangan kewangan. Dia sendiri berkata kepada saya, saya tidak mahu meminta duit daripada rakyat Malaysia, saya hanya mahu bekerja.

“Sebab itu saya bayar dia sebagai hos (untuk siaran langsung di media sosial),” katanya.

Sementara di media sosial Norish Karman pula, terlihat satu posting terkini tentang Norish Karman yang terbaring di hospital. Tulis anaknya,

Hari kemasukkan Emerhency room
Full check up menanti masik ward
Sakit itu Penghapus dosa
Ujian tanda Allah swt sayang kita

Maaf semua ya Manda dan adik beradik tersangat letih tak menang tanvan tak mampu balas mesej-mesej dan segala panggilan-panggilan yyang terus masuk. Manda jaga Bunda dan jaga adik-adik urus rumah.

Teruskan Doa yang baik-baik untuk bunda kami.

Slowly akan Manda kongsi memori-memori kami lalui semampunya ya.

Pesan Bunda, nak pada anak-anak;”Hidup ini hanya Ujian, Dunia ini Sementara…”

Begitulah sedikit luahan anak perempuannya di medsos, apa pun kita doakan yang baik-baik buat keluarga Norish Karman dan semoga kesihatannya semakin baik.

Sumber: Norish Karman

Published by
Nadia