Ambil tahu bagaimana nak buat tuntutan nafkah anak lebih-lebih lagi bila bekas suami sudah berkahwin lain. Ini penting ye, jangan abaikan hak anak-anak.

Ambil Tahu Cara Nak Tuntut

Dilema yang sering menghantui para ibu yang menjaga anak selepas perceraian adalah tentang tuntutan nafkah anak. Rata-rata klien yang berhubung dengan saya memberi alasan bekas suami enggan berikan jumlah nafkah yang sewajarnya menyebabkan ibu tersebut perlu membiayai keperluan anak.

Malah ada yang perlu menanggung lebih daripada 80% daripada jumlah pembiayaan anak tersebut. Ada yang perlu lakukan tiga empat kerja semata-mata bagi menampung kos pembiayaan yang sepatutnya dipikul oleh ayah si anak atau bekas suami.

Ambil Tahu Bagaimana Nak Bawa Kes Ke Mahkamah

Masalah ini dihadapi bila si ibu hanya berunding dengan si ayah. Lantaran, saya menyeru kepada semua ibu yang menghadapi masalah yang sama untuk mengambil tindakan membawa kes tuntutan nafkah anak anda tersebut ke Mahkamah Syariah, bukan hanya berunding dengan pihak bekas suami.

Pastikan dalam tuntutan anda tersebut mempunyai jumlah nafkah yang jelas merangkumi tiga kategori keperluan iaitu keperluan bulanan, keperluan untuk perayaan dan keperluan untuk awal persekolahan atau pengajian.

Ambil Tahu Dan Sediakan Perincian Bukti

Dalam keperluan bulanan tersebut, perincikan pula setiap perkara merangkumi tempat tinggal, bil utiliti, makan minum, pakaian basahan termasuk pakaian dalam, duit poket sekolah, peralatan cucian diri (sabun, berus gigi, ubat gigi), peralatan dandanan diri (sikat, bedak, minyak rambut), duit van atau bas sekolah atau jika anda yang menghantar sendiri anak anda ke sekolah, masukkan kos untuk petrol dan tol, jika berkaitan. Masukkan juga untuk tabungan dan segala perbelanjaan bulanan lain seperti yuran kelas tambahan.

Pastikan setiap anak mempunyai senaari keperluan yang tersendiri. Anak yang berbeza umur pastinya mempunyai keperluan yang berbeza contoh anak yang berusia dua tahun masih perlukan lampin pakai buang jadi perlu masukkan setiap keperluan tersebut dengan terperinci. Segala perkara berkaitan keperluan anak termasuk pendidikan adalah menjadi tanggungjawab si ayah.

IKLAN

Baca lagi di sini:

HAK Isteri Selepas Bercerai, Tanggungjawab Suami BUKAN Ketika Hidup Bersama SAHAJA

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Ambil Tahu Cara Tuntut Nafkah Anak Lepas Bekas Suami Kahwin Baru

Kos Perlu Ditanggung Ibu Atau Ayah?

Hanya kos untuk penjagaan seperti bayaran pengasuh atau taska atau transit, ia terletak di bahu si ibu sebab penjagaan adalah tanggungjawab ibu maka apabila ibu menyerahkan tanggungjawab tersebut orang lain maka ibulah yang perlu membayar kos upahnya.

IKLAN

Bagi keperluan perayaan pula, kos yang boleh dituntut merangkumi dua pasang pakaian iaitu pakaian tradisi dan pakaian kasual seterusnya kasut dan tudung, jika berkaitan. Boleh juga mohon kos untuk makanan khusus perayaan seperti ketupat atau lemang, rendang dan kuih raya.

Kos ini sebagai jaminan agar si anak dapat menikmati hari raya sama seperti anak lain merayakannya bersama ibu dan bapa. Bagi keperluan awal persekolahan pula merangkumi kos untuk uniform sekolah, beg, yuran, buku, alat tulis dan segala yang diperlukan bagi memulakan sesi persekolahan atau pengajian yang baru.

Tuntutan Mesti Ikut Keperluan Umur Anak

Peringatan penting! Pastikan anda menuntut dengan jumlah yang wajar dan sesuai dengan keperluan perkembangan anak anda. Jangan pula anak berusia dua tahun, dituntut untuk pembiayaan bil Astro penuh yang jumlah beratus ringgit.

Untuk anak di bawah usia 18 tahun, anda boleh mohon bagi pihak anak anda tetapi jika anak telah berusia 18 tahun dan ke atas, si anak perlu mohon sendiri atau ditemani oleh anda sebagai pemohon bersama.

IKLAN

Dalam mengemukakan tuntutan pula, anda perlu bantu hakim untuk mengenal pasti keupayaan dan kemampuan bekas suami. Kemampuan yang merangkumi pendapatan tetap, pendapatan sambilan termasuk keupayaan si bapa untuk berusaha lebih bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Persoalan: bagaimana pula jika si ayah atau bekas suami dah kahwin baru dan mempunyai isteri atau anak yang baru pula?

Syarat Wajib

Menurut Dr Ablah di dalam kitabnya “al-Bunuwwah wa al-Ubuwwah”, syarat-syarat wajib nafkah kepada anak adalah seperti berikut:

    1. Anak itu seorang yang susah
    2. Anak tersebut tak mampu hendak bekerja sendiri

Menurut hukum syarak juga, anak adalah keutamaan berbanding isteri. Menurut hadis riwayat Abu Daud, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w bertanyakan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya di sisiku satu dinar, aku suka untuk membelanjakannya. Kepada siapakah perlu aku berikan?” Jawab Rasulullah s.a.w: “Belanjakanlah untuk dirimu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Jika aku ada wang dinar lagi?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan wang tersebut untuk anakmu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Jika ada lagi wahai Rasulullah s.a.w?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan untuk isterimu.”

Bila hukum syarak dah nyatakan keutamaan, tak perlu lagi lah para ibu nak risau tapi tetap perlu memfailkan kes tuntutan di Mahkamah Syariah ya.

Artikel: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI