Amang Seksual Murid Dalam Tandas Sekolah Di Rembau, Pengawal Keselamatan & Teman Lelaki Mengaku Tak Bersalah

Share

Amang seksual murid dalam tandas sekolah di Rembau, pengawal keselamatan dan teman lelaki tak mengaku bersalah. Minggu lalu,  kecoh kejadian amang seksual melibatkan seorang murid perempuan berusia 9 tahun di  sebuah sekolah di Rembau didakwa melibatkan teman lelaki kepada pengawal keselamatan sekolah.

Ia mendatangkan kemarahan orang ramai yang mana sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat bagi pelajar namun terjadi insiden menakutkan ini. Hari ini, pengawal keselamatan wanita bersama teman lelakinya telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen atas pertuduhan melakukan amang seksual pada murid perempuan berusia 9 tahun dan keduanya tidak mengaku  bersalah.

Tertuduh, Muhamad Mohd Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Kanageswari sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Muhamad Mohd Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22 menghadapi pertuduhan melakukan pencabulan kepada murid darjah 3 di Rembau

Sekolah Sepatutnya Tempat Selamat Untuk Murid

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang merupakan murid Tahun Tiga di dalam tandas perempuan sekolah berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 7 Oktober lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Peruntukan tersebut diguna pakai bagi kes yang melibatkan perbuatan berunsur seksual terhadap kanak-kanak tanpa melibatkan persetubuhan namun tetap dikategorikan sebagai jenayah serius di sisi undang-undang.

Nor Aleeya diwakili peguam, Norfazrin Jamal, manakala Muahmad tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, Norfazrin memohon agar anak guamnya dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 memandangkan pendapatan bulanannya hanya RM1,600 selain menanggung ibu bapa serta empat adik yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga menanggung ibu bapa yang menghidap darah tinggi serta adik-adik, termasuk seorang daripadanya yang sedang menuntut di sebuah kolej komuniti.

“Anak guam telah melantik peguam dan berhasrat membersihkan nama serta memberi jaminan untuk hadir ke mahkamah tanpa gagal,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sehingga kes selesai, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Statistik Kes Amang Seksual Kanak-Kanak Di Malaysia

Berdasarkan statistik ramsi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 1,500 kes amang seksual terhadap kanak-kanak direkodkan antara tahun 2022 hingga 2024. Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tiga tahun sebelumnya dan menandakan keperluan serius terhadap mekanisme perlindungan kanak-kanak di sekolah serta di rumah.

Pakar keselamatan kanak-kanak berpendapat bahawa peningkatan kes sebegini berpunca daripada kurangnya pemantauan, kesedaran ibu bapa, serta kepercayaan berlebihan terhadap individu dewasa di persekitaran sekolah.

Oleh itu, langkah pencegahan perlu diperkasa dengan latihan kesedaran, penapisan latar belakang pekerja dan sistem laporan awal di institusi pendidikan.

Reaksi Masyarakat & Isu Keselamatan Sekolah

Insiden ini mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat setempat. Ramai menzahirkan rasa marah dan kecewa kerana persekitaran sekolah yang sepatutnya selamat telah dicemari dengan kejadian sebegini. Perbincangan umum berlegar kepada keperluan memperketat prosedur keselamatan, pemantauan kawasan tandas, serta penapisan rekod latar belakang kakitangan bagi mencegah berulangnya kes amang seksual murid Rembau

.

Kejadian cabul ini biar pun masih di peringkat pendakwaan sedikit sebanyak menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana keselamatan pelajar dijaga di sekolah.

Institusi pendidikan seharusnya menjadi ruang paling selamat untuk murid belajar dan berkembang namun insiden sebegini boleh menghakis keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan sekolah.

Pihak berkuasa pendidikan digesa memperketat langkah pemantauan keselamatan, terutama melibatkan pekerja kontrak dan individu luar yang mempunyai akses ke kawasan sekolah.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros