
Tiada yang lebih memilukan bagi seorang ibu selain melihat anak kecil yang dahulu ceria dan aktif kini hanya mampu terbaring tanpa daya. Itulah dugaan besar yang sedang dilalui oleh Siti Nur Shafiqa Suraini, 31, apabila anak sulungnya, Muhammad Aish Irfan Mohammad Hakeem, 3, disahkan menghidap Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC) — sejenis kerosakan otak serius berpunca daripada jangkitan Influenza A.
Menurut Siti Nur Shafiqa, sebelum jatuh sakit, Aish merupakan anak yang pintar dan periang, malah sudah mampu mengenal huruf serta warna walaupun baru berusia tiga tahun.
“Malam itu, sebelum tidur dia masih bermain dan minum susu seperti biasa. Tapi kira-kira jam 4.30 pagi, dia tiba-tiba menangis kuat, muntah dan suhu badannya naik mendadak hingga 39.8 darjah Celsius. Kami terus bawa ke Hospital Melaka sebab dia dah lemah dan tak respon bila saya panggil,” katanya kepada Sinar Harian.
Setibanya di hospital, keadaan Aish semakin membimbangkan apabila bacaan suhu badannya meningkat kepada 41 darjah Celsius manakala tahap oksigen menurun dengan mendadak. Keadaan itu memaksa doktor menempatkannya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) bagi pemantauan rapi.
“Hari pertama di PICU, oksigen masih tak stabil dan kaki dia tiba-tiba lemah. Selepas imbasan CT dan MRI, doktor sahkan otak Aish ada kerosakan akibat Influenza A. Hari kedua, dia ditidurkan dan doktor minta kami bersedia untuk sebarang kemungkinan,” jelasnya.
Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood merupakan komplikasi neurologi yang jarang berlaku tetapi sangat serius. Penyakit ini menyebabkan kerosakan pada tisu otak akibat tindak balas imun yang melampau selepas jangkitan virus seperti Influenza A. Dalam kes Aish, jangkitan tersebut meninggalkan kesan kekal pada fungsi otaknya.
Siti Nur Shafiqa berkata, anaknya berjuang di PICU selama hampir sebulan sebelum keadaannya kembali stabil. Namun begitu, kesan jangkitan tersebut meninggalkan perubahan besar dalam kehidupan mereka sekeluarga. Kini, Aish kehilangan kebolehan mengawal tubuh, tidak lagi mampu bertutur, hanya bergantung pada tiub untuk minum susu, dan telah disahkan sebagai OKU fizikal.
“Pakar maklumkan gelombang otak masih perlahan. Sekarang Aish cuma boleh tunjuk reaksi sedih atau gembira. Setiap dua jam saya beri susu dan ubat ikut masa. Ayahnya pula yang dukung dan mandikan setiap hari,” ujarnya dengan nada sebak.
Anak sulung daripada tiga beradik itu kini menjalani rawatan susulan bersama lima pakar termasuk neurologi, pediatrik, kulit dan penyakit berjangkit — selain mengikuti empat jenis terapi seperti fisioterapi, terapi bahasa, terapi cara kerja dan rehabilitasi.
Namun, menurut ibunya, kos rawatan yang tinggi menjadi cabaran utama buat mereka.
“Terapi fisioterapi di luar mencecah RM150 untuk 20 minit untuk sekali terapi, ada juga terapi di hospital kerajaan cuma dapat dua atau tiga bulan sekali. Kami ada dapat bantuan JKM RM500 untuk OKU terlantar, tetapi masih lagi tidak mencukupi untuk menampung kesemua kos rawatan dan pemulihan,” katanya.
Walaupun berdepan dugaan hebat, Siti Nur Shafiqa tetap tabah dan menaruh harapan agar anaknya kembali sihat seperti dahulu. “Semoga Muhammad Aish Irfan kembali pulih dan dapat merasa semula nikmat berjalan, bercakap dan ketawa seperti dulu,” ujarnya.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan atau sokongan, orang ramai boleh menghubungi Siti Nur Shafiqa menerusi akaun TikTok miliknya, ‘IbuAish’.
Artikel lain: Mejar Mohd. Fikry & Isteri Mohon Doakan Tiga Puteri Kembar Doakan Kesihatan Anak-anak Triplet Kami Yang Masih Di NICU
Pengubat Rindu Al Fateh Macam Tak Percaya Dapat Tiga Puteri Sekali Gus
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE