Pernah tak terbayang anda kena cari barang dalam tong sampah? Siap pilih makanan dari tong sampah! Ada orang, nak lalu sebelah tong sampah yang busuk pun fikir dua kali. Tetapi hakikatnya memang ada orang GALI SAMPAH demi sesuap nasi.

Macam kisah nenek seorang ni, Che Yah Ismail, 61, dia terpaksa buat kerja kutip sampah demi menyara anak dan cucunya.

“Makcik tak sanggup tengok cucu kelaparan sebab ada masa, kami kehabisan makanan dan terpaksa bagi air gula pengganti susu,” luahnya.

Che Yah sanggup keluar mencari botol, plastik dan barang terbuang yang boleh dijual bersama dua anak lelakinya demi meneruskan hidup selepas berpindah ke Alam Perdana sejak lima bulan lalu.

“Dulu makcik tinggal dekat Subang tapi disebabkan sewa mahal dan tak mampu, makcik pun pindah dekat sini sebab sewa RM400 saja sebulan dan anak sulung tolong bayarkan.

“Makcik pun duduk dengan dua anak lelaki, anak ketiga dan yang bongsu. Memang kami tak boleh pisah. Empat cucu ni anak lelaki ketiga pun duduk sama dengan kami,” katanya.

Che Yah yang berasal Kampung Padang Raja, Melor Kelantan itu membantu dua anaknya mencari sisa sampah yang boleh dijual demi sesuap nasi di sekitar kawasan Alam Perdana.

Disebabkan tiada kerja tetap, kedua anaknya, Saiful Anuar Ahmad, 32, yang mengalami masalah kesihatan dan Samsu Addy Ahmad, 29, yang mengidap kanser telinga terpaksa mencari botol plastik dan kaca untuk dijual.

Saiful Anuar yang tinggal bersama isteri yang sedang sarat mengandung dan empat anaknya masing-masing berusia 11 bulan sehingga lima tahun itu baru sahaja berhenti kerja.

Tak sangka kisah hidup jadi viral

Che Yah cukup terkejut apabila kisahnya mencari sisa sampah terbuang bersama cucunya viral dalam media sosial sehingga menerima kunjungan orang ramai.

“Makcik terkejut bila ada orang datang bagi barang dapur dan ada orang Zakat pun datang tanya keadaan kami, terharu bila ada orang tak kenal datang bagi barang dapur.

“Memang makcik dapat bantuan bulanan RM350 dari zakat dan RM170 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan susu untuk cucu dari UiTM Perlis tapi kadang-kadang tak cukup.

“Duit yang ada dulu pun buat bayar bil dan boleh tampung beberapa minggu saja makcik tak sanggup nak tengok cucu kelaparan bila stok susu habis. Makanan yang ada pun, Alhamdulillah buat kami terus hidup.

“Sebab tu makcik harap sangat ada orang sudi bagi kerja dekat anak makcik ni sebab walaupun sakit tapi mereka boleh buat kerja ringan, asalkan ada kerja pun sudah cukup sebab boleh bantu sara keluarga.

“Anak pun susah nak cari kerja sekarang ni sebab tak ada kenderaan, motosikal pun pinjam orang. Kalau nak pergi kedai, kami sanggup jalan kaki walaupun kedai jauh,” katanya.

Bagi anda yang ingin membantu, boleh terus hantar ke rumahnya di alamat:

No, M08-2-01 Johan Court,
Jalan AP 2E/3 Alam Perdana,
42300 Bandar Puncak Alam.


Nota:
Ini barang yang diperlukan, baju kanak-kanak diperlukan. Umur 5 tahun sampai 11 bulan. Ada 4 kanak-kanak. Paling kritikal makanan dan susu lactogen untuk bayi 11 bulan dan pampers.