Memilik anak ramai sememangnya satu anugerah dan rezeki yang tidak ternilai. Namun siapa dapat menjangka, apabila terlampau subur dikurniakan anak-anak yang sangat ramai tanpa boleh dikawal secara perubatan.Memetik laporan Bright Side, seorang wanita dari Uganda berusia 39 tahun telah melahirkan 44 orang anak, dengan enam orang daripadanya telah meninggal dunia. Hebatnya dan cekalnya wanita ini membesarkan 38 orang anaknya hanya secara bersendirian tanpa bantuan suami.
Dijual Usia 13 Tahun
Wanita berasal dari Uganda ini bernama Mariam Nabatanzi. Semasa berusia 13 tahun, Mariam telah dijual oleh ibu bapanya kepada seorang lelaki yang berusia 27 tahun lebih tua darinya. Ibu bapa Mariam telah ‘mengahwinkan’ Mariam dan dibiarkan ditinggal di rumah lelaki tersebut. Setahun kemudian, Mariam melahirkan anak pertama, sepasang kembar. Tahun berikutnya, kembar tiga dan tahun seterusnya, kembar empat.
Ketika itu, walaupun hanya bergelar remaja, Mariam terpaksa melalui liku kehidupan berumah tangga yang sukar. Katanya,
“Suami saya mempunyai ramai anak melalui perhubungannya dengan wanita-wanita lain pada masa lalu. Saya terpaksa menjaga kesemua anak-anak ini kerana ibu-ibu mereka yang menghilang entah ke mana. Suami saya juga seorang kaki pukul dan akan memukul saya apabila mendapat peluang dan berasa tidak puas hati dengan saya, terutama jika saya mengemukakan idea yang dia tidak suka.”
Foto Kredit: Kassim Kayira
Ikat Saluran Peranakan Bahayakan Diri
Sampai satu ketika, Mariam merasakan sudah cukup mempunyai 23 orang. Wanita ini membuat keputusan berjumpa dengan doktor untuk membuat prosedur mengikat saluran peranakannya supaya tidak lagi boleh hamil.
Namun ia tidak semudah disangka.Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati, doktor memberitahu Mariam memiliki kiraan ovari yang tinggi dan sebarang prosedur untuk menyekatnya akan memberi kesan terhadap tahap kesihatan dan membahayakan nyawanya.
Mariam telah melahirkan 44 orang bayi secara keseluruhan. 6 pasangan kembar, 4 set kembar tiga, 3 set kembar empat dan dua orang lagi bukan kembar. Enam orang anaknya telah meninggal dunia dan kini tinggal 38 orang yang dijaga olehnya secara bersendirian. Mariam berkata sekalipun dia tidak pernah menyesal melahirkan kesemua anak ini sambil berkata anak itu adalah kurniaan rezeki dan rahmat dari Tuhan.
Ads
Foto Kredit: Kassim Kayira
Berusaha Gigih Besarkan Anak-Anak
Cuma perkara yang menyedihkan dirinya sehingga kini ialah anak-anak ini dibiarkan membesar tanpa bantuan ayah mereka. Suami Mariam sering menghilangkan diri selama berbulan-bulan, malah adakalanya selama bertahun, sehingga akhirnya tidak lagi muncul dan meninggalkan kesemua mereka.
Suami Mariam tidak pernah mengambil tahu atau pernah mengambil walau sedikit bahagian dan peranan membesarkan anak-anak, kecuali hanya memberi mereka nama dan itu pun melalui telefon. Anak lelaki sulung Mariam yang berusia 23 tahun berkata, dia tidak pernah bertemu bapanya sejak berusia 13 tahun.
Namun demikian, Mariam tidak sesekali pun pernah mengeluh, rasa menyesal atau terkilan dengan dirinya. Wanita hebat ini terus fokus dengan mendedikasikan diri untuk memberi kasih sayang dan perhatian yang diperlukan oleh anak-anaknya. Mariam berusaha memberikan segala keperluan demi masa depan anak-anaknya. Mariam membelanjakan wang yang banyak untuk makanan, dengan setiap hari mereka perlu menyediakan 10 kilogram tepung jagung, 7 kilogram kekacang dan 4 kilogram gula bagi keperluan makanan.
Apa yang lebih mengagumkan, walaupun menjalani kehidupan yang sangat sukar, Mariam akan pastikan kesemua anak-anaknya mendapat pendidikan yang sempurna. Anak kembar pertamanya kini sudah menjadi jururawat dan seorang lagi menjadi jurubina berkelayakan.
Ads
Katanya, “Saya sentiasa berdoa dan menyatakan harapan agar kesemua anak saya mendapat pendidikan di sekolah kerana mereka semua bercita-cita tinggi mahu menjadi doktor, guru dan peguam. Saya mahu mereka semua mencapai impian masing-masing, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh saya.”
Foto Kredit: Kassim Kayira
Buat Pelbagai Kerja Sambilan
Untuk membiayai kesemua perbelanjaan anak-anak ini, Mariam bekerja sambilan dengan mempelajari pelbagai kemahiran. Mariam mengutip herba di hutan dan menjualnya di pasar, membuat kuih dan kek, bekerja membina rumah, mendandan rambut, mengatur dan menyusun acara majlis sehingga menjadi pengandam pengantin.
Kata Mariam, “Saya tahu anak-anak ini adalah hadiah dari Tuhan dan mereka semua adalah harta berharga buat saya. Jadi, saya berusaha sebaik mungkin untuk memberi dan menyediakan segala keperluan buat mereka.”
Ads
Foto Kredit: Kassim Kayira
Seorang bekas wartawan BBC, Kassim Kayira telah mendapat tahu tentang kisah Mariam yang hebat, membesarkan keluarga besarnya secara bersendirian lalu bertanggungjawab membawa kisah wanita mengagumkan ini untuk didedahkan kepada dunia.
Ketika ditemuramah Kassim, Mariam menyampaikan pesanan, “Hentikan perbuatan menjual anak perempuan kamu kepada lelaki tidak dikenali bagi tujuan perkahwinan usia muda. Mereka akan menderita. Kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa bukan satu perkara yang sukar dipulihkan dan mereka akan mengingatinya sampai bila-bila.”
Ibu hebat ini menambah, “Saya sentiasa berjuang dalam memastikan anak-anak saya sentiasa cukup makan dan sihat. Saya tidak akan meninggalkan mereka, walaupun kami melalui saat sukar setiap hari. Kepada lelaki di luar sana, jangan lupa tanggungjawab anda setelah berkahwin. Perkahwinan itu adalah tanggungjawab bersama suami dan isteri terutama dalam hal membesarkan anak-anak.”
Foto Kredit: Kassim Kayira
Kehidupan bagi wanita ini amat sukar, tetapi dirinya sentiasa positif menghadapi pelbagai dugaan membesarkan kesemua 38 anak kandung secara bersendirian. Semoga kesemua anak-anak Mariam membesar menjadi orang berguna dan dapat berbakti serta membalas jasa dan pengorbanan ibu mereka yang hebat.
MW: Kita ni nak jaga tiga, empat orang anak pun dah kelam kabut, macam manalah jika lahirkan dan jaga 44 orang anak.Fuhh,memang hebat tak terbayang sungguh. Tahniah buat Mariam Nabatanzi yang cekal membesarkan anak-anak sendirian serta berusaha memberikan yang terbaik buat mereka!
Sejak semalam para peminat Ardell Aryana terus mendoakan pelakon kecil molek itu dalam instagram miliknya. Memberi kata-kata semangat dan sokongan yang tidak putus-putus. Adakah ketika ini pelakon manis kesayangan ramai ini sedang sakit?
Seperti yang dilaporkan Sinar Harian semalam, pelakon Hati Perempuan Nadzmi Adhwa memaklumkan yang Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd Amin sedang sakit.
Daripada komen para peminat Ardell di laman instagramnya, ada yang memaklumkan Ardell sedang sakit kanser tahap 3. Ini komen balas yang peminatnya kongsikan selepas Ardell berkongsi satu status sayu daripadanya.
“Perkara yang perih adalah menerima sebuah kenyataan. Bertahun menerima sebuah kenyataan tidak mungkin kau mula menyerah sekarang! Tetap bersemangat walau beribu kali engkau rebah lutut & tapak tangan jatuh ke tanah. Kerana tanah dan kita akhirnya bersama.”
Ardell terus berkongsi lagi akan sebuah harapan kepada para followernya. “Dan apabila bersoal tentang HARAPAN. HARAPAN itu boleh dibina tapi tidak dengan BERHARAP. Kerana jika engkau terlebih berharap, lebih dari membina sebuah harapan ‘engkau akan kecewa’ dengan 1 kemungkinan yang takdirnya berbeza dengan apa yang engkau berharapan.”
“Tidak mengapa untuk BERSERAH, asalkan tidak MENYERAH!”
Sampai hari ini, Ardell masih belum berkongsi jawapan balas tentang penyakitnya seperti yang dimaklumkan teman akrabnya dan para peminatnya itu.
Sebelumnya dalam laporan Sinar Harian, Nadzmi yang mulai rapat dengan Ardell selepas bergandingan dengan drama Namaku Bedah (2015) ada membuat Instagram Live (IGLIVE). Beliau berkongsi dan memberi sokongan semangat kepada Ardell.
“Weh @ardellaryana aku tak kira macam mana sekalipun kau kena kuat. Aku tahu kau tengah sakit. Lawan sakit tu jangan mengalah. Kau kata nak tengok aku kahwin kan.
“Kau kena kuat teruskan perjuangan. ALLAH menguji seseorang itu kerana ALLAH SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada ALLAH hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita.
“Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.
“Aku sahabat kau kau pun tahu aku akan selalu ada untuk kau. Kau relax je okay. buat je theraphy tu. kau buat je teraphy walaupun aku tahu sakit kau kena buat. kau kan kuat, kasar, gangster so jangan jadi cry baby macam aku okay.
“Jangan takut pasal theraphy tu badan kau lagi kuat dari besi . kau boleh punya. Aku nak kau happy balik macam dalam video ni okay. Korang tolong doakan kesihatan @ardellaryana ya #MakCikBawang,” coret Nadzmi.
Apa pun ujian yang Allah beri buat Ardell Aryana, MW doakan Ardell terus kuat menempuhinya. Ujian sakit ini tanda Allah sangat mencintai dan mengasihi hambaNya. Hanya insan terpilih yang Allah berikan anugerah istimewa sebegini. Moga Allah memberi ruang kesembuhan untuk pelakon cantik manis kesayangan ramai ini.
Tindakan selebriti chef, Datuk Fazley Yaakob,40 membersihkan muntah anaknya sendiri di lantai salah sebuah kedai serbaneka sebab tak nak orang lain terpijak wajar menjadi contoh buat mak ayah yang lain. Ia juga boleh menjadi salah satu cara didikan dan memupuk rasa bertanggungjawab pada anak-anak, apabila melihat perlakukan dan tindakan yang mak ayah lakukan.
Menerusi video yang dikongsikan Fazely Yaakob di akaun Instagram (IG) peribadinya menunjukkan dia sedang mengemop lantai sambil diperhatikan anaknya, Ahmad Firudz yang difahamkan baru sahaja termuntah.
Video tersebut mendapat perhatian pengikut IG yang rata-rata memuji cara Fazley yang dikatakan sebagai contoh terbaik.
Fazley dalam entri tersebut memberitahu ketika bawa anaknya ke kedai serbaneka tersebut, anaknya tiba-tiba termuntah.
Bimbang muntah itu dipijak oleh orang lain, Fazley terus bertindak mengemop serta membersihkannya sendiri.
“Saya ayahnya, jadi biarlah saya yang bersihkan, saya tak nak orang lain buat,” jelas chef selebriti popular, Datuk Fazley Yaakob mengenai tindakannya yang membersihkan sendiri muntah anaknya di sebuah pasar raya mini.
Katanya, perlakuan itu hadir secara spontan kerana anak ketiganya, Ahmad Firudz Shah (Piyush) muntah sebaik sahaja tiba di pasar raya mini tersebut.
“Ia memang spontan. Piyush termuntah sebaik sampai di kedai. Jadi, saya terus ke stor cari mop serta baldi dan mencucinya.
“Saya rasa orang kedai tu pun tak perasan anak saya muntah. Lagipun, mereka terlalu sibuk dan pelanggan pun ramai.
“Biarlah saya saja yang pastikan pelanggan lain tak terpijak,” katanya.
Jelasnya, ia merupakan satu perkara semula jadi bahkan merupakan salah satu tanggungjawab mak ayah.
“Saya rasa benda ini secara natural, kalau anak-anak kita yang buat kotor jangan harap orang lain bersihkan.
“Cuba sedaya upaya untuk pegang tanggungjawab itu, walaupun kita dah pakai elok-elok untuk ke acara penting.
“Anak-anak ini macam kain putih, biar mereka sedar kita sebagai ibu bapa adalah contoh terbaik,” katanya.
Tidak menduga, perkongsian itu berjaya mencuri perhatian peminat dan pengikutnya di IG yang rata-ratanya kagum dengan tindakan Fazley.
Kesimpulannya, tindakan ini memang wajar & mak ayah memang kena biasakan diri menunjukkan contoh yang baik buat anak-anak, agar menjadi ikutan mereka.Perkara yang sama juga boleh dilakukan sewaktu keluar makan di kedai atau restoran. Apa salahnya, memudahkan kerja pelayan dengan kumpul sisa-sisa makanan anak yang berterabur dalam satu pinggan berbanding membiarkan ia bersepah-sepah diatas meja.
Doa ibu tunggal termakbul, anak autistik berjaya khatam Al-Quran. Membesarkan tiga anak istimewa tanpa kehadiran seorang suami bukanlah sesuatu yang mudah, namun itulah takdir yang diterima dengan tabah oleh Suzana Ilias, seorang balu yang kehilangan pasangan hidupnya pada hujung tahun lalu.
Doa Ibu Tunggal Termakbul, Anak Autistik Berjaya Khatam Al-Quran
Kini berusia 53 tahun, Suzana memikul amanah besar membesarkan tiga anaknya, Muhammad Khir Khairul Nizam, 29, Nur Fatimah, 28, dan Nurul Asyikin, 25 yang kesemuanya disahkan menghidap autisme tahap dua serta memerlukan pemantauan rapi dan bantuan penuh dalam kehidupan seharian.
Di sebalik segala rintangan, Suzana melahirkan rasa syukur yang mendalam apabila anak sulungnya berjaya menghabiskan bacaan Al-Quran, satu kejayaan yang dianggap amat bermakna memandangkan Muhammad Khir sering berdepan kesukaran untuk memberi tumpuan secara konsisten.
“Inilah keajaibannya, meskipun tidak mampu memberi fokus dan respons secara spontan ketika bertutur, Muhammad Khir dapat menguasai kalam suci anugerah Illahi ini dengan baik. Saya amat bersyukur, ini hasil usaha arwah suami yang membiasakan si abang dengan al-Quran sejak kecil,” katanya kepada Bernama.
Suzana berkata walaupun kini dia bersendirian, anak sulungnya itu menjadi teman setia yang sering menegur bacaannya setiap kali mereka mengaji bersama-sama.
“Kalau kita betul-betul mahu (anak autistik mampu membaca al-Quran), kita usahakan dan doakan. Insya-Allah, urusan akan dipermudahkan,” katanya sambil menambah keadaan anak-anak bukan penghalang untuknya mengenal potensi mereka.
Selain boleh mengaji, Suzana berkata Muhammad Khir juga boleh menerima arahan serta mampu membaca dan mengira, selain gemar membantunya memasak.
“Anak kedua, Nur Fatimah, seorang yang sangat ringan tulang dan suka melipat kain walaupun dengan caranya sendiri, manakala si bongsu, Nurul Asyikin, seorang yang ceria, aktif dan gemar menyanyi, menjadi penghibur dalam keluarga kecil kami,” katanya.
Berkongsi mengenai kehidupannya yang berubah 180 darjah selepas pemergian suami tercinta pada penghujung tahun lepas, suri rumah sepenuh masa itu terpaksa mengambil alih tugas menjadi ketua keluarga dalam sekelip mata.
“Selepas pemergian arwah suami, kehidupan kami jadi sedikit kucar-kacir. Saya benar-benar hilang arah kerana selama ini semua urusan seperti bayaran bil, bank dan sebagainya diuruskan oleh suami,” katanya yang tidak dapat bekerja demi menjaga anak-anak istimewa itu.
Suzana berkata keluarganya kini hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah suami untuk menampung keperluan harian serta penjagaan dan rawatan anak-anak.
“Pendapatan itu memang tidak mencukupi, tetapi saya bersyukur anak-anak tidak memilih makanan. Apa saja yang saya masak, itulah yang mereka makan,” katanya.
Wanita itu berkata ketiga-tiga anaknya juga pernah menjalani sesi pendidikan di Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang menurutnya sangat membantu dari segi perkembangan sosial dan kendiri mereka.
“Saya berdoa agar Allah hadirkan keajaiban buat anak-anak saya. Selagi hayat masih ada, saya akan terus berjuang untuk mereka,” katanya.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.