Ada 2 Cucu, Krisdayanti Bergelar Pelajar Universiti Pada Usia 50 tahun

Share

Pada usia 50 tahun, ketika kebanyakan figura hiburan seusianya selesa menikmati kemuncak kerjaya, Krisdayanti memilih untuk melangkah semula ke dunia akademik.

Diva tersohor Indonesia ini kini bergelar pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pemerintahan di Universitas Terbuka Jakarta, membuktikan bahawa impian dan ilmu tidak pernah mengenal usia.

Kehadirannya di sesi orientasi pelajar baharu baru-baru ini mencuri perhatian. Tanpa sebarang keistimewaan, pelantun lagu Menghitung Hari

itu mengenakan jaket rasmi universiti rona kuning, duduk bersahaja di barisan hadapan bersama pensyarah dan rektor.

Senyumnya yang ikonik disertai semangat baharu, seolah-olah mengingatkan semua bahawa kejayaan tidak hanya diukur pada populariti, tetapi juga pada keberanian memulakan sesuatu yang baik.

“Saya berharap kita semua dapat menamatkan pengajian bersama dan menjadi pelajar yang cemerlang serta profesional,” ucapnya di hadapan ratusan pelajar baharu, sambil menerima tepukan gemuruh.

Menerusi hantaran di Instagram, isteri kepada usahawan Raul Lemos ini mengungkapkan rasa syukur kerana dapat kembali ke dunia akademik.

“Babak baru untuk terus bergerak, InsyaAllah Yasarallahu… tidak ada salahnya memulakan sesuatu yang baik,” tulisnya.

Dari Panggung Hiburan ke Dunia Akademik

Perjalanan Krisdayanti di dunia seni bermula seawal usia 12 tahun melalui album Biasa Saja. Namun namanya benar-benar meniti di bibir peminat apabila memenangi pertandingan Asia Bagus pada 1992 ketika berusia 17 tahun. Sejak itu, beliau menjadi ikon hiburan yang disegani di rantau ini.

Kini, di usia emasnya, langkahnya ke bangku kuliah adalah satu pernyataan tegas, kejayaan sebenar adalah apabila kita terus belajar, membina diri dan memberi inspirasi kepada orang lain.

Krisdayanti sekali lagi membuktikan seorang wanita boleh menjadi bintang di pentas, isteri yang setia, ibu yang penyayang, dan pelajar yang bersemangat, semuanya dalam satu masa.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu