“Anak dan cucu saya dia kerat macam ayam…”Ibu tak maafkan perbuatan menantu

Share

Air mata seorang ibu tidak akan pernah kering apabila kehilangan anak yang dikandung dan dibesarkan penuh kasih sayang. Namun, bagi Fatimah Latiff, 67, deritanya bukan sekadar kehilangan seorang anak, bahkan juga cucu yang baru berusia 11 tahun dengan cara kematian yang paling mengerikan.

Hari ini, di pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka, suaranya terketar menahan sebak saat mengungkapkan perasaan.

“Saya reda dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini tetapi saya tidak akan maafkan dia (tertuduh) sampai mati. Dia kerat anak dan cucu macam seekor ayam…”

Fatimah merujuk kepada tertuduh, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, warga Singapura yang juga menantu dan suami kepada Allahyarhamah Norfazera Bidin, 27. Lelaki itu hari ini dijatuhi 72 tahun penjara dan 24 sebatan selepas didapati bersalah membunuh isteri dan anak lelakinya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah pada Oktober 2019.

Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan keputusan itu diakhir kes pembelaan selepas meneliti hujah dikemukakan oleh pihak defendan dan plantif berhubung pemberat bagi hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta keterangan impak oleh adik, ibu dan kakak mangsa.

Beliau dalam penghakimannya berkata, berdasarkan laporan patologi dan keterangan sepupu tertuduh, tindakan mengerat serta membuang bahagian tubuh kedua-dua mangsa di kawasan berbeza menunjukkan tertuduh tidak mahu identiti mangsa dikenal pasti.

“Tidak diragui bahawa perbuatan tertuduh adalah sangat brutal apabila meletakkan kepala isterinya di atas siling rumah. Namun, pindaan hukuman mati telah dibuat oleh pihak kerajaan pada 2023 dan saya menyifatkan situasi ‘nyawa dibalas nyawa’ tidak memberi justifikasi pada kes ini.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan serta bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan agar kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh ditangkap 11 Oktober 2019,” katanya.

Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap Norfazera Bidin, 27, dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di sebuah rumah bernombor di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam di dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 6 petang pada 6 Oktober 2019 dan pukul 7.30 pagi pada 7 Oktober 2019.

Lebih menyayat hati, kepala Norfazera ditemui disorokkan tertuduh di siling rumah mereka di Batu Berendam, seolah-olah nyawa insan bergelar isteri tiada sebarang nilai.

Masih terbayang saat memandikan jenazah

Dalam linangan air mata, Fatimah masih mengingati detik memandikan jenazah anak perempuannya.

“Saya masih ingat keadaan ketika memandikan jenazah anak, malah sehingga hari ini anggota tangan anak dan cucu masih tidak ditemukan.

Di lokasi inilah mayat mangsa dibuang sebelum dijumpai oleh pemotong rumput

Apa yang dia lakukan jauh lebih teruk daripada binatang. Binatang pun tahu sayangkan keluarganya…”

Walaupun reda dengan keputusan mahkamah, keluarga tetap akan membuat rayuan agar hukuman gantung sampai mati dipertimbangkan.

Kisah hitam yang tidak akan padam

Kisah tragis itu pernah menggemparkan negara pada 2019. Norfazera dan anak lelakinya dibunuh dengan kejam, anggota badan mereka dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian, lalu dibuang di beberapa lokasi termasuk kawasan semak dan tong sampah.

Rahsia pembunuhan ini terbongkar selepas kakak mangsa datang ke rumah kerana gagal menghubungi adiknya. Beberapa bahagian tubuh kemudian ditemui oleh seorang pemotong rumput di Kampung Ladang, Krubong.

Tidak lama kemudian, polis menahan tertuduh, suami yang sepatutnya menjadi pelindung, tetapi bertukar menjadi pemusnah. Motifnya dipercayai kerana rasa marah terhadap isu rumah tangga yang dibangkitkan isterinya.

Luka yang tidak mungkin sembuh

Buat seorang ibu, tiada balasan dunia yang mampu mengubat luka hati. Biar apa pun hukuman, Fatimah tahu, nyawa yang pergi tidak akan kembali.

Namun suaranya tetap tegas, penuh dendam yang tidak akan padam:

“Saya tidak akan maafkan dia… sampai mati.”

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/

Published by
Rosmah Idayu