Berita

43 Dari 44 Barang Kemas Lubnan Dihantar Pada Rosmah Hilang, Diperintah Bayar RM65.7 juta

Share

Bukan sedikit nilainya, isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan membayar RM67.5 juta kepada syarikat barangan kemas Lubnan selepas didapati bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta.

43 Dari 44 Barang Kemas Lubnan Dihantar Pada Rosmah Hilang

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon dalam penghakimannya sebentar tadi, memerintahkan Rosmah membayar jumlah ganti rugi atas kehilangan barangan itu dalam tempoh sebulan bermula daripada penghakiman yang diputuskan hari ini kepada Global Royalty Trading SAL.

Ketika membacakan penghakimannya, Chew Soon berkata terdapat ‘prima facie’ bahawa isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos RM150,000 iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan pihak ketiga.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau telah dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa, hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.

Diperintah Bayar RM65.7 juta

Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.

Hakim itu ketika membacakan penghakimannya, berkata, mahkamah mendapati terdapat prima facie bahawa Rosmah gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat itu dan ia adalah suatu bukti kecuaian.

Beliau berkata, dalam kes saman itu, fakta mengenai apa yang berlaku kepada barang kemas plaintif (Global Royalty) selepas penyerahan berada dalam pengetahuan Rosmah sendiri selaku defendan.

Katanya, Rosmah gagal membuktikan dakwaan bahawa semua 43 barang kemas terbabit telah disita.

“Selepas bertahun-tahun prosiding, pemeriksaan dan prosiding pelucuthakan, hanya satu barang kemas berjaya dikenal pasti. Baki 43 barang kemas masih tidak dapat dikesan.

“Kegagalan defendan memanggil saksi material yang didakwa terbabit secara langsung dalam pengendalian dan pergerakan barang kemas itu turut menjejaskan pembelaannya.

“Kegagalan berkenaan menimbulkan inferens buruk terhadap defendan menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan,” katanya.

Hakim itu turut memerintahkan Rosmah membayar kos berjumlah RM150,00 iaitu masing-masing RM75,000 kepada plaintif dan Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai pihak ketiga.

Sementara itu, hakim menolak tuntutan Rosmah terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan, dengan menolak dakwaannya bahawa barang kemas yang hilang itu telah disita ketika serbuan polis yang berkaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018.

Menurut Chew Soon, Rosmah menegaskan barangan kemas itu diserahkan kepadanya untuk dilihat di mana pengaturan itu adalah suatu konsainan.

Hakim itu berkata, Rosmah juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kewajipan untuk membeli barang kemas terbabit dan ia bukan miliknya serta telah disita pihak berkuasa.

Katanya, keaslian nota konsainan tidak pernah dipertikaikan dalam prosiding terdahulu, sebaliknya Rosmah sendiri telah bergantung dan merujuk kepadanya sebagai sebahagian daripada kedudukan yang dipohon dan juga keterangannya.

“Keseluruhan keterangan defendan membuktikan empat fakta utama yang tidak dipertikaikan, iaitu 44 barang kemas telah diserahkan kepadanya dan diterima.

“Barang kemas itu telah diamanahkan kepadanya untuk ditunjukkan di bawah suatu pengaturan konsainan di mana defendan tidak pernah membeli atau membayarnya.

“Defendan gagal memulangkan 43 daripada barang kemas itu dan fakta ini adalah muktamad. Setelah penyerahan, pemilikan dan kegagalan pemulangan dibuktikan, beban tidak lagi terletak pada plaintif untuk membuat spekulasi mengenai apa berlaku ketika barang berada dalam jagaan defendan,” katanya.

Chew Soon berkata, beban pembuktian kemudiannya beralih kepada Rosmah untuk membuktikan kehilangan dan kegagalan pemulangan barangan kemas itu tidak berpunca daripada kecuaian atau kegagalan melaksanakan tahap penjagaan yang dikehendaki oleh undang-undang.

“Defendan tidak boleh sekadar menyatakan bahawa terdapat serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan barang mungkin telah disita, begitu juga bahawa pengawal peribadi mengendalikan beg berkenaan,”

katanya.

Chew Soon berkata, keseluruhan pembelaan Rosmah akhirnya bergantung kepada satu dakwaan utama, iaitu bahawa barang kemas itu telah disita oleh PDRM semasa serbuan yang dijalankan pada 2018.

Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan hanya membuktikan satu perkara dengan pasti, iaitu satu barang kemas akhirnya dikenal pasti dalam prosiding pelucuthakan dan dipulangkan kepada plaintif.

“Selain daripada satu barang kemas itu, tiada keterangan yang membuktikan bahawa baki 43 barang kemas itu pernah disita oleh PDRM.

“Dakwaan defendan bahawa barang kemas berkenaan disita oleh PDRM adalah suatu pembelaan positif yang dikemukakan bagi menjelaskan kegagalannya memulangkan barang kemas tersebut. Oleh itu, beban pembuktian terletak pada defendan.

“Seksyen 101, 102 dan 103 Akta Keterangan memperuntukkan bahawa beban membuktikan sesuatu fakta terletak pada pihak yang mendakwa fakta berkenaan dan undang-undang memerlukan bukti,” katanya.

Dengan itu, hakim berkata, Rosmah mesti membuktikannya.

Sumber: Berita Harian

Published by
Nadia Mohamad