Anak melompat gembira ibu dibebaskan, Eda Ezrin pulang selepas 9 bulan ditahan. Dua anak kepada penyanyi dikir barat moden Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail melompat kegembiraan sebaik mengetahui ibunya akan dibebaskan hari ini.
Menurut bapanya, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, cucu-cucunya yang berusia lima dan sembilan tahun begitu gembira selepas dimaklumkan bahawa ibu mereka telah dibebaskan dan akan kembali ke pangkuan keluarga.
“Semalam sebaik dua cucu pulang dari sekolah, saya memaklumkan kepada mereka bahawa ibunya sudah dibebaskan dan mereka dapat berjumpa dengan ibu hari ini.
“Ternyata dua anak Eda begitu gembira dan melompat keriangan kerana sudah terlalu lama memendam rindu untuk bersama ibu mereka.
“Namun pagi tadi dua beradik berkenaan masih pergi ke sekolah dan mereka akan datang ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang petang ini untuk menyambut kepulangan ibunya,” katanya.
Semalam, media melaporkan bahawa Eda Ezrin bersama lima individu lain, termasuk suaminya, telah dibebaskan dari Penjara Pusat Narathiwat, Thailand, selepas lebih sembilan bulan ditahan.
Pembebasan itu dibuat susulan kegagalan pihak pendakwa raya Thailand untuk mengemukakan saksi dan bukti bagi merayu kes tersebut, sekali gus membawa kepada keputusan mahkamah membebaskan mereka.
Terdahulu pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima yang lain termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, telah didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil Yaba serta penggunaan dadah.
Namun pada 6 Mac, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan berkaitan pemilikan dadah tersebut.
Pembebasan ini tentunya membawa kelegaan kepada keluarga dan para peminat Eda Ezrin yang selama ini menanti penuh harapan agar penyanyi itu dapat kembali bersama anak-anak dan keluarganya.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Eda Azrin Dibebaskan Dari Penjara Narathiwat, Tiada Bukti Kukuh Dikaitkan Dengan Pemilikan Pil Kuda
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE