
Pengasuh
Sebelum ini tular kisah Adik Adam atau nama penuhnya Muhammad Adam Mikhael yang berumur 3 tahun demam rindu, pengasuh sanggup naik motosikal datang ziarah walau jarak jauh dari rumahnya.
Menerusi Penang Kini, Adik Adam dikatakan cukup rapat dengan pengasuh India yang dipanggil mesra “Amma” dan “Appa”.
Tanpa disangka-sangka, Adam dikatakan demam dan sering meracau pada waktu malam sambil memanggil nama Amma dan Appa. Walaupun sudah dibawa ke klinik, demamnya masih tidak kebah. Rupanya bukan sekadar sakit biasa, tetapi demam rindu.
Apabila mengetahui keadaan Adam, Amma dan Appa tanpa berfikir panjang terus menaiki motosikal untuk datang menziarahinya walaupun jarak rumah mereka hampir sejam perjalanan.
Dalam perjalanan, mereka diuji pula dengan hujan lebat. Namun cuaca itu tidak menghalang mereka meneruskan perjalanan demi melihat keadaan Adam.
Kasih sayang mereka kepada si kecil itu benar-benar menyentuh hati ramai. Sungguh, tidak semua anak lahir dari rahim, ada juga anak yang ‘lahir’ dari kasih sayang yang tulus dan ikhlas.
Semoga adik Adam membesar jadi anak yang mengenang jasa ibu ayah dan pengasuhnya yang tulus menjaganya sepenuh hati.