
8 kali mengandung anak luar nikah, gadis jual diri demi sepinggan nasi.
Sebuah rumah perlindungan wanita, Baitus Solehah mendedahkan kes gadis mengandung tanpa nikah yang agak luar biasa.
Bukan sekali tapi lapan kali dan hampir kesemua kehamilannya melibatkan lelaki berbeza selepas individu berkenaan mendapatkan perlindungan ketika kehamilan kelapannya.
Menurut pengasas Baitus Solehah, Mak Liza, gadis tersebut datang seorang diri menaiki bas ekspres selepas dihalau keluar oleh keluarganya dan tidak lagi dibenarkan pulang ke rumah.
“Untuk kali kelapan mengandung, dia hubungi saya dan mohon masuk Baitus Solehah. Dia datang seorang diri naik bas ekspres. Saya minta sukarelawan jemput di terminal bas,” katanya.
Mak Liza berkata, ketika proses permohonan dan pendaftaran awal, gadis berkenaan tidak menceritakan sejarah hidupnya secara terperinci. Namun perkara itu diketahui kemudian selepas pemeriksaan kesihatan dilakukan di klinik.
“Saya tahu pun apabila buat buku pink di klinik. Dengan misi berlaku jujur, dia ceritakan sejarah kandungan sebelumnya. Semua kandungan terdahulu tercatat dalam buku pink,” katanya.
Menurut Mak Liza, setiap pelatih yang mendapatkan rawatan di klinik diwajibkan menunjukkan buku pink dan memberikan laporan kesihatan bagi membolehkan pihak rumah perlindungan memantau keadaan mereka.
“Setiap pelatih balik dari klinik mesti tunjuk buku pink dan bagi laporan supaya saya tahu tahap kesihatan mereka. Termasuk kes ini. Terkejut juga saya membaca,” katanya dalam perkongsian di media sosialnya.
Hasil semakan mendapati gadis berkenaan telah mengandung sebanyak tujuh kali sebelum ini. Anak pertama dipelihara oleh nenek, manakala anak-anak seterusnya diserahkan kepada keluarga angkat.
“Dia ingat tarikh setiap kelahiran anak. Anak pertama dipelihara oleh nenek. Anak-anak lain semua diserahkan kepada keluarga angkat. Lepas serah, dia tak pernah jumpa lagi,” katanya.
Mak Liza berkata, ketika kelahiran anak pertama, pihak keluarga masih bersedia menjadi penjamin semasa proses discaj hospital. Namun keadaan berubah apabila kehamilan berlaku berulang kali.
“Bila mengandung anak kedua dan seterusnya, keluarga tetap kena jamin, tapi mereka dah tak mahu ambil tahu lagi. Penat nasihat, marah, pukul, tapi perkara sama tetap berulang,” katanya.
Bagi kehamilan kelapan, keluarga dilaporkan menolak sepenuhnya dan bertindak menghalau gadis itu keluar dari rumah.
“Untuk kandungan kali ke lapan, keluarga terus buang. Abang sulung sepak terajang, larang balik rumah mak. Sebab itu dia cari perlindungan tempat lain,” katanya.
Selepas mengetahui gadis itu pernah tujuh kali mengandung dan enam anak telah diserahkan kepada keluarga angkat, pihak Baitus Solehah menetapkan syarat agar anak kelapan dipelihara sendiri.
“Saya tetapkan syarat, anak kelapan ini mesti dia pelihara sendiri. Kami buat semakan dengan JPN, memang betul ada tujuh kelahiran sebelum ini,” katanya.
Mak Liza berkata, apabila ditanya mengenai punca kehamilan berulang, gadis berkenaan mengakui sebahagian kehamilan melibatkan bapa yang berbeza.
“Hanya anak kedua dan ketiga bapa yang sama. Yang lain berlainan bapa. Mereka janji nak kahwin masa bercinta, tapi bila saya mengandung, mereka tinggal dan ghaib,” katanya menurut pengakuan gadis berkenaan.
Menurut Mak Liza, gadis itu turut mengakui menjual diri bagi mendapatkan wang untuk kelangsungan hidup.
“Dia tahu perbuatan itu salah, tapi katanya dia perlukan duit untuk makan. Mereka cakap kalau nak duit, kena serah badan,” katanya.
Gadis berkenaan menetap di Baitus Solehah selama setahun sebelum dicarikan pekerjaan yang sesuai, termasuk kemudahan tempat tinggal bagi membolehkannya menjaga anaknya sendiri. Anak kelapan yang dilahirkan ketika pandemik Covid-19 kini berusia lima tahun. Kredit :- FB Baitus Solehah.