menyelami masalah

Menjadi seorang wartawan membuka banyak ruang untuk aku menyelami masalah dan bertemu dengan orang yang pelbagai ragam. Hari ini kita berjumpa dengan ahli profesional, esok barangkali jumpa seorang usahawan berjaya yang pendapatannya mencecah jutaan ringgit. Lusa pula mungkin kita jumpa seorang kakak yang kehilangan suami atau anak-anak.

Setiap orang memiliki sisi hidup yang berbeza. Tidak kurang juga daripada pengalaman-pengalaman orang lain yang ditimpa kegagalan dan kejatuhan membuatkan kita tersedar dari lena yang panjang. Malah dalam diam membuatkan kita bersyukur kepada Allah bahawa hidup kita jauh lebih baiki darinya.

Kadang-kadang apabila berpeluang menyelami hati sang ibu yang anaknya sakit, terasa betapa besarnya ujian yang perlu dia lalui. Tabahnya hati dia mampu menjaga anak dan menemani anaknya sepanjang masa tanpa mengenal erti penat.

Padahal aku yang mendengar rintihan dia terasa ingin banjir air mata, sebaliknya dia hanya terus berdoa agar anaknya kembali sembuh dan lincah seperti sediakala. Pernah juga usai interview ibu tunggal, kami jadi rapat dan aku menjadi tempat dirinya meluahkan perasaan apabila ada insan-insan di sekelilingnya melontar kata-kata kejian.

IKLAN
Dari mereka aku pelajari banyak perkara,

Kenal hidup dan kenal tingkah laku masyarakat kita yang makin nazak. Kadang-kadang orang di luar sana hanya melihat luaran seterusnya membuat andaian sendiri tanpa usul periksa.

Bagi anda mungkin kata-kata anda tidak memberi makna padanya, tetapi tahukah anda setiap butir kata yang negatif pasti membuatkan orang yang dirudung masalah bertambah runsing seterusnya hilang arah dalam hidup. Orang yang kuat pegangan agamanya mungkin memilih Allah menjadi tempat pengadu terbaik.

IKLAN

Oleh itu, setiap kali anda melihat golongan ibu tunggal, anak syurga atau mereka yang ditimpa kesusahan janganlah bebani mereka. Jika tidak mahu membantu sekali pun, tutup mulut anda dari berkata sesuatu ayng menyakitkan hati.

IKLAN

Siapa kita untuk menghukum dia, jangan ditambah masalah dengan mengatakan itu karma atau balasan Allah. Harus diingat kita adalah milik Allah, hari ini mungkin hari dia, mungkin esok lusa di saat kita alpa dan lupakan Tuhan, kita pula diuji.

Oleh itu, hiduplah berkelana di bumi Tuhan tanpa menyakiti hati orang lain. Sesungguhnya jika kita menjaga batas-batas diri dan berakhlak mulia, sudah pasti ramai akan menghormati kita.

PEACE NO WAR.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI