Di era moden serba mencabar ini, ramai ibu bapa sering berdepan dilema apabila anak-anak meminta gajet baharu. Namun bagi Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, permintaan anak bukan sekadar soal memenuhi kehendak material.
Sebaliknya, ia menjadi ruang mendidik dan menyemai cinta Al-Quran dalam jiwa mereka.
Baru-baru ini, beliau sekali lagi mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi momen manis bersama puteri tersayang, Affaf, yang meminta telefon bimbit baharu setelah telefon lamanya rosak.
Namun, jawapan si ayah tidak seperti yang dijangka. Dr Asyraf tidak terus mengangguk tanda setuju, sebaliknya meletakkan syarat:
“Boleh. Dengan syarat Abi nak tasmik (tebuk) dulu Hafazan Kakak ya. Ambil surah senang saja, Al-Baqarah. Jadi pastikan murajaah (mengulang kaji) balik. Hari Ahad lulus, Abi terus belikan!”
Menurut Dr Asyraf, sejak kecil lagi anak-anaknya telah dibiasakan dengan satu didikan Al-Quran mesti diutamakan sebelum mendapat apa sahaja yang diinginkan.
Bukan hanya sekadar janji manis, terbukti hasilnya cukup mengagumkan. Affaf kini sudah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran sejak di bangku sekolah menengah.
Walaupun hafazan itu telah sempurna, Dr Asyraf tetap menekankan kepentingan murajaah agar ayat-ayat Allah sentiasa segar dalam ingatan. Malah, selepas memenuhi janjinya membeli telefon baharu, beliau terus menetapkan cabaran baru:
“Ok, lepas ini terus murajaah hafazan. Lepas Subuh esok Abi nak mula tasmi’ Surah Ali Imran pula ya.”
Murajaah (مراجعة) berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud mengulang kaji, mengingat kembali atau menyemak semula
.👉 Dalam konteks Al-Quran, murajaah ialah proses mengulang hafazan ayat-ayat yang sudah dihafal supaya tidak terlupa.
Orang yang menghafaz (hafiz/hafizah) perlu sentiasa murajaah setiap hari kerana hafazan boleh hilang jika tidak dipelihara.
Ia juga termasuk menyemak bacaan dengan guru (tasmi’), agar sebutan, tajwid dan hafazan sentiasa tepat.
Apa yang lebih menyentuh hati ialah reaksi Affaf. Dalam kegembiraan menerima telefon baharu, dia beberapa kali memeluk ayahnya dengan perasaan terharu dan syukur. Momen itu bukan sekadar tanda kasih seorang anak, tetapi bukti bahawa didikan berasaskan hikmah mampu mengikat hati keluarga dengan cara yang lebih bermakna.
Di ruangan komen, ramai netizen kagum dengan cara Dr Asyraf mendidik. Baginya, kemahuan anak tetap boleh dipenuhi, tetapi harus disandarkan dengan keberkatan Al-Quran agar mereka sentiasa membesar dalam lingkungan iman.
Dalam dunia yang penuh cabaran material, kisah ini hadir sebagai inspirasi bahawa membesarkan anak bukan hanya tentang menyediakan keperluan duniawi. Apa gunanya gajet canggih jika hati kosong daripada cahaya Ilahi?
Datuk Dr Asyraf menegaskan, keberkatan Al-Quran itu sendiri menjadi benteng utama anak-anak menghadapi dugaan moden. Dengan cara ini, mereka bukan sahaja memiliki ilmu dunia, tetapi juga senjata rohani untuk kekal kuat di jalan yang benar.
Sungguh memberi inspirasi!
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE