
Dilahirkan Klef
Tidak mudah untuk terima ujian Allah apabila anak dilahirkan klef
pada wajah, namun ibu muda ini reda dan cuba positif dengan apa yang Tuhan kirimkan. Paling mudah, pujuk hati sendiri dengan cuba kuat.Menurut Sufia Muhd Lawi, 32, dia anggap kehadiran anak istimewa, Nur Aqila Aniqa Mohd Saiful, tiga bulan, yang dilahirkan dengan klef pada wajah sebagai tiket untuk ke syurga.
“Saya pernah terfikir bagaimana caranya nak masuk ke syurga kerana tahu tak mudah.
“Jadi ujian ini mungkin ladang pahala buat saya dan reda dengan ketentuan-Nya walaupun ada masanya tak kuat.”
Kalau melihat keadaan bayinya itu, ada kelainan pada wajah akibat rekahan atau pemisahan struktur muka termasuk mata, hidung, dahi selain sumbing pada bibir juga lelangit.
Menceritakan kisah itu, Sufia dari Sri Lalang, di sini berkata, dia dan suami, Mohd Saiful Mustapha, 37, diberitahu berkenaan keadaan anaknya ketika kandungan berusia 22 minggu.
“Kiranya waktu mengandung doktor dapat kesan adanya klef cuma tak tahu tahapnya.
“Selepas dapat tahu, saya menangis di hadapan doktor dan lama juga bersedih kerana memikirkan masa depannya selepas dilahirkan nanti.
“Tapi suami yang banyak bagi semangat dan selepas sebulan, baru saya dapat terima. Syukur juga kerana keluarga saya dan mentua juga banyak bagi sokongan malah terima keadaan anak selepas dilahirkan,” katanya.
Bercerita lanjut, Sufia berkata, buat masa ini, belum ada rawatan khusus buat Aqila kerana masih menunggu tarikh untuk menjalankan ujian Imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan.
Katanya, prosedur itu perlu dijalankan kerana anaknya tidak mengalami klef biasa namun yang tergolong dalam kategori jarang jumpa.
“Selepas CT Scan, barulah boleh lihat apa langkah seterusnya cuma buat masa ini, saya dan suami sudah menghantar permohonan kad orang kurang upaya (OKU) buat Aqila.
“Buat masa ini, Aqila boleh minum susu tapi menggunakan tiub Ryles yang disambungkan melalui mulut…saya jaga Aqila sepenuh masa dan kena pantau lebih kerana sebelum ini dia ada masalah kesihatan.
“Saya jaga sendiri Aqila namun suami turut membantu selepas dia pulang dari tempat kerja,” katanya yang juga ibu kepada dua anak.
Berhubung perkongsian di media sosial, Sufia berkata, dia baru ada keyakinan untuk berkongsi keadaan anaknya kerana sebelum ini bimbang dengan persepsi masyarakat.
“Selepas bersalin, saya berpantang sendiri malah takut berdepan orang luar melainkan keluarga kerana memikirkan pandangan mereka terhadap anak.
“Saya tak kuat berdepan pertanyaan mengenai keadaan anak dan habiskan masa di rumah kerana nak menjaga kesihatan mental.
“Sekarang, tiba masanya saya kongsi mengenainya kerana macam mana pun, Aqila anak saya dan tak mahu dia mempersoalkan kenapa sembunyikan identitinya. Bukan niat saya nak sorokkan cuma sebelum ini hanya mahu melindunginya.
“Syukur anak sulung sayangkan adiknya…selepas kongsi di media sosial pun, ramai yang beri sokongan moral dan mendoakan tapi ada juga yang kecam. Harapan saya semoga Aqila membesar dengan baik dan tak disisihkan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Mohd Saiful mengakui terkejut dan sedih selepas mengetahui keadaan Aqila ketika masih dalam kandungan.
“Tapi tak boleh tunjuk kesedihan depan isteri kerana enggan dia patah semangat.
“Jadi saya memberinya semangat dan ikut kata doktor untuk mencari kumpulan sokongan. Saya lihat juga gambar pembedahan klef yang berjaya dan ia membuatkan saya lebih bersedia menyambut kelahiran anak.
“Apa yang Allah SWT berikan, saya terima dan berharap ada peluang untuk anak hidup normal satu hari nanti,” katanya.
Begitulah penerimaan seorang ibu apabila melihat keadaan anak yang dikandung 9 bulan diuji dengan wajah klef, fasa penerimaan itu makan masa dan berbeza bagi setiap individu. Doakan yang baik-baik dan semoga anak kecil ini membesar dengan sihat tanpa gangguan emosi.