Aliff Aziz

Lihat saja aksi-aksi Bella Astillah, 23 dan Aliff Aziz, 26 tahun ini. Sudah ditakdirkan mereka melayari bahtera rumah tangga dan kesilapan yang pernah dilakukan, dijadikan satu pengajaran. Ditebak bagaimana dia matang menguruskan hal yang mungkin pernah melukakan sedikit hatinya, pemilik nama sebenar Dayang Nabellah Awang Astillah ini berkata, demi Ayden, dia rela berkorban!

“Semua wanita yang berkahwin mengimpikan perkahwinan yang kekal bahagia. Bella melihat contoh pada Umi dan Ayah (ibu bapa mentua), Mama dan Papa yang kekal bahagia sehingga kini. Tidak ada perceraian terjadi dalam perkahwinan mereka. Kalau boleh saya mahu jadi seperti mereka. Usia perkahwinan saya masih baru, kata orang banyak lagi yang harus dihadapi di masa depan. Jadi bila diuji, saya cakap di dalam hati, saya harus berkorban demi Ayden. Ujian ini bersifat dua, sama ada menjadikan kita semakin kuat atau melemahkan jiwa dan hati kita. Bella memilih untuk menjadi kuat dan memaafkan semua yang telah berlaku,”katanya memulakan bicara.

Mahu Aliff Belajar Daripada Kesilapan

Tidak meletakkan harta sebagai keutamaan dalam melayari impian perkahwinan, bagi Bella apa yang dia inginkan hanyalah sebuah perhubungan yang jujur dan indah.

“Bella mahu serikan rumah tangga ini dengan cahaya baru, meraikan ulang tahun pertama perkahwinan kami dan biarlah ada untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata anak sulung ini.

Dalam pada itu, akui Bella, biar usianya nampak muda tetapi dia senang mengambil tanggungjawab menguruskan adik-adik dan bila punya anak sendiri, dia cukup gembira dan tidak membiarkan suami tersayang, Aliff Aziz untuk menguruskan semuanya secara sendirian.

Kalau boleh setiap masalah itu harus dihadapi berdua, apa saja ujian semuanya mahu dibahagi sama rata. Ini kerana masalah bukan pengundur kehidupan sebaliknya setiap langkah perlu terus dimajukan langkah ke hadapan. Dan itulah yang dia lakukan dahulu dan tidak membiarkan Aliff keseorangan menjawab semua tohmahan yang datang.

IKLAN

Berkongsi cerita, sebagai anak sulung dia cukup sayangkan adik-adiknya.

“Bella yang hantar mereka ke sekolah, uruskan semuanya. Saya senang melakukannya kerana sangat sayangkan adik-adik. Jadi bila lahirnya Ayden, perasaan itu sukar digambarkan kerana ini zuriat cinta kami, anak kami. Saya sangat menyayanginya, lebih daripada diri saya sendiri.

“Bella tak meletakkan harta sebagai keutamaan dalam perkahwinan ini. Bella sudah kenal Aliff lama, perangainya memang mudah mesra dengan orang, suka berkawan. Mungkin dari situ timbul isu lain. Apa saja kekurangan Aliff sebagai suami, saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya cakap pada Aliff, belajar daripada kesilapan. Jadilah diri sendiri dan tak perlu menjaga hati orang lain. Sebab susah kalau orang tersilap fikir,” katanya dalam suara merendah.

IKLAN

Isu #gentingsajabukanlondon

Ternyata pada hari penggambaran ini dilakukan, sekali lagi berita mengenai Bella timbul kerana isu #gentingsajabukanlondon. Menjawab isu yang timbul ini, kata Bella ketika itu dia sedang memasak di dapur tetapi telefonnya tidak henti-henti berbunyi. Semuanya melalui Direct Message. (DM), semua meminta dirinya bersabar.

“Bila saya baca, barulah saya faham dan tahu apa diperkatakan. Dalam isu ini saya mengambil pendekatan senyap kerana apabila bersoal jawab, selagi itulah isu tak akan habis. Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada anak dan keluarga,” katanya yang mengakui berat badannya mulai naik sedikit dan kini mencecah 40 kg berbanding 36 kg sebelum ini.

Mengakui bukan seorang yang suka duduk diam kerana ia membuat tubuhnya menjadi lemah, kata Bella semasa berpantang ada bidan dijemput menjaganya. Tidak hairanlah bentuk tubuhnya kembali ramping selepas bersalin.

IKLAN

“Saya jenis tak reti duduk diam. Rasa tak selesa. Sebab itu saya mulai aktif selepas berasa tubuh kuat. alhamdulillah, semoga segalanya dipermudahkan. Menguruskan Ayden juga cukup mudah, dia hanya menangis bila lapar dan mahu menukar lampinnya, selebihnya dia tidur saja. Buat masa ini Mama tinggal bersama-sama saya untuk menjaga Ayden yang masih kecil.

“Kalau ada kerja di luar memang susah hati hendak tinggalkan Ayden, sebab itulah Bella lebih senang membawanya ke sana ke mari. Kata orang naluri seorang ibu itu berbeza dan inilah yang Bella rasakan selepas bergelar seorang ibu,” katanya memaklumkan antara perkara paling romantik pernah dilakukan suaminya itu ketika menunggunya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur semasa mereka dalam fasa pertunangan.

“Aliff beritahu tak dapat ambil saya di airport. Memang kecewa jugalah kerana kami sudah dua bulan tidak bertemu tetapi rupanya dia sudah menunggu saya,” katanya mengukir senyuman.

Jangan tidak tahu, anak kelahiran Sabah ini merupakan seorang artis dan kehadiran ke China bagi mewakili Pelancongan Malaysia bagi menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa China di empat buah tempat iaitu Shanghai, Xiamen, Dalian dan Beijing.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI