Simptom Dyslexia

Ramai mak ayah yang keliru bab simptom dyslexia, tetapi betul ke salah pakai kasut pun salah satunya?

Dyslexia adalah orang yang mempunyai masalah di dalam pembacaan tetapi bijak dimana IQ sama atau lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.

Kadang kala pelajar-pelajar dyslexia di sekolah akan dianggap lembap oleh guru dan rakan-rakan kerana sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan diri seorang kanak-kanak.

Tahukah anda bahawa orang-orang terkenal seperti Albert Eistein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, penulis Hans Christian Anderson, pelakon Tom Cruise dan Orlando Bloom adalah orang yang mempunyai dyslexia.

Dengan bantuan awal yang betul, kita boleh membantu kanak-kanak dyslexia untuk menguasai bidang pembelajaran mereka.

Tanda-tanda dyslexia boleh dikenal pasti seawal umur 5 ½ tahun. Tidak kurang juga ada yang baru dikenalpasti semasa umur persekolahan. Tidak semua kanak-kanak dyslexia akan mempunyai tanda-tanda yang sama.

IKLAN

Antara simptom-simptom dyslexia adalah:

1. Sukar memasang butang atau mengikat tali kasut
2. Tersalah pakai kasut
3. Cuai di dalam pergerakan “clumsy” dan mudah jatuh
4. Menghadapi masalah untuk melompat (hop & skip)
5. Menghadapi masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola
6. Menghadapi kesukaran untuk memahami arahan seperti atas/bawah, dalam/ luar, depan/belakang
7. Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa
8. Mungkin mempunyai sejarah lewat bercakap
9. Pertuturan yang tunggang langgang seperti “padah sawi” untuk sawah padi
10. Sukar menyebut perkataan yang banyak suku kata seperti “hospital” untuk hospital.
11. Sukar menamakan objek
12. Keliru antara kiri dan kanan
13. Bahagian anggota tangan yang dominan tidak dapat dikenal pasti
14. Tulisan tangan yang tidak kemas dan mempunyai banyak huruf/ perkataan yang terbalik (contoh huruf b/d, u/n, p/q, m/w )
15. Tidak boleh menyalin daripada papan putih / papan hitam dengan betul
16. Sukar untuk mengingat hari,tarikh lahir, alamat, nombor telefon
17. Sukar mengenal masa/ membaca jam
18. Keliru perkataan “semalam” atau “esok”
19. Sukar mengingati turutan sesuatu perkara. Contoh: turutan hari Isnin-Ahad, bulan Januari – Disember.
20. Sukar membaca secara fonik

Berasa mudah penat kerana menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi tetapi membuahkan hasil yang sedikit. Jadi kanak-kanak mungkin akan mengelat apabila tiba masa untuk belajar.

Kajian telah membuktikan bahawa diagnosa dan terapi yang cepat dapat membantu kanak-kanak dyslexic dengan lebih bagus.

IKLAN

Ini Langkah Nak Bantu

Kini di sekolah rendah kerajaan terdapat program LINUS (saringan literasi dan numerasi ) dimana ujian akan dilakukan untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah di dalam pembacaan dan pengiraan. Di dalam program tersebut terdapat modul untuk menyaring pelajar-pelajar dyslexia.

Jika ibu bapa atau guru-guru telah mengenal pasti anak-anak yang mempunyai ciri-ciri dyslexia, anda boleh pergi berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan, mereka akan membuat penilaian dan seterusnya akan membuat rujukan hospital ke doktor pakar kanak-kanak atau pakar perkembangan kanak-kanak (Developmental Pediatrician) sekiranya terdapat di hospital itu.

Sebelum diagnosa dyslexia dibuat, kadang kala kanak-kanak tersebut perlu menjalankan ujian pendengaran, penglihatan atau ujian IQ untuk memastikan pelajar bukan “slow learner” atau lewat perkembangan global.

IKLAN

Sesetengah daripada mereka akan dirujuk ke terapi pertuturan atau terapi cara kerja (occupational therapist).

Perbincangan dengan ibu bapa akan dibuat untuk membuat keputusan samada pelajar boleh dimasukkan ke sekolah yang mempunyai kelas khas dan mendaftar mereka sebagai kanak-kanak berkeperluan khas.

Di Malaysia juga ada organisasi bukan kerajaan iaitu Persatuan Dyslexia Malaysia yang berpusat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Persatuan ini boleh membantu ibu bapa dan terutamanya kanak-kanak dyslexia.

Kredit info: Dr Juliana Hashim

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI