Pernah tak, setiap nasihat yang diberikan buat anak ibarat mencurah air ke daun keladi.Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Rupanya nak nasihatkan anak dengan berkesan ada waktunya yang paling sesuai. Barulah nasihat yang diberikan berkesan dan sampai terus ke lubuk hati hati anak-anak.
“Mama tak marah! Mama cuma nasihat!”
Itulah skrip biasa yang sering kita dengar atau kita sendiri yang sebut dengan suara tinggi ketika mendepani kerenah anak.
Selalunya waktu anak pecahkan pinggan, anak sepahkan mainan, anak bangun lewat, anak melawan cakap, anak khusyuk bermain ‘game’, anak berkelahi, anak berlama-lama dalam bilik air, anak buang masa, anak malas, anak degil, anak protes dan sebagainya, itulah juga waktunya kita hendak memberi ‘tazkirah’ kepada anak.
Niat memberi nasihat itu akhirnya bertukar menjadi bebelan, menjadi ugutan, keluar ungkapan tidak enak, dan lebih parah lagi menjadi episod jawab menjawab dengan anak.Nasihat akhirnya menjadi ungkapan kosong masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Buang masa dan buang tenaga.
Nasihat harus sampai ke hati terlebih dahulu, barulah otak akan mula berfungsi untuk memikirkan kesan dan akibat sesuatu perbuatan.
Anak tidak akan dapat menerima nasihat pada bila-bila masa. Ada waktunya keadaan fizikal, mental dan emosi anak tidak bersedia untuk menerima nasihat ataupun terlalu terbeban dengan perkara lain walaupun kita bersemangat memberi nasihat.
BILAKAH WAKTU YANG SESUAI MENASIHATI ANAK?
Dr. Muhammad Abdul Hafizh Suwaid dalam buku Prophetic Parenting mencadangkan 3 waktu yang paling efektif dan paling sesuai untuk menasihati anak. Satu lagi adalah cadangan saya sendiri berdasarkan pengalaman dan pengetahuan.
4 waktunya adalah:
1. Waktu Makan
Sekurang-kurangnya sekali sehari duduklah bersama-sama menikmati hidangan sekeluarga di meja makan. Inilah masanya kita mendengar cerita anak-anak tentang hari yang dilalui mereka. Inilah waktunya mereka akan meminta dan memerlukan nasihat secara langsung atau secara tidak langsung. Ketika kita mendengar dan bercerita, selitkanlah nasihat dan panduan sebagai pedoman untuk anak-anak.
Inilah juga masanya kita menerapkan adab dalam diri anak. Adab makan, adab mengambil makanan, adab menyuap makanan, adab berdoa, adab bersyukur dengan rezeki yang berada di depan mata, adab berbicara dan adab mendengar.
Ads
Waktu makan adalah waktu santai. Kata orang, kenyang perut senang hati. Apabila hati senang, nasihat dan panduan pun mudah sampai ke dasar hati.
Oleh sebab inilah adalah merugikan sekiranya waktu makan dijadikan waktu untuk anak melayan gajet atau sambil menonton televisyen. Jika kita terlepas peluang untuk memberi nasihat pada waktu ini kerana gajet, mungkin kita juga akan terlepas peluang pada waktu lain.
Jadikanlah waktu makan waktu yang berkualiti untuk keluarga.
2. Waktu Dalam Perjalanan
Kehidupan moden adalah kehidupan yang terkejar-kejar. Keluar rumah awal pagi, pulang ke rumah setelah tiada matahari. Beruntunglah mereka yang boleh bekerja masa fleksi.
Sebenarnya waktu yang singkat dan terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak dari sekolah merupakan waktu yang efektif untuk menasihati anak. Nasihat tidak semestinya panjang lebar. Nasihat yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam berbanding nasihat yang penuh berfalsafah.
Dalam perjalanan ke sekolah nasihatilah anak tentang adab dan akhlak bersama guru, bersama rakan-rakan dan juga terhadap orang sekeliling. Nasihat anak supaya gigih berusaha. Sesuatu insiden atau kejadian di luar kenderaan juga boleh dijadikan modal untuk menasihati anak, supaya anak peka dan cakna dengan keadaan sekeliling.
Di samping bersantai mendengar lagu-lagu di radio, pilihlah juga saluran radio yang bermanfaat, yang boleh dijadikan modal perbincangan bagi menjana minda anak-anak.
Seperti bait lirik nasyid oleh kumpulan Raihan “Berhibur tiada salahnya kerna hiburan itu indah Hanya pabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah”
Ads
Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah pula, dengarlah cerita anak tentang sekolah, tentang guru, tentang rakan-rakan anak dan juga tentang tugasan sekolah agar kita faham dan terlibat dengan persekolahan anak. Apabila kita mendengar dan faham, anak akan lebih terbuka untuk bercerita dan kita juga lebih berpeluang untuk memberi nasihat.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmidhi pernah menyebut bahawa Rasulullah SAW memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang berusia belasan tahun ketika itu secara santai ketika Ibn Abbas menunggang unta (kenderaan) di belakang Rasulullah SAW. Nasihat Baginda, “Jagalah agama Allah, nescaya Allah menjagamu”
3. Waktu Main Bersama
Kita biasa mendengar, bermainlah dengan anak ketika berusia 0-7 tahun dan disiplinkanlah anak ketika berusia 7-14 tahun. Kedua-dua fasa itu berkaitan. Bermain dengan anak ketika usia awal akan mempermudahkan kita untuk mendisiplinkan anak kemudiannya.
Bermain bersama-sama anak ketika mereka kecil, ketika membesar dan juga ketika remaja bukan hanya memberi manfaat kepada perkembangan fizikal anak, malah ia juga membentuk keperibadian positif anak.
Ibubapa yang terlibat adalah ibubapa yang peduli.
‘Involved parents are caring parents’.
Setiap permainan mempunyai peraturan dan strateginya. Setiap permainan mempunyai pemikiran dan emosinya. Inilah waktu yang terbaik untuk menasihati anak tentang asam garam kehidupan, tentang kawalan emosi, tentang interaksi sosial, dan tentang keperibadian dan tingkah laku.
Ads
Bermain ‘game’ bersama-sama dengan anak lebih bermanfaat berbanding membiarkan anak mengadap ‘game’ di skrin berseorangan. Apabila ‘bonding’ diwujudkan antara ibubapa dan anak ketika bermain bersama-sama, anak lebih terbuka untuk menerima sebarang nasihat mahupun teguran. Inilah yang memudahkan kita untuk mendisiplinkan anak.
4. Waktu Anak Sakit
Menurut Dr. Abdul Hafizh Suwaid, sakit dapat melunakkan hati orang dewasa yang keras apatah lagi hati anak-anak yang masih lembut dan lebih mudah menerima. Lumrahnya apabila sakit anak-anak menjadi lebih ‘clingy’ dan lebih inginkan belaian dan perhatian daripada ibubapa. Inilah peluangnya untuk kita berlembut menasihati anak secara ringan tanpa membebankan.
Bagi menggembirakan hati anak, kita boleh merancang dengan anak untuk melakukan sesuatu aktiviti apabila anak sihat kelak dan pada masa yang sama boleh diselitkan kata-kata nasihat buat anak. Pilihlah nasihat yang mudah diterima dan sesuai dengan keadaan anak.
Usahlah diberikan nasihat yang tidak sihat di kala anak sakit seperti “Itulah tak dengar cakap Mama, kan dah sakit. Kalau dengar cakap taklah jadi macam ni.”
Ataupun “Inilah balasan sebab berdosa dengan ayah semalam.”
Anak yang sakit bertambah nazak jadinya dengan kata-kata yang menghukum dan tidak berasas sedemikian.
Dalam buku ‘Prophetic Parenting’ ada diceritakan kisah Rasulullah SAW yang berdakwah kepada pembantu Baginda yang berbangsa Yahudi ketika Baginda SAW menziarahinya yang sedang sakit.
Begitulah antara waktu-waktu efektif untuk menasihati seorang anak.
Setiap anak menerima nasihat pada waktu yang berbeza-beza mengikut keperluan, keupayaan dan kematangan masing-masing. Carilah waktu yang sesuai untuk memberi nasihat agar nasihat itu meresap ke jiwa anak dan tidak menjadi seumpama menyimbah air ke daun keladi.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat mak ayah dalam mendidik dan menasihati anak-anak pada waktu yang paling berkesan.
Pengalaman ibu ini, Cik Puan Ammy dan suami berdepan sekumpulan anak-anak yang berbasikal lajak di tengah malam gelita membuatkan dirinya dilanda kebimbangan.
Mujurlah suami sempat menekan brek, kalau tidak mahu dia pun tergilis kepala anak-anak yang sedang leka bermain basikal lajak di tengah malam hari itu. Yang buat hatinya hairan, kenapa anak bersekolah ini lepas bebas sebegitu.
Terkenang Peristiwa Malam Merdeka
Rata-rata netizen menghentam hak kebebasan amoi yang melanggar mati 8 remaja Basikal Lajak dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru, pada 18 Februari 2017 yang lalu. Saya tidak berpihak kepada sesiapa, menghentam pun tidak, menyokong pun jauh sekali… Tetapi terus teringat peristiwa malam merdeka 2019 yang lepas.
Jam 11++ pm, ketika kami suami isteri pulang dari berniaga dengan menaiki lori… Kelihatan sekumpulan budak lelaki dalam lingkungan 5 ke 7 orang, mungkin sebaya dengan anak saya (12 tahun) sedang menolak Basikal Lajak mendaki bukit (jalan raya berbukit) di kawasan Forest Height Seremban.
Apabila kami tiba di atas bukit, ada pula yang bersiap sedia untuk ‘melajak’ basikal nya menuruni bukit… Ada juga yang bersantai – santai baring di bahu-bahu jalan di mana posisi kepala berada di atas jalan raya dan kami hampir menggilis kepala salah seorang daripada mereka kerana kawasan itu agak gelap (tiada lampu jalan).
Mujur Sempat Mengelak Dari Terkena Basikal Lajak
Nasib baik suami sempat mengelak. Jikalau lah suami tidak berhati-hati sudah pasti kami senasib dengan amoi yang melanggar mati 8 orang remaja Basikal Lajak tempohari kerana telah menggilis kepala kanak-kanak tersebut walaupun tidak sengaja… Nauzubillah mohon dijauhi pekara seperti itu berlaku keatas anak-anak saya dan anak-anak para pembaca.
Ikutkan hati suami, ingin sahaja berhenti dan ‘menghalau’ mereka balik. Tetapi saya menghalangnya kerana bimbang suami pasti akan memberi ‘pelempang jepun’ kepada anak-anak tersebut. Pasti ada ibu-bapa yang tidak berpuas hati nanti.
Dengan rasa tanggungjawab… Suami ‘call’ 999 dan minta disambungkan ke balai polis berhampiran minta pihak polis buat rondaan. Apa yang paling terkesan dengan kata-kata suami saya;
“Encik… Tolong segera ya. Anak-anak bangsa kita tu. ”
Di mana ibu dan bapa anak-anak tersebut? Sudah larut malam anak-anak masih tiada di rumah. Tidakkah mereka risau?
Sokong Hobi Anak Ke Saluran Yang Betul
Kepada ibu-bapa yang mendapati anak-anak ada memiliki Basikal Lajak. Tolong lah pantau. Jika berminat untuk berlumba basikal, tolong ke saluran yang betul dan selamat. ‘Support’ hobi anak-anak, luangkan masa melayan minat mereka. Anak-anak kita bakal pemimpin masa depan. Jangan hancurkan masa hadapan mereka dengan kelalaian kita sebagai ibu dan bapa.
Seperti yang saya nyatakan di atas, saya juga mempunyai seorang anak berumur 12 tahun, hampir juga nak ‘custom made’ Basikal Lajak secara rahsia menggunakan rangka-rangka basikal lama miliknya semasa berumur 4 ke 5 tahun yang lalu.
Biasa lah kan… Budak mana yang tidak tertarik dengan Basikal Lajak lebih-lebih lagi anak saya amat meminati sukan yang ‘extreme’ seperti ini. Memandang kan bapanya seorang pomen basikal dan punyai kelengkapan yang mencukupi memang tidak ada masalah untuk dia membina sebuah Basikal Lajak.
Walaupun dia sudah mempunyai sebuah basikal ‘mountain bike’. Namun dia masih tidak berpuas hati kerana hanya berlumba di laluan hutan (off road) sahaja. Dia juga ingin merasai pengalaman berlumba di jalan raya.
Kuasa Veto Mak, Padamkan Niat Anak Berbasikal Lajak
Bila saya selalu gagalkan rancanganya dengan ‘kuasa veto’ seorang ibu, langsung dia tidak berminat lagi dengan Basikal Lajaknya itu dan akhirnya rangka basikal tersebut ‘terkubur’ sepi dibelakang rumah.
Melihat dia bergitu berminat untuk berlumba di jalan raya, suami saya telah membeli sebuah lagi ‘racing bike’ untuknya dan saya sendiri telah mendaftarkan dia ke beberapa ‘event’ berbasikal dan salah satunya adalah daripada anjuran Junior Cycling sebagai tanda sokongan.
Sebagai ibu dan bapa kita haruslah sentiasa memberi galakkan terhadap minat anak-anak. Begitu juga dengan abang dan kakaknya yang punyai minat dan hobi yang berbeza. Minat anak-anak saya tidak sama walaupun lahir daripada benih dan rahim yang sama.
‘Support’ minat anak-anak bukan beerti kita manjakan mereka. Tunaikan kehendak anak-anak juga bukan beerti kita ‘bertuankan’ mereka. Tidak salah jika melayan kehendak dan kerenah mereka asalkan kita mampu tetapi haruslah berpada-pada dan kena pada tempatnya.
Letakkan syarat yang harus mereka patuhi dan ‘harga’ yang harus mereka bayar untuk mendapatkan sesuatu yang mereka idamkan.
Sebagai contoh, mereka perlu menghargai, menjaga dengan baik, menggunakannya dengan cermat dan tidak menyalah gunakan setiap pemberian. Terangkan kepada anak-anak bukan mudah bagi kita sebagai ibu dan bapa memerah keringat untuk mendapatkannya.
Anak-anak Ini Amanah Tuhan Untuk Mak Ayah Jaga
Memiliki anak-anak yang degil dan tidak mendengar kata ibarat igauan ngeri kepada ibu dan bapa. Tetapi ianya bukanlah satu alasan untuk kita mengabaikan mereka. Mereka amanah tuhan untuk kita jaga.
Setiap masalah ada jalan penyelesainya. Cuba cari di mana puncanya sehingga anak-anak kita menjadi tidak bermoral. Mungkin kurang kasih sayang, terlalu dimanjakan atau cara didikan yang salah.
Saya tidak menafikan, anak-anak saya juga kadangkala bermasalah. Alhamdulillah suami saya bijak menangani setiap masalah anak-anak dengan baik. Kami akan mencari puncanya dan akan berbincang apakah cara yang terbaik untuk menyelesaikannya. Kami tidak akan segan silu untuk meminta pandangan dan pendapat daripada para sahabat yang lebih berpengalaman.
Jadi Kawan Dan Dekati Anak-anak
Cuba jadi ‘kawan’ yang baik kepada anak-anak supaya senang mendekati mereka… Fahami perasaan mereka supaya senang mereka berkongsi masalah dengan kita dan cuba kenali diri mereka.
Ramai ibu dan bapa gagal mengenali sikap dan emosi anak-anak sendiri sehingga apabila belakunya sesuatu pekara yang buruk baru mereka sedar selama ini sikap dan tingkah laku anak mereka tidak bermoral, emosi anak terganggu dan jangan menyesal jika saat kita mula menyedarinya ianya sudah terlewat.
Semoga dewasanya anak-anak kita di bawah naungan keluarga yang bahagia. Keluarga bahagia akan melahirkan anak-anak yang cemerlang.
MW : Basikal lajak akan jadi tidak berbahaya jika di pandu anak-anak di kawasan dan masa yang betul. Ada salurannya untuk mak ayah layan hobi anak-anak ini.
Pepatah ada menyebut, “Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Pembohongan, sama ada kecil atau besar adalah salah disisi agama dan undang-undang. Ia tidak boleh dianggap remeh dan perlu dibendung lebih awal. Jika tidak, ia dikhuatiri mendorong kepada perbuatan negatif yang lain seperti mencuri atau panjang tangan.
Imam Ali Zainal Abidin a.s. mengatakan bahawa: “Waspadailah dusta kecil dan besar baik ketika serius atau sambil main-main kerana jika seseorang tidak malu melakukan dusta kecil maka ia akan berani melakukan dusta besar.”
Sebenarnya anak mahukan perhatian daripada mak ayah. Ada ketikanya, mereka mencuri untuk mendapatkan sesuatu yang sukar diperolehi dan juga disebabkan kerana keseronokan. Bantu anak anda fahami tentang perbuatan salah ini melalui panduan ini:
Mak Ayah Sila Sedarkan Anak Yang Panjang Tangan
1. Terangkan Pada Anak Akan Kesalahan Mencuri
Ia satu perbuatan yang diharamkan dalam Islam, dan menyalahi undang-undang. Ingatkan juga kepada mereka bahawa sekiranya perbuatan tersebut dilakukan di pasaraya, mereka akan ditangkap dan dipenjarakan.
2. Pulangkan Barangan Yang Dicuri Kepada Tuan Empunya
Bawa si anak kepada tuan empunya dan pulangkan barang yang telah dicuri. Ini bertujuan untuk mengajar kepada si anak tentang hak seseorang dan memberi kesedaran kepada mereka bahawa barang kepunyaan orang lain tidak boleh diambil sesuka hati tanpa keizinan.
3. Lakon Semula Pedih Kehilangan
Ceritakan atau buat aktiviti main peranan (role play) tentang bagaimana perasaan mereka sekiranya barang mereka dicuri dan diambil tanpa pengetahuan mereka. Sudah tentu mereka akan merasa marah dan sedih. Melalui pendekatan ini, mereka akan faham bahawa perbuatan mencuri itu satu kesalahan dan boleh merosakkan hubungan.
4. Ajar Anak Minta Maaf Pada Mangsa
Ajari si anak untuk meminta maaf kepada tuan empunya atas tindakan mereka itu. Sekiranya barang yang dicuri telah hilang atau dimakan. Contohnya coklat. Minta mereka menggantikannya dan memohon maaf. Jelaskan juga kepada mereka bahawa meminta maaf adalah perbuatan yang mulia. Jangan rasa malu untuk berbuat demikian kerana orang meminta maaf akan merasa tenang dan bahagia.
5. Hukuman Psikologi
Hukuman fizikal adalah tidak perlu dan kemungkinan akan membuatkan si anak bertambah marah. Hukuman lain seperti mengurangkan wang belanja atau tidak membelikan permainan yang disukai mungkin boleh digunapakai jika dirasakan perlu.
Sebelum Melarat, Mak Ayah Berilah Perhatian Pada Anak
1. Beri Perhatian Pada Keperluan Anak
Anak-anak yang membesar dengan perhatian yang cukup tidak akan melakukan perbuatan mencuri. Kebanyakan kes kecurian berlaku kerana kanak-kanak tersebut ingin mendapatkan perhatian daripada ibu bapa. Walaupun perhatian yang diberikan dalam bentuk yang negatif, seperti dimarahi, mereka merasa puas kerana berjaya mendapatkan perhatian ibu bapa.
2. Mengajar Anak Untuk Bersabar
Kebanyakan kanak-kanak mencuri adalah disebabkan keinginan mereka untuk memiliki sesuatu yang mereka belum mampu miliki. Justeru, mereka perlu diajar bahawa tidak semua perkara mereka dapat miliki. Mereka perlu bersabar dan berusaha untuk mendapatkannya, dan bukan dengan cara mudah, iaitu mencuri.
3. Tanamkan Konsep Nilai Dalam Diri Anak
Didik anak-anak tentang konsep nilai dan hak individu. Nyatakan pada mereka beza antara “ini milik saya” dan “ini milik awak”. Ajari mereka supaya tidak mengambil hak orang lain sesuka hati tanpa keizinan walaupun perkara tersebut kecil, seperti mencuri pensil kawan.
Kalau Anak Masih Panjang Tangan, Bawalah Mereka Jumpa..
Sekiranya perbuatan tersebut berterusan dan disebabkan oleh gangguan penyakit yang dipanggil sebagai kleptomania, maka ia perlu dirawat. Kleptomania merupakan sejenis gangguan penyakit mental dan kebanyakan kes melibatkan kecurian di kedai atau pasaraya. Mereka yang menghidap gangguan ini mempunyai kecenderungan untuk mencuri walaupun nilai objek yang dicuri adalah tidak seberapa.
Antara mereka yang boleh menghulurkan bantuan untuk membantu anak menangani masalah ini termasuklah: a) Ahli psikologi klinikal b) Pakar psikiatri c) Pakar terapi keluarga atau kaunselor
OLEH: ROSS AZURA ZAHIT zrazura@fcs.unimas.my, PSIKOLOGIS KLINIKAL, JABATAN SAINS KOGNITIF FAKULTI SAINS KOGNITIF DAN PEMBANGUNAN MANUSIA (FSKPM) , UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS) – wawancara bersama majalah Keluarga
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“Moga Baby Haider Baik-Baik Saja Dalam Perut Mama, Sabar Ya” selain itu pelakon dan penyanyi Elly Mazlein memohon doa agar bayi yang berada dalam kandungan dilahirkan cukup minggu.
Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Elly Mazlein berasa panik apabila tiba-tiba perutnya mengeras pada usia kandungan 35 minggu.
Dek kerana rasa tidak selesa dan mengalami rasa sakit seperti kontraksi bersalin itu, Elly telah bergegas ke hospital dan mendapatkan rawatan. Setelah diperiksa oleh doktor, kontraksi berkurangan dan dia dibenarkan pulang.
“Moga Baby Haider Baik-Baik Saja Dalam Perut Mama, Sabar Ya”
“Malam tadi kelam kabut amik flight MAS 1st class hokeyyyyy sebab rasa baby macam dah tak sabar nak Jumpa Atok Papa Mama & kakak Manja. Mengeras.
“Alhamdulillah cecah je kaki di Melesiaaaa trus pergi check in la dik di hospital.
“Alhamdulillah Doktor Khamsiah Check jap ni , katanya baby dah mula relax. Kalau taka da apa-apa boleh pulang ke rumah.
“Doakan kakak kepom & baby ya.
“Doakn Haider dilahirkan cukup minggu,” tulis Elly Mazlein.
Menerui perkongsian yang lain, Elly yang mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Azlan Che Nuh pada 18 Januari 2020 kini sedang sarat mengandung.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun bercerai pada 15 Oktober 2015. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun.
“Ok dah bole balik kejap lagi. Alhamdulillah rasa contraction dah kurang lepas Nurse bagi Ubat & injection.
“Moga Baby Haider baik-baik saja dalam perut mama ya. Sikit je lagi. Sabar ya. Atuk Papa Mama & kakak Manja pun tak saba nak jumpa Haider.
“InsyaAllah see u soon Permata Ke 2 mama wahai Haider,” kongsi Elly.
Elly juga berasa sangat bersyukur apabila jantung bayinya semua dalam keadaan baik. Malah dia bersyukur anak dalam kandungan pada waktu ini kuat menendang.
“InsyaAllah soon kita jmpa ya Sayang,” luah Elly yang tidak sabar melahirkan anak keduanya.
Sumber/Sumber Foto : Instagram Elly Mazlein
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!