Alunan Merdu Ayat Kursi Penyanyi Dari AS Ini Buat Ramai Terpesona!

Share

Tidak dinafikan mukjizat bacaan Al Quran memang istimewa. Setiap baris ayatnya mampu melembutkan hati dan memberikan hidayah buat sesiapa yang mendengarnya. Apatah lagi dibaca dengar begitu merdu mengikut taranum dan bacaan tajwid yang betul.

Penyanyi dari negara Amerika Syarikat, Jennifer Grout menarik perhatian ramai apabila berkongsikan sebuah video dirinya mengalunkan bacaan Ayat Kursi dengan begitu merdu sekali dan cukup hukum tajwidnya.

Tarannum Ayat Qursi

Jennifer memeluk Islam pada 2014 merupakan penyanyi Amerika telah memuat naik bacaan ayat ke-255 surah al-Baqarah itu secara bertarannum dan bersahaja di Instagram miliknya.

Menerusi statusnya, Jennifer memberitahu, guru muzik Arabnya telah menasihatkan supaya selalu mendengar bacaan Al-Quran untuk mahir bahasa Arab dan menjadi seorang penyanyi muzik Arab yang hebat kerana sebahagian besar ikon muzik Arab bermula dengan menguasai bacaan al-Quran secara tepat.

Asah Teknik Vokal & Nyanyian

Beliau berkata, pembacaan al-Quran adalah seni untuk dirinya, pada masa sama dapat mengasah teknik vokal dalam nyanyian bahasa Arab.

Menurut laporan media tempatan, Jennifer meminati muzik Arab pada 2010 ketika menyambung pelajaran di Kanada dan mula berjinak dalam muzik tersebut selepas membuat persembahan di kafe Syria sekitar Montreal serta berpindah ke Maghribi selepas graduasi.

Di sana, dia telah berkahwin dengan seorang lelaki tempatan dan memeluk agama Islam.Nama beliau juga melonjak apabila terpilih untuk ke pusingan akhir program ‘Arabs Got Talent’ beberapa tahun dahulu.

Sementara itu, video berdurasi 2 minit 14 saat itu tular dan netizen menyifatkan suara penyanyi itu sungguh merdu serta memukau.

MW: Alhamdulillah. Mukjizat ayat-ayat Al Quran mampu memikat jiwa. Semoga penyanyi ini berterusan diberikan hidayah dalam kehidupan, istiqamah menjadi muslimah dan mengamalkan ajaran Islam sebenar.

Sumber: Sinar Harian, Jennifer Grout Official

IKLAN