Seorang isteri tidak seharusnya menanggung derita dalam diam. Kasih dan cinta sejati tidak pernah menyakitkan, ia sepatutnya membahagiakan. Jika luka dan tangisan menjadi teman harian, ketahuilah bahawa dirimu berhak untuk memilih kehidupan yang lebih tenang dan selamat.
Jangan biarkan anak-anak membesar dalam bayang-bayang trauma, kerana mereka juga layak melihat seorang ibu yang tabah dan bahagia. Kebangkitan seorang wanita bukan tanda kelemahan, sebaliknya lambang kekuatan untuk melindungi diri dan keluarga. Ingatlah, setiap wanita berhak dicintai dengan cara yang tidak dilukai.
Wanita bangkitlah jika suami tidak lagi menghargai dan menjadikan anda sebagai sasaran untuk didera. Sedarlah yang luka di tubuh mungkin sembuh, tetapi luka di jiwa terus berbekas.
Bangkitlah, kerana kebahagiaan dan keselamatanmu jauh lebih bernilai daripada rasa sayang yang melukakan. Seperti mana dikongsikan oleh Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Puan Suzana Ghazali bersama Mingguan Wanita menerusi bual bicara Sembang Wanita, dirinya berkongsi pengalaman kliennya.
“Sepanjang mengendalikan kes-kes wanita yang dirujuk kepada saya, ada wanita sanggup tunggu dalam rumahtangga walau jadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Ada kes dirujuk kepada saya, malam kena pukul dengan teruk, esok lusa diberi hadiah barang kemas dan isteri kembali senyum. Bila suami minta maaf, terus lupakan semuanya.”
“Ada banyak isteri begini. Alasan mereka nak beri suami peluang. Sebab masih sayang dan sebagainya tanpa sedar badan sakit, hati sakit kena dera, kena pukul.
“Alasan isteri kena pukul tak apa, asal suami jangan curang,” kongsi Suzana.
Malah Suzana juga menasihati kaum wanita yang bergelar isteri fikirlah tentang masa depan diri dan anak-anak tersayang. Jangan kerana terlalu kasihkan suami diri sendiri menjadi tempat lempias kemarahan.
“Nasihat saya, kalau didera dalam rumahtangga, jangan fikir soal sayang lagi sebaliknya fikirlah tentang anak-anak yang membesar dalam rumahtangga. Mereka alami trauma dan emosi teruk.
“Malah ada kes anak menjerit kuat bila lihat ibunya selalu kena pukul. Bangkitlah dan jangan terfikir rumahtangga semuanya indah kerana memang ada isteri didera oleh suami yang psiko,” kongsi Suzana lagi.
Terbaru menerusi Astro Vinmeen, Aadhira drama berbahasa Tamil di Malaysia boleh dijadikan teladan buat kaum isteri yang mengalami masalah rumah tangga apatah lagi yang didera suami.
Inilah antara kisah pengajaran buat wanita, bahawa kekuatan sebenar seorang isteri bukan pada bertahan dalam derita, tetapi pada keberanian memilih jalan keluar demi diri dan anak-anak.
Aadhira mengisahkan seorang wanita bernama Aadhira, yang pada zahirnya kelihatan taat dan penyayang. Namun, perkahwinannya dengan Dharma, seorang lelaki karismatik yang menyertai kumpulan “lelaki maskulin toksik”, membawa penderitaan dalam bentuk fizikal, emosi, dan kewangan.
Situasi bertambah serius apabila keselamatan anak mereka turut terancam. Dalam dilema yang menghimpit, Aadhira terpaksa memilih antara terus menanggung derita demi keluarga, atau keluar dengan berani melalui perceraian dan meneruskan hidup yang lebih selamat serta bermaruah. Jangan lupa saksikan drama menarik ini setiap Isnin hingga Khamis di saluran Astro Vinmeen (Ch 202). Anda juga boleh saksikan drama ini di Astro GO, On Demand, dan sooka.