Datuk Jalaluddin Hassan

Kehilangan isteri tercinta setahun banyak mengubah kehidupan pelakon versatil, Datuk Jalaluddin Hassan. Setelah setahun kehilangannya, kini Datuk Jalaluddin Hassan kembali menemui cinta baharu.

Segalanya bertitik tolak setelah melihat sikap si dia persis almarhum isterinya membuatkan hatinya terdetik untuk menjadikan wanita tersebut sebagai teman barunya.

Tertarik Dengan Sikap Isterinya

Berkongsi lanjut, Jalaluddin mengakui tertarik dengan Rapidah kerana wanita itu ingatkan dirinya kepada Allahyarham isteri. Sedikit sebanyak perkara ini banyak mempengaruhi beliau dalam membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

“Pertama kali saya jumpa dia adalah di rumah terbuka abangnya, Lokman, pada Syawal lalu. Jujurnya, itulah pertama kali saya jumpa dia. Saya lihat cara pergerakan dan melayan tetamu, persis arwah isteri saya. Ketika itulah hati saya terdetik untuk kenalinya lantas memberi nombor telefon serta bergambar bersama-sama,”ujarnya.

IKLAN

Dalam pada itu, Rapidah pula menyifatkan suaminya sebagai lelaki dan bapa yang jujur selain penyayang serta bertanggungjawab. Awalnya, memang tiada niat di hatinya untuk berkahwin, tetapi setelah mengenali lebih dekat, sikap Jalaluddin yang sangat penyayang dan bertanggungjawab berjaya menakluki hati Rapidah.

“Malah, anak-anak saya pun setuju saya berkahwin lagi. Masih teringat kata-kata anak saya yang meyakinkan diri saya untuk terbuka hati menerimanya. Kata mereka apabila solat seorang diri tidak banyak pahalanya berbanding solat bersama suami, tinggi ganjaran pahalanya,” celah Rapidah yang kini bersyukur segalanya berjalan dengan lancar.

Saling Melengkapi

Sekiranya dahulu hampir setahun Jalaluddin keseorangan ke mana-mana, kini tidak lagi apabila isterinya saling mengekor ke mana sahaja. Sebagai satu pasukan apabila keluar rumah, jika beliau mengantuk dan letih, sang isteri akan menghulurkan bantuan untuk membantu.

IKLAN

“Arwah dahulu juga boleh memandu tetapi saya tidak izinkan sebab kesihatannya. Sekarang isteri lebih muda, jadi saya tidak berfikir dua kali apabila si dia ingin bantu saya memandu. Jadi lebih mudah jika ke mana-mana kami boleh saling membantu. Bonus tambahanlah bagi saya,” ujarnya sambil berseloroh.

Dalam masa yang sama, beliau turut merancang untuk membawa isterinya menziarahi ke kubur arwah isterinya jika berkesempatan. Cuma sekarang aktiviti beliau semakin bertambah kerana ahli keluarganya turut bertambah. Selain mendahulukan keperluan keluarga beliau, keluarga isteri juga patut diutamakan.

IKLAN

Tip Suami Romantik

Sikap romantik yang ada pada diri Datuk Jalaluddin sangat dicemburui wanita di luar sana. Namun baginya itu bukanlah satu perkara yang harus dibanggakan kerana ia adalah anugerah daripada Allah SWT. Menjadi romantik bukanlah boleh dibuat-buat. Tetapi sebenarnya kita mampu berubah ke arah itu jika kita ingin belajar dan ikhlas.

“Sikap romantik ini akan datang dengan sendiri sekiranya kita ikhlas untuk berubah untuk menjadi terbaik kepada isteri tersayang. Selain itu sikap itu bukan tiket untuk kita menunjuk-nunjuk pada orang dan menyalahgunakan sikap romantik hingga membuatkan orang lain kecewa dan ambil hati.

“Jangan sesekali ambil kesempatan dengan kurniaan Allah berikan. Jika anda terlalu bangga dan salah guna kelebihan atau keistimewaan yang diberikan pasti anda akan mendapat kemurkaan Allah. Paling penting sebenarnya perlu ikhlas dan bersikaplah romantik pada yang berhak sahaja iaitu, isteri,” katanya antara tip menjadi suami romantik adalah sentiasa memahami kehendak dan keperluan seorang isteri serta berbincang dengan baik jika timbul salah faham.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI