Air mata warga Pal4stin tumpah di tepi pantai, kecewa bantuan Sumud Frotilla ditahan. Di sebalik penahanan kesemua 497 aktivis Global Sumud Flotilla semalam, ada kesedihan yang tak termampu diungkap dengan kata-kata.
Warga Palestin yang menanti penuh pengharapan di tepi pantai Gaza, mengharapkan bekalan makanan dan ubatan tiba melalui misi Global Sumud Flotilla, akhirnya menangis kecewa apabila menerima khabar bahawa kesemua aktivis telah ditangkap secara tidak sah oleh tentera Zionis di perairan antarabangsa semalam.
Luahan seorang warga Palestin Khalidmtr.409653 di threadsnya semalam yang berkongsi situasi sepi di pantai dan tangisan dirinya menyaksikan betapa hancurnya hati rakyat Palestin yang mengharapkan misi kemanusiaan ini berjaya sampai ke pantai mereka yang sudah lama terkepung antara hidup dan mati angkara zionis.
Dalam luahannya, Khalid menyifatkan semalam adalah sebagai detik paling memilukan buat dirinya dan warga Palestin yang menunggu dengan penuh pengharapan misi Global Sumud Frotilla sampai ke pantai mereka.
“Hati ini benar-benar hancur. Semua kapal dalam misi Sumud Flotilla termasuk yang terakhir telah ditahan. Kami terlalu berharap sekurang-kurangnya satu akan sampai, namun tiada satu pun dibenarkan melepasi sekatan. Mengapa kapal yang hanya membawa bantuan kemanusiaan pun disekat?” tulisnya dengan nada kesal.
Pemuda Palestin ini turut menggambarkan dirinya pulang dengan jiwa yang kosong, seakan meninggalkan sebahagian rohnya di tepi laut. Namun di sebalik derita, Khalid tetap berdoa agar kru flotilla dilindungi dan berharap suatu hari nanti, kapal-kapal bantuan itu akan berjaya menembusi sekatan dan tiba di Gaza dengan selamat.
“Diri ini begitu berharap sekurang-kurangnya satu kapal akan sampai kepada kami. Tapi mungkin ada hikmahnya, Allah lebih mengetahui. Terima kasih kepada semua kru Flotilla yang sanggup mengambil risiko besar ini.
“Aku berdoa semoga Allah melindungi mereka, menjauhkan mereka daripada bahaya. Dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong serta menguatkan diri ini dengan kata-kata yang baik. Aku masih berharap suatu hari nanti kapal-kapal bantuan akan selamat sampai kepada kami,” tambahnya lagi.
Sehari sebelum mengetahui kesemua aktivis Global Sumud Frotilla telah ditangkap, pemuda ini dan adiiknya turut menulis impian mereka.
“Saya dan perempuan saya sedang menunggu Global Sumud Flotilla. Kami menunggu dengan penuh harapan agar ia tiba kepada kami dengan selamat. Keluarga kami di Gaza sedang menderita setiap hari tanpa makanan, ubat-ubatan selain keselamatan yang tiada jaminan.
“Kami di sini sangat memerlukan sokongan semua. Tolong jangan berdiam diri. Sebarkan kisah kami dan jika mampu bantulah kami untuk terus bertahan,” katanya yang turut berkongsi sarapan pagi yang sangat ringkas, sekadar menahan lapar dari penderitaan yang dideritai warga Palestin selama ini.