
Sanggup pertaruh nyawa isteri & anak demi aksi wheelie,
lelaki ditahan polis.Tindakan seorang lelaki sanggup mempertaruhkan nyawa isteri dan anak perempuan berusia empat tahun demi melakukan aksi wheelie mengundang padah apabila dia ditahan polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Video berdurasi 17 saat yang menjadi perhatian ramai memaparkan suspek menunggang motosikal jenis Honda EX5 sambil melakukan aksi wheelie di Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Medan Bandar, Alor Setar.
Lebih membimbangkan, aksi berbahaya itu dilakukan ketika isterinya yang berusia 25 tahun serta anak kecil mereka berada di atas motosikal yang sama.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.41 tengah hari hari ini sebelum siasatan dijalankan.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 pagi Sabtu lalu ketika suspek berusia 26 tahun dalam perjalanan bersama isteri dan anak perempuan mereka untuk keluar makan malam.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis berjaya menahan suspek pada jam 3.40 petang hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan ketika melakukan aksi wheelie itu turut disita bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Tindakan suspek turut mengundang kecaman orang ramai yang menyifatkan keselamatan keluarga tidak seharusnya dipertaruhkan demi melakukan aksi berbahaya atau meraih perhatian di media sosial. Ramai berpendapat seorang kanak-kanak tidak sepatutnya dijadikan penumpang ketika aksi sedemikian dilakukan kerana sebarang kehilangan kawalan boleh mengakibatkan kecederaan serius atau meragut nyawa.
Dalam sekelip mata, aksi yang mungkin dianggap sekadar hiburan mampu bertukar menjadi tragedi. Lebih menyedihkan, risiko bukan hanya ditanggung penunggang, malah isteri dan anak kecil yang bergantung sepenuhnya kepada keputusan seorang suami dan bapa ketika berada di jalan raya.
Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan kesalahan terhadap individu yang memandu secara melulu atau berbahaya sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan:
a) Penjara sehingga lima tahun
b) Denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000
c) Hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya lima tahun
Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya:
a) Penjara sehingga 10 tahun
b) Denda antara RM10,000 hingga RM20,000
c) Tempoh hilang kelayakan lesen memandu yang lebih berat mengikut perintah mahkamah.
Antara kesalahan yang sering disiasat di bawah Seksyen 42(1):
a) Melakukan aksi wheelie
b) Berlumba haram
c) Aksi ‘superman’
d) Memandu secara zig-zag
e) Memandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain