
Mestilah rasa masakan isteri tak sama macam masakan ibu sendiri. Nama pun air tangan yang berbeza. Yang saja panaskan hati nak kritik lebih-lebih itu kenapa?
Cubalah jaga hati orang yang penat memasak, sekurang-kurangnya dia rajin ‘berasapkan dapur’. Tak habis duit makan luar.
Macam yang saudara Firdaus Shakirin suarakan, sebenarnya tiada keperluan pun untuk membanding-bandingkan masakan isteri dan masakan ibu sendiri, mereka ialah 2 orang yang berbeza. Cara masakan juga berbeza.
Kenapa ibu kita masak sedap?
Sebab mulut kita dari kecil memang dah terbiasa dengan masakan dia. Bagi kita, macam ni rasa ayam masak merah, macam ni rasa daging masak kicap, macam ni rasa asam pedas, gulai, masak lemak dan rasa tu dah sebati dengan kita dari kita kecil sehingga kita dewasa.
Bila ada isteri, dan bila dia masak untuk kita, kita akan rasa lain. “Kenapa tak sama macam mak kita masak?
Kenapa rasa lain?
Versi isteri dan versi mak kita lain, penggunaan bahan juga mungkin lain. Namun jika menggunakan bahan yang sama sekali pun, rasanya tetap berbeza kerana cara bahan-bahan tersebut dimasukkan ke dalam kuali juga mungkin lain aturannya.
Tak perlu menzahirkan secara depan-depan yang masakan mak sendiri lebih sedap dari masakan isteri. Itu akan membuatkan si isteri terasa sekali gus melemahkan semangatnya untuk menjaga perut suaminya.
Kalau ada kekurangan dalam masakannya, tegur elok-elok, minta dia perbaiki. Kalau nak makan selain dari kebiasaan, cakap, mintak, suarakan. Jangan terus marah-marah isteri, “Asyik-asyik lauk yang sama je. Ini je ke yang awak tahu masak?”
Please don’t.
Tak salah pun kalau suami bagi menu/jenis lauk atau masakan, apa yang dia nak makan. Ini lebih memudahkan isteri. Kalau dia tak tahu buat, dia google, buka mana-mana tutorial, belajar dan cuba buat bagi memenuhi permintaan kita sebagai suami.
Isteri ni, dari pagi dah mula fikir, apa nak masak untuk kita makan. Bila dah masak, kita tak makan, agak-agak apa lah yang dia rasa? Kecewa… dia masak dengan kasih sayang, dia bagi segala-galanya dalam penyediaan masakan itu dan akhirnya suaminya membanding-bandingkan masakan dia dengan orang lain.
Sedih kalau kena macam tu.
Jadi suami, lepas ini tolong jaga hati isteri ya. Tak sesedap mak masak tak apa, tapi belajarlah telan air tangan isteri pula.
Boleh buat?
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Segala Rezeki Itu Sebenarnya Datang Dari Berkat Doa, Keredhaan Seorang Ibu

Memang ada benarnya, segala nikmat rezeki yang kita miliki itu sebenarnya datang dari berkat doa dan keredhaan dari seorang ibu. Ia bukanlah hasil usaha kegigihan kita semata-mata. Sementara mak dan ayah masih hidup, rebutlah peluang berbakti dan membahagiakan mereka.
Lebih-lebih lagi jika sedang menjaga mak ayah yang sedang sakit. Ia memang tak mudah, namun belajarlah untuk tidak mengeluh. Percayalah keberkatan dalam kehidupan akan hadir daripada doa tulus dan keredhaan mak ayah.
Jemput hadam perkongsian bermanfaat, secebis pengalaman kisah hidup daripada Puan Ruhaiza Rusmin sebagai panduan buat kita.
Arwah mak saya meninggal dunia pada 2004 akibat kanser. Sejak disahkan menghidap kanser paru-paru pada 2001, kesihatannya mula turun naik. Sepanjang tempoh itu, arwah menjalani rawatan kemoterapi selain kami berusaha secara alternatif. Dan alhamdulillah, walaupun doktor jangka hayat arwah cuma setahun tapi arwah mak saya survived hingga 3 tahun.
Sepanjang arwah mak sakit, selain abah dan adik-adik yang menjaganya, saya dan suami juga akan mengambil alih tugas itu sekiranya arwah buat kemoterapi di HKL atau HUKM. Penat menjaga orang sakit ni tapi suami saya akan marah kalau saya merungut. “Itu emak awak tau.Bukan kawan-kawan awak. Jangan sesekali mengeluh depan mak” katanya.
Suatu hari semasa di kampung, arwah mak saya terbuang air besar di atas katil manakala najisnya juga jatuh bersepah. Tahu apa suami saya lakukan? Dia mengelap najis itu tanpa rasa jijik dan menyuruh saya membersihkan arwah mak di bilik air. Sewaktu memandikannya, arwah mak berulang kali minta maaf tapi saya katakan,
“Buat apa nak minta maaf. Mak bukan buat salah pun. Sekadar terbuang najis, benda kecil je”
Mak Menangis & Berdoa
Ketika itulah juga saya lihat arwah mak saya menangis dan dia berdoa dengan kata-kata yang tak mungkin kami lupakan sampai bila-bila.
” Ya Allah..ini adalah anak-anak aku yang berbakti kepada aku sepanjang aku sakit. Ini adalah anak-anak aku yang tidak pernah berkeluh kesah.Anak-anak aku yang sanggup mengotorkan tangan untuk najisku. Aku berikan keredhaanku sebagai seorang ibu dan Kau limpahkanlah seluas-luas rezeki dan kekayaan pada mereka hasil bakti mereka padaku”.
Saya dan suami terus terkedu bila mendengarnya!
Tiga minggu selepas itu arwah mak saya meninggal dunia dengan kata-kata akhirnya yang disampaikan pada abah bahawa dia sudah mengampunkan semua dosa anak-anak, menghalalkan segala pengorbanan serta air susunya. Anak-anak tidak berhutang satu dosa pun padanya.
Berkat Doa Dan Keredhaan Ibu
Untuk sahabat yang bertanya itu…inilah kisah bagaimana kehidupan saya bertukar. Bukan kerana saya kahwin dengan anak orang kaya kerana suami saya bukan anak yang suka menumpang pada kesenangan ibu ayah. Tapi kami merasai segala nikmat rezeki itu sebenarnya datang dari berkat doa dan keredhaan seorang ibu!
Saya selalu nasihatkan pada sesiapa, jangan berkira langsung dengan ibu bapa. Bukan mahu membangga diri tapi sejak saya kahwin, saya langsung tidak ambil kesah berapa yang suami saya peruntukkan untuk ibunya. Berilah berapa saja dan saya tak pernah buka mulut.
Pernah satu ketika, suami beritahu dia mahu memberi semua duit hasil penjualan ayam pada ibunya sebagai hadiah. Memang ada rasa sedikit terkilan tapi suami saya beritahu, redhalah.. Nanti akan ada rezeki yang lebih luas untuk kami.
Berbaktilah Pada Mak Ayah
Sebenarnya, untuk memperoleh pahala, tidak perlu kita mengangkat senjata di medan perang sebaliknya jika masih ada ibu bapa kandung atau mentua, berbaktilah pada mereka. Walaupun mereka cerewet atau seperti kebudak-budakkan yang mungkin boleh membuatkan kita rasa kecil atau panas hati, berlapang dada lah. Pengorbanan ibu bapa membesarkan kita lebih besar berbanding rasa hasutan hati itu.
Saya dan suami percaya rezeki itu datang dari Allah tapi kami juga percaya doa dan keredhaan ibu bapa jugalah yang akan membuka lorong-lorong rezeki itu. Kerana doa ibu bapa tiada hijab dengan Allah. Gembirakan mereka dan inshaAllah mereka akan mendoakan yang terbaik untuk kita. Percayalah!
MW: Allahu, sebaknya perkongsian ini. Semoga kita dapat menjadi anak yang membahagiakan orang tua, tidak jemu dalam menabur bakti buat mereka. Sesungguhnya doa daripada seorang ibu itu, tiada hijab dengan Allah. Rebutlah peluang selalu meminta doa daripada mereka.
Sumber: Ruhaiza Rusmin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Mula Kutip Benda Pelik-pelik Masuk Dalam Mulut, Jangan Tak Percaya Anak Suka Makan Rambut!”

Rupanya tak boleh pandang remeh kalau anak mula kutip benda masuk mulut, tambah pula kalau anak kita itu jenis payah nak makan benda berzat macam sayur dan buah-buahan.
Ini apa yang berlaku kepada Puan Adila Azurin, apabila anak perempuannya yang sulung hilang selera makan dan demam pun on off. Lagi sedih, anaknya mula tarik rambut sampai botak!
Nak tahu apa yang berlaku sebenarnya kepada anak kecilnya, jemput baca perkongsian daripada ibu muda ini.
“TAK APA NANTI ANAK DAH BESAR PANDAILAH DIA NAK MAKAN…”
Pernah terfikir macam ni? Ubah sebelum menyesal.
Raya baru ni ramai yang tanya pasal kesihatan Adra. Buat mereka yang tak tahu, 3 bulan lepas Adra warded 3 hari di hospital sebab masalah anemia. Kurang hemoglobin (HB) dalam sel darah merah. Kalau nak tahu, HB ini lah yang tolong angkat oksigen dari paru-paru untuk salurkan ke seluruh badan.
Sebelum warded hospital, Dila bawak Adra ke Klinik Kesihatan (KK) untuk buat blood test, sebab dalam sebulan tu dia kerap demam. Hampir setiap bulan. Sebelum ni Adra memang jarang demam. Kalau demam pun tak lama. Hari ni demam, esoknya dah baik. Dila confiden Adra susah kena penyakit sebab Dila fully breastfeed sampai setahun setengah. Sangkaan Dila, imune badan dia mesti kuat.
Tapi ntah kenapa bulan 4 lepas Adra demam sampai 2 kali dalam sebulan. First time Adra buat blood test di KK, terus dia kena refer ke hospital sebab bacaan HB dia masa tu 5 sedangkan bacaan yang doktor bagitau untuk kanak-kanak normal adalah 13. Kurang dari separuh. Arghhhh, terkejut Dila. Tanya doktor KK apa puncanya, tapi doktor KK bagitau hospital akan buat detail check up untuk dapatkan puncanya.
Balik rumah terus pack baju, serah diri ke hospital. Sebabkan masalah Adra berpunca dari darah, memang kena ambik darah je dari dia mula masuk hospital sampai la nak discaj. Kesian dia kena cucuk banyak kali. Dila pun tak sanggup nak tengok lebam-lebam kat tangan dia.
Lepas ambil darah. Doktor tanya macam-macam soalan.
“Awak tengok sendiri muka dia pucat, kelopak mata pun pucat, sini tengok tapak tangan dia. Bandingkan dengan tapak tangan awak. Pucatkan?
Ada tak dia sesak nafas?
Berak dia ada keluar darah?
Famili ada yang hidap talesemia tak?”
“Tak ada doktor, cuma sebelum ni dia demam dekat 5 hari on off on off, saya bagi PCM macam biasa tapi saya tengok dia lemah. Tak nak main sangat, asyik baring je. Makan kurang, tapi menyusu macam biasa. Kami tak ada talesemia, cuma saya je during pregnancy HB memang low.”
“Ok tak apa kita akan buat Full Blood Count (FBC) untuk tengok apa masalah sebenar.”
Hampir tiga hari Adra warded di hospital. Setiap hari doktor yang round ward akan tanya.
“Anak minum susu apa ibu?”
“Selera anak macam mana? Dekat rumah bagi makan apa?”
“Kita tengok anak ibu memang tak ada masalah apa. Mungkin masalah dia kurang darah merah ni sebab cara pemakanan dia tak berapa betul. KURANG NUTRISI.”
Allah! Tak tahu nak cakap macam mana, segan pun ada bila doktor cakap Adra kurang zat. Rasa macam kita tak bagi anak makan sampai dia jadi kurang zat.
Ini gambar first day masuk wad sebabkan HB rendah. Tak nak lagi tengok keadaan dia macam ni.
Anak sulung Dila, Adam lagi picky. Tapi dia tak ada pun masalah anemia. At least Adra makan nasi walaupun berlaukkan sup ayam hampir setiap hari. Dila selalu ingat tak apa kalau budak-budak tak nak makan sekarang, akan datang bila dia makin membesar, masa tu selera dia akan berubah. Tapi memang silap bila sangkaan Dila tu. Apapun memang kena dididik dari awal.
Lepas dari Adra mula campur susu Dila tak bagi dia minum susu fm. Adra memang minum fresh milk sahaja selain dari ebm. Dila belajar dari Adam dulu, salah satu punca anak tak nak makan bila dia dah terlalu craving susu yang manis. Adam pulak minum susu coklat. Kalau kurangkan portion susu dia pun, still tak nak makan. Adam cuma makan nasi yang ada rasa, macam nasi lemak (fav Adam), nasi ayam, nasi biryani. Semuanya makan tanpa lauk.
Lain sangat dengan Adra, dia memang suka makan. Mungkin masa mengandungkan dia, Dila memang tak ada alahan dan makan apa sahaja. Jadi nak suap Adra makan lebih mudah dan dia memang berselera.
Tapi Dila perasan dia kurang makan masa Dila mengandungkan anak ketiga, Hayat. Tak tahu sama ada simptom nak dapat adik ke apa. Orang kata kalau anak kita nak dapat adik memang perangai akan berubah sikit. Maybe betullah kot.
So Dila pun ok asalkan dia minum susu macam biasa. Waktu tu pun Dila memang tak larat sebab mengandung, nak kejar nak paksa makan ke apa memang tak larat sangat. Hari hari sebelum pergi kerja Dila akan masak lauk tuk Adra. Sup ayam, sup bayam. Dua tu memang fav Adra. Kalau tak larat Dila akan beli je dekat kafe ofis sambil sambil cari menu baru yang kena dengan selera Adra.
Lepas beberapa ubat dan petua dicuba, alhamdulillah dah ada selera makan. Hari hari ubah menu supaya dia tak bosan. Tapi sayur wajib ada setiap hari.
Suka Makan Rambut Sendiri
Tapi Adra tetap macam tu, makan sesuap dua lepas tu tak nak makan. Makin lama, Adra makin pelik bila dia dah start mengutip benda yang pelik-pelik masuk dalam mulut. Jangan tak percaya Adra suka makan rambut. Yes dia suka makan RAMBUT dia sendiri.
Masa ni walaupun dah ada selera makan sikit, tapi dalam masa yang sama tetap makan rambut sikit sikit.
Terkejut sangat bila satu hari balik dari ofis tengok rambut Adra dah botak sebelah.
Sampai banyak macam tu sekali Adra makan rambut dia. Sedih bila Dila dengan suami terpaksa decide untuk pendekkan rambut dia. Kesian nak botakkan rambut dia plus masa tu dah nak raya. Dengan badan yang makin kurus, rambut tak ada sampai ada yang tanya.
Habit makin teruk sampai terpaksa potong rambut dia jadi pendek.
“Adra luekimia ke?” Allah. Mintak dijauhkan.
Then Dila dan suami decide bawak Adra jumpa doktor pakar kanak-kanak. Cerita dari A to Z. Doktor bagitau yang Adra ada simptom PICA. Penyakit yang mana seseorang tu suka makan benda-benda pelik. Seseorang yang kurang zat besi cenderung untuk dapat simptom macam ni.
“Anak awak cuma makan rambut, ada saya jumpa makan sabun, makan tanah. Ye memang gejala PICA anak awak ni.”
Huaaaa lagi la sebak. Salah aku ke tak paksa anak makan. Stress sampai rasa nak tarik rambut sendiri pulak. Dia sambung lagi.
“Awak sendiri pun kena tengok awak makan apa, sebab dia bf kan, jadi apa yang awak makan tu lah salur pada dia, kalau makan tak berkhasiat, logik ke awak rasa badan dia kuat.”
Memang tahan telinga je waktu tu.
Gambar latest alhamdulillah. Tabiat makan rambut hilang sepenuhnya. Rambut pun makin tumbuh semula. Segala macam sayur, sawi, brokoli, tomato, bayam, timun semua dia makan.
Doktor pakar tu ada share beberapa teknik macam mana nak pujuk anak supaya makan semula terutama yang picky ni.
“Kita ibu ayah, kita yang sepatutnya kawal anak-anak, anak patut dengar cakap kita, bukan kita yang ikut semua kemahuan anak. Tak apa saya ajar macam mana tuk awak bagi dia makan, kanak-kanak yang picky macam anak awak ni memang ada cara dia.”
Punca Dapat Anemia
Ini doktor explain antara punca kenapa Adra boleh dapat anemia.
1) Minum susu segar yang mana kandungan zat besi dalamnya adalah rendah. Tak salah nak bagi anak minum susu segar, tapi pemakanan kena jaga sama. Jadi ibu-ibu yang memilih untuk berikan susu formula pada anak-anak, baca label dan pilih susu yang mempunyai kandungan zat besi yang tinggi.
2) Kurang makan makanan yang mempunyai zat besi. Walaupun kadang Adra makan, tapi sup ayam kurang kandungan zat besi. Jadi tukarkan kepada menu yang lebih kandungan zat besi seperti sup daging lembu, sayur atau buah setiap hari. Bayam dan jambu batu contohnya.
3) Tiada ambil makanan tambahan atau suppliment kanak-kanak untuk tampung kekurangan zat besi yang sesuai dengan keperluan tubuh badannya.
So ibu/mama/mommies/umi luar sana jangan pandang ringan bila anak kurang makan atau tak nak makan lansung. Zat besi memang sangat penting untuk tumbesaran anak-anak. Kekurangan zat besi juga akan menyebabkan anak-anak akan mengalami gangguan dalam pembelajaran terutama matapelajaran matematik. Ini apa yang doktor sharekan pada Dila. Wallahualam.
Luah ibu anak dua ini, sampai sekarang dia ingat apa yang doktor itu cakap dan ajarkan. Alhamdulillah, keadaan Adra dah semakin baik. Bagnya, ada hikmah juga dia cuti bersalin 3 bulan, hari-hari dia boleh suap Adam, Adra makan dengan tangan sendiri. Setiap kali tak makan, ibu ini dah siap sediakan rotan panjang dekat sebelah. Tak makan, haaa siap la!
Sekarang hobinya makan, makan dan makan, sampai ulang alik ke peti ais, cari apa lagi makanan yang dia boleh makan.
Apapun alhamdulillah. Sebenarnya dia nak makan, kalau dia nak dipujuk, pujuk lah. Kalau tak nak makan menu ni, cuba menu yang lain pulak. Penat macam mana pun usaha sehabis baik jaga amanah ni. Peringatan dan pelajaran tuk Dila dan suami.
Sebenarnya tak kejam sangat pun, kita buat pun demi kesihatan anak. Kesannya perlahan-lahan tabiat pelik dia berkurang, makan rambut tu alhamdulillah hilang sepenuhnya. Apa pun, wanita ini mohon orang ramai doakan kesihatan Adra bertambah baik. In shaa Allah.
Anak menangis tak apa, jangan kita yang menangis menyesal kemudian.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ini 8 Perkara Yang Mak Ayah Kena Pertimbangkan Dulu Sebelum Rancang Nak Tambah Anak

Sebenarnya ada 8 perkara yang mak ayah kena pertimbangkan dulu sebelum merancang nak tambah anak lagi.
Tapi sebelum mak ayah berhasrat nak meneruskan perancangan untuk menambah lagi anak,pertimbangkan dulu 8 perkara ini.
1. Jarak Umur Anak
Jika bersalin secara c-section atau pembedahan sebelum ini, seelok-eloknya jarakkan kelahiran selama 3 tahun. Ia bagi memastikan rahim benar- benar pulih sebelum perlu melalui proses mengandung dan bersalin sekali lagi. Bagi proses bersalin biasa seeloknya jarakkan anak selama 2 tahun. sekurang-kurangnya anak dah lepas tempoh menyusu badan.Berikan tempoh sehingga anak-anak boleh ‘berdikari’ sendiri, seperti sudah pandai berjalan, bercakap mahupun memakai baju sendiri.
2. Kos Perbelanjaan
Betul setiap anak pasti ada rezekinya yang tersendiri. Namun secara relevannya, mak ayah perlu juga pertimbangkan kos perbelanjaan anak meliputi rawatan sejak dilahirkan, kos penghantaran ke rumah pengasuh (jika ibu bekerja), rawatan kesihatan, belanja sekolah dan banyak lagi. Namun, jika kewangan mengizinkan, tidak salah menambah ahli baru.
3. Kesihatan Ibu
Adakah ibu sudah bersedia fizikal dan mental untuk menghadapi morning sickness, alahan yang teruk, temujanji doktor, moody, letih sekali lagi? Setiap kali proses mengandung, alahan yang dihadapi adalah berbeza-beza. Pastikan kesihatan ibu pada tahap yang terbaik dan benar-benar bersedia untuk hamil lagi.
4. Penerimaan Anak Pada Adik Baru
Bagaimana reaksi anak-anak apabila diberitahu mereka bakal menerima adik baru. Adakah mereka suka atau tidak suka?
Dan jika anak tidak suka, apakah langkah yang boleh diambil untuk menambahkan kasih sayang pada adik baru. Sebenarnya, mak ayah boleh jelaskan pada anak sedikit demi sedikit, kelebihan mempunyai adik. Jangan sesekali bezakan kasih sayang diantara anak-anak dan jangan biarkan anak rasa tergugat dengan kehadiran adik baru nanti. Berikan jaminan pada anak bahawa kasih sayang yang diberikan pada mereka adalah adil dan sama rata.
5. Berdepan Dengan Kerenah Anak-Anak
Cabaran menjaga anak zaman sekarang agak lebih mencabar berbanding dahulu. Zaman sekarang, mak ayah perlu lebih prihatin dalam memantau perkembangan anak-anak. Mak ayah juga perlu bersedia untuk berdepan dengan karenah dan demand anak-anak yang semakin membesar, serta ditambah pula dengan kehadiran bayi yang sememangnya menjadi fokus utama.T Oleh itu, adalah penting bagi mak ayah menambah lagi ilmu keibubapaan agar lebih bersedia bila menghadapi konflik dengan anak-anak nanti.
6. Bersedia Untuk Luangkan Masa
Ada anak kecil, memerlukan perhatian 24 jam.Kalau dahulu, anda masih boleh bangun lewat dan bersantai pada hujung minggu namun adanya ahli baru, ia menuntut banyak masa serta tenaga anda tidak kira siang, malam mahupun pagi.
7. Faktor Usia
Faktor usia juga perlu difikirkan sama ada anda dan suami masih berkemampuan dari segi kudrat untuk menjaga bayi yang baru lahir.Bagi wanita amatlah tidak digalakkan untuk hamil pada usia 40-an bagi mengelakkan pelbagai komplikasi sewaktu mengandung mahupun ketika bersalin.
8. Komitmen Dengan Kerjaya
Kalau dahulu anda sering outstation hingga ke luar negara, namun adakah dengan kehadiran ahli baru, anda berpeluang lagi untuk menerima tanggungjawab itu?
Jika bayi sakit, anda perlu mengambil cuti dan adakah ia menjejaskan prestasi kerja?
Sepakat merancang keluarga, jangan lupa libatkan suami!
Libatkan suami anda sebelum mengambil keputusan untuk menambah ahli baru kerana anda perlu fikirkan juga perasaan dan kemahuannya adakah sama seperti anda atau tidak.
Jika anda dan suami sudah sepakat, maka tiada istilah masa yang sesuai kerana anda pasti tidak sabar memegang bayi anda yang comel dan bakal menceriakan lagi kehidupan anda!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI