Macam manalah perasaan seorang ibu bila dapat tahu berita kematian anak di rumah pengasuh. Mungkin sudah ajalnya tetapi inilah yang kes yang paling ditakuti kebanyakan ibu ayah yang bekerja.

Inilah situasi yang berlaku kepada pasangan suami isteri yang pada awalnya berhasrat mahu menyambut ulang tahun kelahiran mereka yang ke-30 bersama anak sulungnya namun tidak kesampaian apabila bayi lelaki pasangan itu meninggal dunia selepas hampir 24 jam bertarung nyawa akibat tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah rumah di Taman Meru kelmarin.

Disebabkan kejadian ini pengasuh berusia 36 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki berusia lapan bulan di Taman Meru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, setakat ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pengasuh bayi berkenaan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang semalam mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan di kepala mangsa sebab ada pendarahan di bahagian belakang kepala dipercayai dipukul atau dihentak dengan objek keras.

Muhammad Syahmi Naufal Muhammad Adam Tham, lapan bulan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 6.21 pagi semalam.

Ibunya, Robaah Kamaruddin, 30, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pengasuh pada 11 pagi Rabu yang memaklumkan anaknya dalam keadaan lemah.

Dia dan suami Muhammad Adam Tham Abdullah, 30, bergegas ke rumah pengasuh itu yang terletak berhampiran tempat kerja mereka.

Dia dan suami bekerja di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Meru Raya dan menghantar Naufal ke rumah pengasuh berkenaan pada 7 pagi setiap hari sejak Januari lalu.

Sumber: Sinar Harian & Harian Metro