Tiap Orang Ada Kehebatan, Didik Anak Faham Kelebihan Mereka

Tiap insan yang dilahirkan di muka bumi Allah ini dijanjikan dengan kemuliaan dan kehebatan dengan kalam Allah “sebaik-baik kejadian” dalam surah at- tin ayat 4. Dan kemuliaan itu adalah atas pengiktirafan khalifah yang diberikan oleh Allah SWT terhadap manusia yang mengangkat kedudukannya melebihi makhluk lain di muka bumi ini.

Selain itu, kehebatan dan kemuliaan ini juga adalah nisbah kepada fitrah manusia yang sempurna yang cenderung kepada kebaikan dan kehambaan. Beginilah asal usul kejadian makhluk bernama manusia, fitrahnya hebat dan kejadiannya diangkat melebihi keadaan makhluk lain dengan anugerah akal dan fikiran.

Tiap Orang Ada Tanggungjawab

Walau bagaimanapun, keadaan ini bukan untuk dibanggakan dan menjadikan kita makhluk yang sombong di muka bumi Allah. Malah dengan kehebatan ini hadir bersamanya tanggungjawab kehambaan dan kekhalifahan yang harus kita hayati dan tunaikan.

Di sinilah seharusnya kita menjadi sebaik-baik hamba di sisi Allah dan sebaik-baik khalifah kerana Allah telah menyediakan segala keperluan untuk kita, malah setiap makhluk di dunia ini juga adalah bertujuan untuk berkhidmat untuk manusia. Maka tidak ada alasan untuk tidak menunaikan kedua-dua tanggungjawab ini dengan baik.

Begitu jugalah keadaannya anak-anak kita yang baru menjengah dunia. Mereka masih baru dan mudah untuk diberikan kefahaman kerana terlalu hampir dengan fitrah kejadian manusia. Justeru, tanggungjawab kita selaku orang terhampir dan pemegang amanah untuk memberikan kefahaman tersebut kepada mereka. Wahai anak, fitrah mu hebat dan tanggungjawabmu di dunia ini besar. Jadi ilmu harus kau tuntut agar kau lebih dekat dengan-Nya dan mendapat petunjuk daripada-Nya.

Tiap Orang Ada Kelebihan Dan Kelemahan

Apabila memahami keadaan ini, seharusnya apakah yang menjadi fokus kita dalam memberikan pendidikan yang terbaik untuk diri mereka, sama ada kelebihan mereka yang hakiki sebagaimana yang kita bincangkan di atas atau kelemahannya yang bergantung pada persepsi kita yang terbatas?

IKLAN

Saya katakan kelemahan ini hanyalah persepsi kerana kita hanya memberikan label bahawa anak lemah di sana dan di sini berdasarkan akal kita yang terbatas dan pengetahuan kita berdasarkan apa yang kita dapat lihat sahaja.

Justeru, daripada dua keadaan ini, seharusnya kita berpaksikan sesuatu yang pasti iaitu kelebihan yang sudah pun dipaterikan di dalam Al-Quran dan memberikan fokus terhadap pengukuhannya dalam diri anak-anak.

Baca lagi di sini:

Mak Mentua Boleh Caring Tentang Anak Lelakinya, TAPI Jangan Ambil Tanggungjawab Isteri!

IKLAN

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Tiap Orang Ada Kehebatan, Didik Anak Faham Kelebihan Mereka

Mendukung Fitrah Anak

Untuk itu, kita harus tidak tertipu dengan apa yang kita lihat sahaja tanpa mengambil kira hakikat kejadiannya yang amat sempurna dan fitrahnya yang hebat. Kita harus percaya dan menyalurkan kepercayaan tersebut ke dalam diri anak melalui persekitaran yang mendukung fitrah anak.

Oleh yang demikian, kita harus banyak memuji anak dan menegur kesilapannya dengan menyatakan apa sepatutnya dia lakukan dalam konteks yang baik kerana inilah fitrahnya. Walau bagaimanapun, jika kita terlalu fokus dengan apa yang kita lihat sahaja sudah tentu kita cenderung untuk melihat kekurangan anak dan memberikan label yang pelbagai kepada dirinya. Sudah tentu ia bersalahan dengan fitrah dirinya yang sebenar. Sekali gus kita membenamkan fitrah itu dan menyekat fitrah itu daripada menjadi dirinya.

Persepsi Anak Terhadap Dirinya Sendiri

Lebih parah lagi, persepsi itu dapat difahami dan disalurkan menjadi persepsi dan kepercayaan anak terhadap dirinya sendiri. Kemudian, dia sendiri akan memberi label yang sama terhadap dirinya. Bagaimana anak mendapat mesej ini adalah melalui persekitaran yang kita bina di dalam persekitarannya. Ini kerana, apa yang kita percaya akan mempengaruhi tindakan kita.

IKLAN

Contohnya, jika pada persepsi kita, anak itu adalah seorang yang baik hati, maka kita akan menyantuni dan berbangga dengan dirinya. Kita tidak akan segan untuk membawanya ke khalayak dan sangat gembira dengan keadaannya. Walau bagaimanapun, jika kita menganggap anak itu seorang yang sukar untuk dikawal maka kita akan menjadi terlalu garang dengannya, malah kita memilih untuk tidak membawanya ke khalayak kerana pada persepsi kita anak ini sukar dikawal dan akan menyusahkan kita.

Persekitaran Anak Diwujudkan Oleh Ibu Bapa

Jadi contoh ini memberikan bukti bahawa tindakan kita tidak boleh dipisahkan dengan persepsi kita terhadap sesuatu. Dalam pada itu, segala persepsi ini adalah melalui persepsi anak terhadap persekitaran yang dibina oleh ibu bapanya. Dalam kata lain, kelakuan anak yang menimbulkan persepsi ibu bapa yang pelbagai itu adalah hasil daripada persepsi yang dibina melalui maklumat yang diperoleh daripada persekitarannya. Dan persekitaran ini adalah tanggungjawab ibu bapa.

Oleh yang demikian, berikanlah fokus kepada kelebihannya kerana perkara itu adalah perkara yang hakiki dan dinyatakan Allah dalam al-Quran, maka ia adalah pasti. Sebaliknya, kelemahan yang kita lihat pada diri anak hanyalah persepsi yang hadir daripada perlakuan anak yang dapat kita lihat sahaja.

Apa yang harus dilakukan untuk membetulkannya adalah dengan membetulkan persekitaran yang kita bina dalam keluarga dan persekitarannya berdasarkan kepada keyakinan terhadap perkara yang pasti iaitu fitrah dan kejadian diri anak yang hebat. Wallahualam.

Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI