
Pada usia baru 20 tahun, Adawiyyatunnisa Azham Affif mencipta pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelima keseluruhan kategori wanita pada Sukan Nomad Dunia Keenam 2026 di Kyrgyzstan.
Bagi Adawiyyatunnisa, penyertaan itu juga menjadi penampilan sulungnya di temasya berkenaan selepas hampir sedekad mendalami sukan pemanahan berkuda.
Atlet negara itu menyertai dua acara pemanahan berkuda di Kyrchyn Gorge, Issyk-Kul pada 3 dan 5 September lalu.
Baca artikel: Nur Zahirah, Peguam Malaysia Cipta Sejarah Di New Zealand
Dalam acara gaya Kyrgyz, Adawiyyatunnisa menamatkan saingan di tempat keempat dengan 21.25 mata.
Beliau hanya ketinggalan 0.06 mata di belakang Yulia Lozhnikova dari Rusia yang meraih pingat gangsa dengan 21.31 mata.
Anna Sókólska dari Poland meraih perak dengan 28.10 mata, manakala Gunbileg Ganbaatar dari Mongolia muncul juara dengan 30.09 mata.
Dalam acara gaya Magyar atau Hungarian pula, Adawiyyatunnisa terpaksa membuat penyesuaian pada saat akhir selepas kuda pilihan pertamanya mengalami kecederaan.
Beliau kemudiannya bertanding menggunakan kuda gantian dan menamatkan saingan di tempat ke-13.
Seorang lagi wakil Malaysia, Qaseh Nur Humaira Azmi, berada di tempat ke-14.
Keputusan kedua-dua acara itu menyaksikan Adawiyyatunnisa menduduki tempat kelima keseluruhan kategori wanita.
Walaupun berjaya berada dalam kelompok lima terbaik, Adawiyyatunnisa mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Walaupun mendapat kedudukan lima teratas, masih ada banyak yang perlu saya perbaiki dan tambah baik terutamanya dari segi teknik, konsentrasi dan konsistensi.”
Menurutnya, pengalaman tersebut menjadi motivasi untuk terus bekerja keras bagi meningkatkan kemampuan dan mencapai potensi terbaiknya.
Pelajar tahun pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut muncul sebagai wakil Malaysia kedua terbaik dalam saingan lelaki dan wanita selepas Haddif Hamidi.
Beliau juga menduduki tempat ke-17 keseluruhan daripada 123 peserta.
Menariknya, perjalanan Adawiyyatunnisa dalam dunia memanah bermula sejak berusia tujuh tahun selepas mendapat latihan awal daripada ayahnya yang juga bekas atlet memanah berkuda.
Beliau pada awalnya mempelajari memanah sebelum mendalami kemahiran berkuda. Selepas menguasai kedua-duanya, beliau mula menceburi pemanahan berkuda sekitar usia 10 tahun.
Namun, sukan ini bukan tanpa cabaran.
Menurut Adawiyyatunnisa, sifat kuda yang sukar diduga boleh mendatangkan risiko kecederaan sekiranya tidak ditangani dengan baik. Komunikasi antara atlet dan haiwan juga memerlukan pemahaman terhadap naluri serta tingkah laku kuda.
Selepas hampir 10 tahun menjalani latihan, Adawiyyatunnisa mempunyai satu lagi impian, iaitu melihat lebih ramai wanita menceburi sukan pemanahan berkuda yang menurutnya masih didominasi kaum lelaki.
“Saya nak teruskan legasi ayah saya dan juga saya nak meramaikan lagi kaum wanita untuk aktiviti memanah berkuda ini.”
Penyertaan di Kyrgyzstan merupakan penampilan ketiga Malaysia di Sukan Nomad Dunia selepas edisi 2018 di Iznik, Türkiye dan 2022 di Astana, Kazakhstan.
Sukan Nomad Dunia Keenam berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September dengan penyertaan atlet dari 51 negara dalam pelbagai sukan tradisional dan warisan.
Bagi Adawiyyatunnisa, pencapaian di Kyrgyzstan bukan sekadar kedudukan di carta keputusan, tetapi pengalaman penting untuk terus memperbaiki diri dan membawa sukan pemanahan berkuda wanita ke tahap yang lebih jauh.
Baca juga artikel: Kenali Nur Aisyah Zubir, ‘Pocket Rocket’ Wanita Malaysia Yang Cipta Sejarah Di Olimpik
Sumber: Astro Awani & Buletin TV3