
Tahniah buat Astro yang telah meraikan kejayaan penganjuran Kita RunFest 2025 yang berlangsung di Serenia City, Sepang. Tahun ini, acara tersebut bukan sahaja mengumpulkan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, malah turut menyuntik kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar demi masa depan anak-anak kita.
Suasana meriah sepanjang hari jelas dirasai apabila 2,455 pelari mengambil bahagian dalam kategori 5km dan 10km peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, lebih 6,800 pengunjung memeriahkan festival, menunjukkan betapa masyarakat hari ini semakin cakna terhadap gaya hidup sihat dan aktiviti luar. Lebih menarik, kehadiran lebih 30 perniagaan tempatan turut mewarnai suasana dengan pelbagai jualan, makanan dan aktiviti keluarga.
Kejayaan Kita RunFest 2025 ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama erat antara Astro dan Sime Darby Property, serta sokongan kukuh penaja seperti KAON Group, Alphabet Capital, CIMB, TOP, Uphamol, Borneo Springs, Love Nature dan Salad Atelier. Setiap sumbangan memberikan makna tersendiri dalam menjayakan acara yang menekankan semangat komuniti.
Acara ini juga mengangkat usaha kelestarian melalui inisiatif Rimba Kita, program tanggungjawab sosial Astro yang memberi fokus kepada perlindungan hutan, pendidikan pemuliharaan dan aktiviti yang memupuk cinta alam. Hasil kutipan daripada acara ini akan disalurkan kepada program pendidikan, aktiviti lapangan serta usaha menjaga khazanah semula jadi negara.
Menariknya sewaktu Kita RunFest 2025 berlangsung terdapat beberapa acara yang menceriakan suasana iaitu Cabaran Oga Street (5KM), Persembahan Penyanyi dan juga pelbagai booth menarik.
Cabaran Oga Street (5KM) merupakan laluan yang diinspirasikan daripada Oga, watak pendidikan alam sekitar Astro, menyajikan pengalaman unik dengan pelbagai cabaran sukan tempatan yang dipenuhi sorakan ramai.
Pada masa yang sama pentas konsert menghangatkan suasana apabila Akim, Nadeera, Mimifly dan Soo Winci tampil dengan persembahan penuh bertenaga, menjadikan suasana lebih meriah dan ceria.
Selain itu disediakan pelbagai booth interaktif, permainan dan aktiviti pendidikan menarik minat pengunjung, terutama kanak-kanak yang teruja bertemu Didi & Friends, Oga dan Reemo.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, turut meluahkan rasa bangga, “Kami amat berbesar hati melihat keluarga, pelari dan rakan kongsi berganding bahu. Inilah semangat komuniti yang ingin kami pupuk, saat di mana masyarakat saling menyokong dan mengangkat satu sama lain. Kehadiran ramai membuktikan kekuatan semangat itu, dan kami bangga bersama-sama mencipta pengalaman bermakna untuk keluarga Malaysia”
Astro juga menzahirkan penghargaan kepada semua penaja, rakan kongsi, sukarelawan dan masyarakat yang meluangkan masa menjayakan Kita RunFest 2025.
Tahun ini, bukan sahaja memupuk gaya hidup yang sihat, tetapi turut memperkuatkan rasa kebersamaan dan cinta terhadap alam sekitar.