Aku Terjerat.. Bersuamikan Manusia Berjiwa Syaitan

Catatan BroOhsem, Akhtar Syamir ini berpandukan sebuah kisah benar yang dilalui seorang isteri. Didera mental dan fizikal oleh suami yang meletakkan akal di tempat paling bawah.

Sungguh kaya harta itu andai berpura-pura, jiwa sarat kekosongan. Hati tak lagi bahagia. Allah itulah sebaik-baik penjaga.

‘Suamiku Syaitan..’ Sebuah Kisah Benar

Sebuah keluarga secara asasnya ada suami, ada isteri dan jika ada rezeki, ada anak juga.

Aku inginkan itu. Aku jadi isteri yang taat. Aku jadi isteri yang terbaik buat suamiku. Aku berikan segalanya untuk dia.

Dan sebagai balasan, aku berharap aku akan dapat seorang suami yang baik. Yang menemani aku. Yang menggembirakan siang dan malamku. Aku ingin sentiasa berada di dalam pelukannya. Merasai kehangatan badannya. Menyerap segala cinta dari dirinya. Aku inginkan suami yang bisa membimbingku.

Aku mahu solat bersama. Aku sentiasa membayangkan suamiku mencium mesra dahiku setiap kali selepas kami bersolat. Aku pula bersalam sambil mencium tangannya meminta ampun. Alangkah indahnya. Bayangan ini aku ulang tayang di mindaku terlalu banyak sehingga aku boleh merindui saat itu walaupun ianya tidak pernah pun berlaku.

Aku tidak peduli segala nikmat dunia yang aku ada sekarang. Semua pakaian berjenama, rumah yang besar lagi selesa, makanan yang lazat dan macam – macam lagi. Mungkin luaranku nampak seperti aku mengagungkan ini semua. Sedangkan aku tahu aku sedang hidup dalam kepura – puraan. Aku tidak bahagia. Ini semua tidak bererti ! Aku benci ! Aku kecewa !

Sayunya hatiku apabila melihat keluarga lain yang bahagia. Jauh di sudut jiwaku, aku teramat iri hati. Tidak sehingga mendengki. Tetapi aku iri. Kenapalah aku jadi begini? Semakin hari, semakin jiwaku mengecil. Aku hampir terlupa apa ertinya bahagia. Senyuman di bibirku terasa penuh kepalsuan. Ceria di wajahku hanyalah satu kepura – puraan.

Di belakang kelopak mataku tersimpan seribu kejadian menakutkan. Tidak pernah dalam hidupku membayangkan penyeksaan ini. Ikatan perkahwinan yang ku sangkakan membawa seribu kemanisan rupanya pahit, tawar, menjijikkan dan mendatangkan kesakitan.

 

Aku Terjerat Bersuamikan Manusia Berjiwa Syaitan...

Kepalaku Dihempas Ke Dinding, Mukaku Ditumbuk Hingga Lebam

Aku diherdik, dimaki, disumpah dengan seribu perkataan sial setiap kali dia marah. Barang – barang di rumah akan berterbangan, dihempas dan dipecahkan. Aku pernah ditendang, kepalaku dihempas ke dinding dan lantai, mukaku ditumbuk dan ditampar sehingga lebam. Tidak kiralah di rumah atau di dalam kereta, bila amarahnya datang, aku yang akan menjadi mangsa.

Betapa sakitnya badanku, tidak terbanding kesakitan hatiku. Jeritan kesakitan dari mulutku tidak terlawan jeritan dari hatiku. Kenapa begini? Aku kan isterimu? Kenapa kau sakiti aku?

Saat melayari bahtera bersama suami adalah perkara yang sentiasa dinanti – nantikan pasangan yang bercinta. Ada yang tak sabar, ada yang sabar. Ada yang tahu halal dan haram. Aku sendiri memilih jalan yang halal. Aku inginkan saat manis itu bersama suamiku yang sah.

Tetapi kenapa kamu meliwatku syaitan? Iya, kamu bukan suamiku ! Kamu syaitan! Bukan sekali tetapi hampir setiap kali aku terpaksa melayan nafsu bangsat kamu ! Jiwaku memberontak tetapi aku tidak berdaya. Aku terkilan, sedih dan rasa seperti dirogol sedangkan kamu suamiku yang sah. Aku benci kamu !

Tapi aku masih sayangkan suamiku… Aku tidak tahu kenapa. Mungkin ada lagi sisa harapan dalam diriku yang mengharapkan keluarga yang bahagia. Mungkin suamiku akan berubah.

Aku hanya mampu berharap. Dan harapan itu semakin hari semakin pudar. Tidak cukup dengan meliwatku, aku dijadikan sebahagian dari permainan liar suamiku. Pelacur yang diupah suami akan datang melakukan seks bersama kami suami isteri.

Terlunas fantasi suami ingin mengadakan “threesome”. Janganlah adili aku. Di saat ini aku sudah tidak berdaya lagi. Aku hanya seperti boneka buat suami. Tiada lagi perasaan di dalam hati. Ini terjadi bukan hanya sekali tetapi berkali – kali tidak kira di dalam atau luar negeri.

Sayang, kenalkan kawan abang.” Itu kata – kata terakhir yang aku ingat sebelum aku dipaksa melayani kawan suami. Aku diperlakukan seperti pelacur ! Dan dia ada di hadapan melihat aksi kami ! Syaitan ! Kamu memang syaitan ! Aku tak mampu untuk melawan. Aku lemah. Aku runsing. Aku kecewa. Aku dalam kemurungan. Aku serba salah. Aku tidak tahu kenapa aku masih turutkan perangai syaitan ini.

Aku Teringin Menjadi Ibu..

Aku gersang. Jiwa aku kosong. Bagaimana dengan keinginanku? Aku tunaikan segala permintaanmu. Tetapi bila masa yang aku mahukan, kamu tidak menunaikan. Aku tersiksa dengan keadaan sebegini. Namun, aku masih seorang isteri yang taat. Tidak pernah sekalipun curang terhadapmu.

Tetapi tidak kamu. Semua ini masih tidak cukup. Kamu keluar dengan perempuan lain dan meninggalkan aku berpeluk diri di rumah. Aku hanya digunakan bila diperlukan. Aku tidak lain tidak bukan hanya sebuah alat.

Aku inginkan zuriat untuk menemaniku, tetapi kamu tolak mentah – mentah. Aku teringin sangat untuk menjadi ibu, membelai anak, mencium pipinya yang tembam, mendukung dan menyusunya setiap hari. Aku inginkan itu…

Aku buntu. Jiwaku memberontak. Aku dalam depresi. Aku mahu marah pada semua orang. Aku mahukan penceraian. Aku mahu lari dari hidup di dalam neraka ini. Aku mahu minta fasakh. Tetapi setiap kali aku ingin ke pejabat agama, seperti ada yang menahan kakiku dari melangkah. Suami seperti dapat menghidu niatku. Dia akan melayan aku dengan sangat baik. Memberiku harapan, menunjukkan perubahan. Ia berjaya menghentikan langkahku.

Tetapi aku tahu ianya palsu.

Bantulah aku. Aku terjerat. Aku tersilap pilih jalan. Aku memilih syaitan sebagai suamiku.

MW : Mendoakan agar wanita ini dapat keluar dari neraka ciptaan suaminya. Dan isteri ini jika membaca.. anda sebenarnya boleh membuat aduan Mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT), Akta Undang-undang Keluarga Islam atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam bergantung kepada peruntukan negeri.

Ambil gambar kesan deraan. Pastikan masukkan sekali wajah anda barulah dapat dibuktikan. Jangan bertangguh, jangan kerana sayang menyeksa badan. Bertindaklah! Laporkan kepada pihak polis. Wahai isteri… hanya kamu yang boleh menyelamatkan diri kamu sekarang.

Sumber/Foto : Akhtar Syamir, menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.

Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.

Jangan Lupa Komen