Ada Nampak Yang Negatif Ke, Bila Nurse Datang Rumah Ibu Lepas Bersalin

Mana-mana ibu lepas bersalin akan menerima rutin lawatan dari jururawat desa yang datang rumah. Untuk pemeriksaan ibu bersalin dan bayinya.

Sayangnya, ada ibu muda yang tak faham. Minta nurse kurangkan lawatan datang rumah itu.

Jururawat ini, Lara Marina (Lara Marina Radzali) berkongsi apa sebenarnya yang berlaku semasa lawatan tersebut. Dan kenapa ianya penting.

Ada Nampak Yang Negatif Ke, Bila Nurse Datang Rumah Ibu Lepas Bersalin

Jawapan Kenapa Nurse Datang Rumah Ibu Lepas Bersalin

Puan, nurse akan datang ke rumah pada hari ke 2,3,4,5,6,7,8,9,10,15,20 lepas tu dah tak ada datang dah. Puan pula yang kena pergi ke klinik untuk timbang dan vaksin baby. Jadual ada dalam buku. Tolong baca.

Nurse bukan suka-suka. Nurse cuma datang untuk periksa tekanan darah ibu, check peranakan dah kecut ke belum, luka dah baik ke belum, check baby, ajar cara cuci tali pusat baby, tengok tali pusat bernanah ke tidak, ajar menyusu etc. Free je puan.

Ada nampak apa-apa yang negatif ke bila nurse datang rumah?

Kalau ikutkan, dapat kes macam ni senang je nurse nak hadap. Bukak buku, tulis kat dalam buku,

Patient refused for home visit”.

Lepas tu Sign and Cop. Sekiranya berlaku apa-apa kepada bayi dan ibu adalah tanggungjawab sendiri bukan di bawah tanggungjawab anggota kesihatan.

Tapi, nurse tak buat semua tu. Sebab fikir ibu-ibu lepas bersalin ni adalah tanggungjawab mereka.

Penjagaan Postnatal Ini Penting Untuk Fizikal Dan Emosi Ibu

Kena faham. Postnatal bermaksud tempoh masa selepas kelahiran sehingga alat kelamin dan rahim kembali normal. Ia juga dikenali sebagai tempoh waktu berpantang bagi ibu selepas bersalin.

Semasa postnatal, berlaku perubahan hormon yang mempengaruhi fizikal dan emosi ibu. Oleh yang demikian penjagaan posnatal adalah penting bagi memastikan ibu dan bayi berada dalam keadaan yang sihat.

Jagaan perawatan postnatal di rumah dilakukan mengikut hari yang ditetapkan bagi ibu tanpa risiko. Ibu yang berisiko sebagai contoh mereka yang menghidapi darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya memerlukan jagaan perawatan postnatal yang lebih kerap mengikut keperluan untuk mengesan awal keadaan luar biasa atau komplikasi supaya rujukan segera dapat dibuat ke klinik atau hospital.

 

Ada Nampak Yang Negatif Ke, Bila Nurse Datang Rumah Ibu Lepas Bersalin

Apa Nurse Buat Waktu Datang Rumah Ibu Bersalin

Apakah yang dilakukan semasa Jururawat membuat lawatan ke rumah?

Semasa lawatan ke rumah, jururawat akan memeriksa ibu dan bayi mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Jika jururawat mengesan keadaan tidak normal pada ibu dan bayi, rawatan atau rujukan ke klinik atau hospital akan dilakukan.

Pemeriksaan terhadap ibu:

√ Pemerhatian secara menyeluruh terhadap kesihatan ibu termasuk kebersihan diri.

√ Pemeriksaan tanda vital iaitu suhu badan, tekanan darah, denyutan nadi dan pernafasan ibu.

√ Ketinggian rahim diukur semasa setiap lawatan untuk mengesan pengecutan/ involusi rahim.

√ Pemeriksaan payudara bertujuan mengesan sebarang masalah penyusuan seperti bengkak, puting merekah, puting tenggelam atau kurang pengaliran susu supaya dapat memberi runding cara penyusuan.

√ Pemerhatian terhadap penyusuan susu ibu dan memberi runding cara penyusuan susu ibu.

√ Pemeriksaan luka perineum/ luka pembedahan

√ Memeriksa darah nifas (Lokia) bertujuan untuk mengesan keadaan luar biasa darah nifas. Sebagai contoh, Jumlah darah nifas yang keluar berlebihan atau sentiasa berwarna merah menunjukkan pendarahan luar biasa dan memerlukan rujukan segera ke hospital.

Darah nifas yang berwarna coklat dan berbau busuk menunjukkan jangkitan/infeksi dan perlu dirujuk ke klinik/hospital.

√ Memeriksa tanda dan gejala Deep Vein Thrombosis (pembekuan darah di dalam salur darah di kaki) / Pulmonary Thromboembolism (penyekatan salur darah oleh darah beku di paru-paru) seperti sakit dada, susah bernafas, bengkak dan kemerahan di kaki, atau sakit betis

√ Pemeriksaan terhadap pembuangan air kecil dan air besar.

Pemeriksaan Untuk Bayi Pula..

Pemeriksaan secara menyeluruh terhadap bayi termasuk:

Berat badan

Suhu

Mata

Jaundis (kuning)

Kulit

Pusat

Pembuangan air kecil dan air besar

Pendidikan kesihatan yang berkaitan seperti:

Penyusuan susu ibu

Penjagaan bayi baru lahir

Pengesanan dan pengendalian jaundis di kalangan bayi

Pemakanan ibu postnatal

Kebersihan diri dan penjagaan luka episiotomy/luka pembedahan

Kepentingan pengambilan ubat yang dibekalkan

Senaman dan ambulasi awal bertujuan menggalakkan pengeluaran darah nifas dalam membantu mengembalikan tonus otot organ reproduktif dan pengaliran darah yang baik. Senaman dan ambulasi awal seperti:

Senaman ringan postnatal

Senaman pelvic floor

Perancang keluarga bertujuan menjarakkan kelahiran

Kepentingan lawatan susulan ke klinik

Tak Perlu Pun Bayar Apa-apa

Adakah perkhidmatan lawatan ke rumah untuk perawatan postnatal dikenakan bayaran?

Perkhidmatan perawatan postnatal di rumah dijalankan secara percuma bagi semua warganegara Malaysia.

Bayaran hanya dikenakan kepada ibu yang bukan warganegara Malaysia berdasarkan Perintah Fi (Perubatan & Kos Perkhidmatan) 2014 yang ditetapkan bagi warga asing.

Sumber/foto : Lara Marina

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI