Raya dah raya, sekarang mak-mak mula berniat untuk puasa sunat syawal, tak kurang juga yang mula berpuasa ganti disebabkan ada hari-hari yang tidak mengizinkan untuk berpuasa dalam bulan Ramadan tempoh hari.
Ada yang berkira-kira, gantikan puasa yang wajib dulu dan barulah lakukan yang sunat. Ada yang kata boleh gabungkan sekali. Waima, macam mana sekalipun, kita buat KERANA ALLAH TAALA.
Ini perkongsian pendapat oleh Zulkifli Che Noh tentang apa yang diperkatakan tentang puasa sunat syawal mahu pun puasa ganti. Menurutnya:
Pernah suatu ketika, kami berkonvoi ke rumah seorang teman di sebuah kampung di Besut, Terengganu. Tujuannya untuk ziarah raya Aidilfitri.
Hari itu, 2 Syawal. Setibanya di sana, kami terkejut kerana suasananya seolah-olah masih di bulan Ramadan. Sunyi sepi. Pendek kata, macam tak raya lah.
Berbeza sekali dengan kebanyakan tempat, kemeriahan suasana hari raya begitu terasa terutama minggu pertama Syawal. kadang-kadang budaya rumah terbuka lajak hingga ke Zulkaedah.
“Mi, guane senyap tuppah sini, pakat gi mane belake?” (Mi, kenapa suasana senyap sunyi, ke mana semua orang pergi?) soalku kepada seorang sahabat selaku tuan rumah.
Ads
“Sinning memang gining, raya sebetor je pagi 1 Syawal, raya hok merioh, ‘Raya Kubur’!” (Kat sini memang begini, raya sekejap sahaja pagi 1 syawal, yang meriah ‘Raya Kubur’!) jawabnya.
“Raya Kubur?” Kami semua melopong, seram.
“Biasanya, orang di sini akan terus sambung ‘puasa enam’ bermula 2 Syawal. Setelah selesai, mereka akan sambut ‘Raya Enam’. Aktiviti utama, ziarah kubur, gotong royong dan makan-makan!” sambungnya lagi.
“Oh … begitu “
Ads
Hadis Sahih
Hadis mengenai puasa sunat Syawal adalah hadis sahih. Berdasarkan hadis tersebut, Imam Syafie, Hambali dan Hanafi menghukumkan puasa enam hari di bulan Syawal adalah Sunat Muakkad iaitu sangat dituntut.
Ada pun menurut mazhab Maliki, terdapat satu riwayat daripada Imam Malik bin Anas bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana ilmuan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut, dan tidak sampai pada beliau riwayat daripada golongan salaf yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Bahkan ada sesetengah ilmuan memakruhkannya kerana bimbang orang jahil akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada Ramadan.
Ads
Di dalam masyarakat kita di Malaysia, umum mengetahui dan menyedari tentang hukum sunat puasa syawal. Jarang sekali berpegang sebagai wajib.
Namun, kadang-kadang penekanan yang berlebihan dengan menetapkan tempoh masa yang tertentu untuk memula dan mengakhirkan amalan tersebut dibimbangi menimbulkan kekeliruan.
Hari Raya Kubur
Tambahan pula jika ia disertakan dengan acara-acara tertentu bagi merayakannya, umpama ‘Hari Raya Enam’ atau ‘Hari Raya Kubur’.
Sebaliknya, jangan kita terlalu memandang ringan pula sehingga langsung tidak mengerjakannya. Pilihlah mana-mana hari yang kita selesa sepanjang Syawal untuk kita berpuasa. Kerana ia jelas mempunyai kelebihan yang besar iaitu seumpama berpuasa sepanjang tahun.
MW: Moga dapat dijadikan panduan untuk kita semua.
Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Siapa sangka harapan bekerja sebagai pembantu rumah untuk menyara keluarga menjadi mimpi ngeri apabila diri diseksa teruk dan diperlakukan sesuka hati tanpa ada rasa sifat perikemanusiaan.
Badannya dicucuh dengan bara rokok selain dipukul majikan sehingga patah dua gigi hadapan.Pembantu rumah malang warga Kemboja berusia 20-an itu diibaratkan seperti hamba abdi kerana bukan saja didera majikannya, malah tidak dibayar gaji sejak dua tahun lalu selain dihalang berhubung dengan keluarganya di kampung.
Penderitaannya berakhir apabila wanita terbabit melarikan diri dari rumah majikan di Taman Sri Siantan, Bentong, Pahang, Jumaat lalu.
Wanita itu kemudian meminta bantuan di pusat tahfiz terletak tidak jauh dari kawasan rumah majikannya.
Pemilik Madrasah Tahfiz Darul Furqan, Mohamad Azam Shah Aziz Mohamad berkata, ketika wanita terbabit datang ke madrasah meminta bantuan, tenaga pengajar di situ yang juga warga Kemboja membantunya.
“Tenaga pengajar itu segera membawa wanita itu ke rumah saya,” katanya.
Menurutnya, dia yang berada di luar kemudian dihubungi ibunya memaklumkan kejadian sebelum bergegas pulang.
“Saya terkejut melihat kecederaan teruk dialami wanita itu. Katanya, dia bukan saja dipukul malah turut dicucuh bara rokok di badannya.
“Mujur ustaz Kemboja menularkan gambarnya dalam kumpulan WhatsApp sebelum dapat menghubungi ahli keluarga di kampung,” katanya.
Mohamad Azam berkata, ibu wanita terbabit memberitahu dia menyangka anaknya meninggal dunia kerana terputus hubungan sejak dua tahun lalu dan sangat sedih mendengar berita menimpa anaknya.
“Kakak ipar saya membawanya ke Balai Polis Bentong untuk membuat laporan.
“Saya difahamkan susulan laporan itu pasangan suami isteri terbabit ditahan polis dan direman tujuh hari,” katanya.
Sumber memberitahu, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).
“Pasangan suami isteri berusia 56 dan 48 tahun juga ditahan Sabtu lalu. Polis turut merampas rotan dan penggaru badan. Kedua-dua suspek warga Kemboja yang mendapat taraf penduduk tetap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusof Unis ketika dihubungi, mengesahkan laporan berhubung kejadian itu dan penahanan kedua-dua suspek.
MW: Sebagai manusia haruslah ada sikap belas kasihan dan berperikemanusiaan pada orang lain. Tak patut sungguh bagi majikan menyeksa pekerja amah dengan cara sedemikian. Semoga wanita ini mendapat pembelaan dan yang menindas mendapat pembalasan dibawa ke muka pengadilan.
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pergerakan terbatas dan perlu kekal berada di rumah. Namun demikian, ada juga yang terkandas di kampung halaman masing-masing dan meninggalkan rumah sendiri dalam jangka masa yang lama. Tidak kurang juga pasangan suami isteri dan anak-anak terpisah kerana pelaksanaan PKP ini.
Terkini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan empat hari mulai Khamis hingga Ahad ini, bagi membolehkan orang ramai yang terkandas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat perjalanan rentas negeri, kembali ke kediaman masing-masing dari seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamad, berkata untuk pergerakan rentas negeri itu, orang ramai perlu mendapatkan kebenaran menerusi aplikasi dalam talian, Gerak Malaysia.
PDRM sudah menerima 462,505 permohonan permit untuk membuat pergerakan bersama keluarga dalam tempoh 25 April hingga 1 Mei lalu.
Seramai 1.16 juta individu sudah memuat turun aplikasi mudah alih ‘Gerak Malaysia’ menerusi telefon pintar masing-masing untuk mendapatkan permit pergerakan rentas negeri.
“Orang ramai diminta untuk mengemaskini maklumat terkini menerusi aplikasi itu bagi melancarkan proses pergerakan rentas negeri,” katanya hari ini.
Menerusi ketetapan empat hari berkenaan, Khamis 7 Mei ditetapkan untuk orang ramai terkandas di Kuala Lumpur pulang ke kediaman di negeri lain seluruh negara.
Pada 8 Mei (Jumaat) diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing terutamanya di Kuala Lumpur.
Sementara 9 Mei (Sabtu) adalah pergerakan dikhususkan kepada mereka dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.
Pergerakan pada 10 Mei (Ahad) pula dikhususkan kepada mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
Huzir berkata, jadual pergerakan itu dirancang oleh PDRM supaya semua pengguna tidak tiba di sesuatu lokasi khususnya sekitar Kuala Lumpur secara serentak.
Pengguna digalak membuat pergerakan waktu malam pada tarikh yang ditetapkan sahaja, khususnya selepas waktu berbuka puasa.
Beliau mengingatkan semua pengguna yang pada tarikh pergerakan ditetapkan, tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya yang dilalui.
“Surau sepanjang lebuh raya juga ditutup, selain orang ramai tidak dibenarkan bersolat di kawasan lapang atau bangunan sekitar R&R. Hanya kemudahan tandas awam beroperasi di lebuh raya.
“Kawasan letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna yang singgah tidak dibenarkan keluar dari kenderaan masing-masing, kecuali untuk menggunakan tandas awam,” katanya.
Stesen minyak di lebuh raya hanya beroperasi jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja. Pengguna juga dilarang membuat pergerakan secara berkumpulan sepanjang lebuh raya.
MW: Jadi buat mereka yang terkandas di kampung halaman dan ingin pulang ke rumah sendiri, patuhi ketetapan, ikut jadual dan saranan yang diberikan.
Penemuan mayat wanita dalam beg di sebuah rumah kosong di Pedas dipercayai berkaitan kehilangan Suri sejak 15 Disember. Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti dan suspek terlibat.