
Dalam naluri seorang ibu, tiada apa yang lebih penting selain memastikan anaknya sihat, gembira dan membesar dengan baik. Namun, bagi pelakon dan usahawan terkenal, Mira Filzah, dirinya tidak terkecuali daripada menjadi mangsa komentar warganet apabila segelintir menuduh anak tunggalnya, Wan Khair Amir, kelihatan terlalu kurus dan cengkung.
Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, menepis dakwaan tersebut dengan tenang tetapi penuh tegas. Katanya, tubuh anak lelakinya itu adalah warisan genetik keluarga suami.
“Orang cakap anak nampak kurus, macam kurang makan. Eh, awak semua ni, komen macam-macam. Gemuk salah, kurus pun salah. Amir ni tinggi dan kurus sebab ikut bapa dia serta bapa-bapa saudaranya. Mereka semua tinggi enam kaki ke atas,” jelasnya.
Bagi Mira, keadaan tubuh Amir yang kini berusia tiga tahun lebih adalah sesuatu yang normal untuk kanak-kanak lelaki aktif.
“Dari kecil lagi badan Amir memang tinggi. Makan pun banyak, cuma biasalah… makan banyak, buang pun banyak. Lagi pula dia budak lelaki, setiap malam lepas mandi pun berpeluh sebab ligat bermain. Itu perkara biasa,” ujar bintang drama Mandul Bukan Pilihan ini.
Naluri Ibu, Sihat Itu Utama
Sebagai ibu, Mira lebih memilih untuk melihat kesihatan anaknya berbanding terikat dengan ukuran fizikal. Katanya, setiap anak mempunyai perjalanan tumbesaran yang berbeza. Ada yang berisi, ada yang tinggi dan kurus, namun yang paling penting adalah mereka membesar dengan sihat.
Dalam nada penuh keibuan, Mira mengingatkan bahawa tumbesaran anak bukanlah perlumbaan. Ada anak yang berisi, ada yang kurus, ada pula yang lebih cepat tinggi daripada kawan sebaya. Apa yang penting, anak itu sihat, ceria dan membesar dalam kasih sayang.
Ternyata, ramai peminat dan pengikut turut tampil memberikan sokongan serta pengalaman yang sama.
“Tak payah peduli kata orang, Mira. Anak saya pun kurus tinggi macam tu, tapi sihat saja,” kongsi seorang netizen.
“Setiap anak tak sama, ada yang berisi, ada yang kurus. Asalkan sihat, itu paling utama,” tambah seorang lagi.
Bahagia Dalam Rumah Tangga
Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga bersama Wan Emir Astar bin Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 September 2020. Hasil perkongsian hidup itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir, yang kini menginjak usia 3 tahun dan menjadi permata hati mereka.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tegur Jika Buat Kesilapan, Azhar Sulaiman Berterima Kasih Pada Isteri Didik Anak-Anak

Tegur jika buat kesilapan, Azhar Sulaiman berterima kasih pada isteri didik anak-anak. Bukan mudah bergelar ibu bapa, besar tanggung jawab yang harus dipikul.
Begitu jugalah dengan pelakon lelaki senior Azhar Sulaiman dalam membesarkan anak-anak. Namun Azhar sangat berterima kasih kepada isteri, Chempaka Emalin Pahamin kerana begitu bersungguh-sungguh dalam mendidik anak-anak mereka menjadi insan berguna.
Tegur Jika Buat Kesilapan, Azhar Sulaiman Berterima Kasih Pada Isteri
Akui anak-anaknya kini sudah semakin dewasa, namun Azhar tetap menegur jika mereka lakukan kesilapan. Seperti yang diketahui ramai, anak daranya, Kasih Leona Iris, 20, sering mendapat perhatian netizen kerana berkongsi di media sosial termasuk berpakaian mencolok mata.
“Anak saya bukan kecil lagi. Sebagai ibu bapa, tentunya saya akan menegur.
“Namun, sukar sebenarnya jika Kasih Leona buat lagi walaupun sudah ditegur.
“Saya hanya berharap Kasih Leona dapat berfikir panjang dan lebih jauh. Setiap apa dilakukan beri impak terhadap keseluruhan.
“Bukan hanya Kasih Leona, tetapi saya, ibunya dan seisi keluarga,” kongsi Azhar seperti mana dipetik menerusi Berita Harian Online.
Harap Anak Berubah
Azhar juga menerangkan tindakan meroran tidak sesuai untuk dipraktikkan sebagai memberi pengajaran kepada anak-anak.
“Nak rotan pun, mereka sudah besar. Saya hanya mampu berharap agar Kasih Leona berubah.
“Saya tak nampak anak-anak mahu mengikut jejak langkah saya menyertai industri seni. Kasih Leona bakal menjadi seorang peguam, namun, apa yang dilakukan hanya suka-suka dan proses membesar.
“Orang lain buat TikTok, Kasih Leona pun nak juga ikut ‘trending’ semasa. Anak saya sama seperti orang lain,” kongsinya lagi.
Sokong Dari Segi Kewangan
Sambungnya lagi, anak-nak kini sedang sibuk menyambung pelajaran.
“Kembar Kasih, Andika Rees Pahamin sudah bekerja, manakala Kasih Leona pula sambung belajar dalam bidang perundangan.
“Kakak mereka, Kasih Leia Ixora sudah habis belajar dan mahu menjadi ahli politik. Jadi, anak-anak memang ikut jejak langkah saya.
“Apapun, saya berterima kasih kepada isteri, Chempaka Emalin Pahamin kerana meletakkan usaha jitu bagi mendidik anak-anak jadi insan berguna.
“Saya hanya sokong dari segi kewangan,” akhirinya.
Baca Sini : Anak Kembar Dapat Result Cemerlang SPM, Azhar Sulaiman Ucap Terima Kasih Pada Isteri
Bunga Elhaq Cucu Sulung, Suami Sheila Minta Anak Jadi Seorang Ayah Yang Baik & Jaga Amanah
Azhar Bersama keluarga bahagia…
Mingguan Wanita : Suka tengok lakonan Azhar Sulaiman teringat filem Abang 92… Nostalgia sungguh, cute saja Azhar masa jadi hero filem itu.
Sumber : Berita Harian Online
Sumber Foto : Instagram Azhar Sulaiman
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Hidup satu kaki, ibu anak 4 ini tidak sesekali mengalah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Dedaun Hijau Di Angin Lalu’ Sarat Emosi. Siti Rosmizah Angkat Kisah Wanita.

Drama tempatan telah lama menjadi cerminan kehidupan sehari-hari, menangkap rencah pengalaman manusia dengan segala liku-likunya. Khususnya bagi wanita, drama-drama ini sering kali menggambarkan perjalanan penuh dugaan yang mereka lalui, dari cerita penderaan dan pengkhianatan hingga pengorbanan dan ketabahan yang luar biasa.
Setiap episod bukan hanya menghibur, tetapi memberi peluang bagi penonton untuk melihat refleksi dari realiti yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari.
Antara garapan kisah kehidupan yang menjadi sebutan ialah drama rantaian Dedaun Hijau di Angin Lalu yang telah meraih penonton sebanyak 1.135 juta di mana satu episod dan rating sebanyak 849 ribu.
Kisah Menggugat Emosi
Dalam dunia penulisan yang sering digambarkan sebagai lautan tanpa tepi,penerbit drama tersebut, Siti Rosmizah memilih untuk terus merentasi arus dengan kisah-kisah yang menggugat emosi dan memperjuangkan nasib wanita.
Melihat perspektif dirinya yang berubah haluan daripada seorang peguam kepada novelis terkenal, Siti Rosmizah menterjemahkan pengalaman pahit menyaksikan kezaliman yang menimpa seorang wanita, seperti yang beliau saksikan dalam kes penderaan.
Ini membawanya kepada penulisan novel pertamanya, Andai Itu Takdirnya, yang meraih sambutan hangat dan menjadikan namanya sinonim dengan advokasi melalui penulisan.
Siti Rosmizah memilih genre yang memberi fokus terhadap rumah tangga dan cabaran kehidupan sehari-hari kerana ia merupakan cerminan realiti yang sering diabaikan. Dari kes penderaan hingga pengorbanan, setiap naratifnya menawarkan wawasan yang mendalam tentang ketahanan dan keberanian wanita dalam menghadapi dugaan dan cabaran dalam menjalani liku kehidupan.
Malah, karyanya seperti Lafazkan Kalimah Cintamu dan 7 Hari Mencintaiku bukan hanya kisah, ia adalah suara bagi yang bisu dan pengajaran bagi yang buta.
Dalam drama terbaru, “Dedaun Rindu Di Angin Lalu,” adaptasi dari karya Manaf Hamzah, dapat dilihat refleksi karya Siti Rosmizah melalui watak Intan yang teraniaya kerana stigma sosial.
Sama seperti watak Aleya dalam Andai Itu Takdirnya dan Riyana dalam Jangan Mencintai Aku, Intan menghadapi rintangan yang menekan jiwa tapi tetap berdiri kukuh menghadapi gelombang kehidupan yang tak pernah reda.
Menonton adaptasi karyanya di Astro bukan hanya tentang hiburan, ia merupakan pelajaran kehidupan. Drama-drama ini bukan sekadar cerita tetapi alat untuk membuka mata masyarakat terhadap realiti penderaan dan kezaliman yang masih berlaku, seringkali di belakang pintu tertutup.
Mega Drama ‘Dedaun Hijau Di Angin Lalu’ yang menggandingkan pelakon utama Redza Rosli dan Harissa Adlynn ini membawa penonton menyelami ketabahan seorang isteri dalam melayari kehidupan bersama suami yang tinggi egonya.
Siti Rosmizah mempunyai harapan yang tinggi untuk penonton dan pembaca, terutamanya wanita iaitu untuk mendapatkan kekuatan dan inspirasi daripada kisah-kisah ini.
Wanita harus berani mempertahankan hak dan membebaskan diri dari belenggu kezaliman. Untuk para lelaki, ini adalah peluang untuk merenung dan menghargai wanita dalam hidup mereka, mengingatkan bahawa setiap perlakuan kejam memiliki akibat yang jauh lebih dalam daripada yang terlihat.
Siti Rosmizah tetap unggul untuk terus menghasilkan karya yang tidak hanya memperjuangkan wanita tetapi juga menginspirasi masyarakat untuk melihat lebih jauh dari yang permukaan, membuktikan bahwa penulisan boleh menjadi lebih dari sekedar kata-kata, tapi juga tindakan.
Kepada para wanita yang mungkin berada dalam situasi seperti watak-watak dalam novel dan dramanya, Siti Rosmizah turut menitipkan pesanan.
“Jangan mengalah. Anda adalah pemilik takdir anda sendiri, dan anda lebih kuat dari apa yang anda percaya.”
Dengan setiap lembar yang dibuka dan setiap episod yang ditayangkan, Siti Rosmizah tidak hanya menceritakan kisah, ia mengubah kehidupan, satu kata pada satu waktu. Sebagai jendela ke dalam kehidupan wanita yang melalui pelbagai dugaan, drama tempatan mengajarkan kita tentang kekuatan, kasih sayang, dan pentingnya mendukung satu sama lain dalam perjuangan kita masing-masing.
Hari ini, episod akhir Dedaun Hijau di Angin Lalu bakal melabuhkan tirainya. Saksikan episod akhir yang menjanjikan babak dramatik yang lebih mendebarkanserta kesan emosi yang mendalam. Adakah kebahagiaan Intan dan Assad akan bertahan atau takdir akan memisahkan mereka?
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rumah Tangga Berantakan, Menantu Bukan Pilihan Jadi ‘Mangsa’ Ibu Mentua

Kisah pergolakan antara menantu dan ibu mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan lagi-lagi yang bukan pilihan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan ibu mentua dan menantu perempuan terlalu rumit. Sikap sesetengah ibu mentua yang suka mempertikaikan perkara remeh menjadikan hubungan keduanya sentiasa panas. Pendek kata ada sahaja yang tidak kena.
Artikel berkaitan: Menantu Kalau Dapat Ibu Mentua Cerewet, Pekakkan Telinga, Butakan Mata, Mulut Kena Jaga
Rumah Tangga Berantakan
Menantu pula jenis tidak sabar jadi bila sama-sama ‘keras’ maka makin buruklah jadinya. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Menantu Bukan Pilihan Jadi ‘Mangsa’ Ibu Mentua
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
Artikel berkaitan: Ibu Mentua Pun Bukanlah Sempurna, Janganlah Asyik Cari Salah Menantu
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Artikel lain: Menantu Hormatilah Mentua Macam Ibu Bapa Sendiri, Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Baca lagi: Menantu Tak Ngam Dengan Mak Mentua, Ini Cara Rapatkan Balik Hubungan Yang Suam-suam Kuku
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
Lagi artikel: Menantu Perempuan, Menantu Lelaki, Sama-sama Kena Jaga Perangai Jadi Baik
Ibu mentua titip doa buat Bunga Citra Lestari. Keluarga beri restu bergelar isteri
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI