
Akad nikah di depan jasad ibu, suami jadi kekuatan. Ini detik paling mencuit emosi buat pengantin baharu, Nurul Hazwani Alias, 26, apabila ibunya, Jewayah Tajally, 70, pergi ke dunia abadi tanpa disangka-sangka pada pagi hari pernikahannya selepas bertarung dengan kanser pankreas yang merebak ke paru-paru.
Akad Nikah Di Depan Jasad Ibu

Menurut Nurul Hazwani, akad nikah bersama suaminya, Mohd Sharul Azman, 28, berlangsung pada jam 9 pagi di Surau Al-Firdaus, Ampang, manakala van jenazah arwah ibunya tiba kira-kira sejam kemudian.
“Ketika saya bernikah, jasad mak ada di hadapan saya. Saya percaya roh mak ada bersama, melihat saya dinikahkan. Saya yakin mak gembira kerana dapat menantu terakhir yang akan menjaga anaknya,” katanya.
Majlis perkahwinan asal dirancang berlangsung pada Disember ini dan segala persiapan termasuk tempahan dewan serta katering telah dibuat, namun keputusan menyegerakan akad nikah dibuat selepas melihat tahap kesihatan ibunya semakin merosot.

Tambahnya, ibunya sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu mengenakan busana mengikut tema majlis, sebaliknya hanya menyebut satu permintaan ringkas iaitu mahu memakai baju putih.
“Saya sudah belikan baju hijau mengikut tema majlis untuk mak dan adik-beradik saya. Namun mak kata dia tak mahu baju apa-apa. Mak cuma cakap, mak nak pakai baju putih.”
Seminggu sebelum pernikahan, ibunya dimasukkan ke hospital dalam keadaan sangat lemah dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen selepas kanser pankreas yang dihidapinya merebak ke paru-paru.
Pada pagi Ahad, ibunya menghembuskan nafas terakhir ketika sedang tidur.
Nurul Hazwani yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, ibunya tidak meninggalkan sebarang pesan khusus berkaitan perkahwinan, sebaliknya hanya menasihatkan supaya menjadi isteri yang baik dan taat kepada suami.
Suami Jadi Kekuatan

Saat emosi rasa terhempas, suaminya Mohd Sharul menjadi kekuatan utamanya, lebih-lebih lagi selepas dia kehilangan kedua-dua ibu bapa.
Selepas kisah pernikahan dan pemergian ibunya tular di media sosial, Nurul Hazwani berkata, keluarganya menerima ribuan doa dan sokongan daripada orang ramai.
“Saya dan keluarga mengucapkan terima kasih. Semoga pahala doa-doa itu sampai kepada arwah mak. Ini semua saham akhirat buat dia. Saya sendiri tidak tahu amalan apa yang mak lakukan semasa hidup sehingga begitu ramai mendoakan,” katanya.
@anna_nurfarhannah #wanie ♬ original sound – Ainaabeauty.annaawie – Annaawie
Tidak mudah untuk menerima ujian hebat ini, namun semuanya sudah tertulis di luth mahfuz. Apa pun Mingguan Wanita doakan yang baik-baik buat pasangan ini, semoga kebahagiaan memeluk kalian berdua sampai ke syurga.
Sumber Video: anna_nurfarhannah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




