Seharusnya artis saling sokong menyokong kerana masing-masing berada dalam industri yang sama. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Mereka mencari kelemahan dan salah orang lain yang akhirnya menjatuhkan air muka rakan artis sendiri.  

Budaya tidak sihat ini semakin menular sehingga sesetengah masyarakat melabelkan artis suka bergaduh di media sosial. Tolonglah, ini cerminan tidak elok dalam industri seni itu sendiri.

Apa kata Yusry Abd Halim yang sudah 25 tahun berada dalam industri mengenai budaya ini...

MW : Kadang artis suka memberi pendapat yang salah! Bagi komen yang tiada kaitan dengan diri mereka pun. Adakah ini pamerkan “nilai” artis itu sendiri?

YUSRY : Saya setuju hal ini. Dengan kemudahan media sosial hari ini yang segalanya di hujung jari, ia tak seharusnya berlaku. Bahasa mudahnya, kata orang, mudah benar melatah sedangkan hal tu tak ada kena mengena pun dengan dirinya. Orang cuit sikit, cepat-cepat kita nak balas sebab semuanya sekarang di hujung jari. Saya selalu cakap kepada diri sendiri, juga kepada Lisa isteri saya, kalau tak ada kaitan dengan kita, jangan berikan sebarang komen.

MW : Sebagai orang lama, adakah Yusry rasa itu memperlihatkan kebodohan diri sendiri?

YUSRY: Ini saya panggil kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara adalah berkaitan dengan dua pandangan dari orang yang berbeza. Kalau kamu boleh senang-senang “serang” orang, jangan marah kalau orang sekolahkan kamu pula. Sebab itu pun kebebasan bersuara juga bagi mereka. Kamu tak boleh ada hak marah-marah orang dan kemudian nak marah pada orang bila mereka berikan pandangan.

Sebab hak memberi pandangan ini bukan hak kamu seorang. Kalau kita memberikan pandangan kononnya memperlihatkan kita sangat bagus, itu saya tak setuju. Memberi pandangan itu bagus, tapi tengok sama ada ianya bernilai atau tidak. Kalau tak ada kaitan langsung, diam itu lebih bagus terutamanya di media sosial.

MW : Itu bukan kategori bodoh ke?

YUSRY : Saya tak suka nak cakap orang bodoh atau mengeluarkan kenyataan begitu kerana ia membuka ruang kepada diri saya untuk orang mengata. Jadi saya tak boleh sebut begitu kepada orang lain.

MW : Artis patut fikir sebelum bercakap? Perlukah ada kajian dan sebagainya?

YUSRY :  Artis tetap artis. Mereka bukan golongan terpelajar yang perlu membuat kajian kerana kajian memerlukan teorinya. Tapi ini berkaitan media sosial. Mungkin dia fikir, itu akaunnya, maka itu adalah haknya, jadi boleh suka hati sendiri nak cakap apa.

Tapi setiap kali kamu bercakap sesuatu, sama ada kamu bercakap mengenai orang lain atau mengenai diri sendiri, fikir sama ada ia boleh menjejaskan periuk nasi orang lain, hiris hati orang lain, menjejaskan institusi kekeluargaan dan sebagainya. Bagi orang yang terkena, mereka perlu bangkit menjelaskannya. Tapi kalau tak ada kena mengena langsung, jangan buang masa!

MW : Kenapa artis dilihat saling tuding menuding satu sama lain sedangkan industri seni bukan besar mana pun?

YUSRY : Ini saya sebut sebagai PERTANDINGAN! Setiap artis ada pasang surutnya. Artis yang ada banyak masa saja yang akan sibuk mencari hal dengan orang lain kerana tak ada kerja. Tapi kalau artis itu sibuk dengan kerja, dia tak ada masa pun untuk memberi komen mengenai orang lain. Nak cakap sendu pun tak boleh sebab saya pun sendu juga tapi saya buat bisnes. Jadi saya sibuk dengan kerja saya.

Kalau marah, jangan lepaskan di media sosial. Kalau marah dan lepaskan di media sosial, memang sengaja cari nahaslah. Patut bertenang dan istighfar. Saya sudah 25 tahun dalam industri, dah faham banyak perkara. Dulu, kita marah juga tapi bila dah tenang baru kita jumpa orang itu dan terangkan kejadian.

Tapi sekarang, berbalas-balas di media sosial. Industri ini kecil, pusing-pusing jumpa juga. Jujurnya, saya tak ada kawan artis yang benar-benar rapat. Kawan macam-macam itu saja sebab tengok pengalaman orang lain. Kecuali satu artis yang saya sangat rapat iaitu Lisa, isteri kesayangan saya.