Pernah tak anda melihat situasi ini, ketika berjalan di pusat membeli belah pada hujung minggu, ternampak seorang lelaki sedang menggalas beg tangan pasangannya sama ada isteri atau teman wanita. Siap kepit bawah ketiak! Sedangkan dalam masa yang sama, si perempuan itu tidak bawa apa-apa barang pun. Hanya telefon bimbit di tangan. Apa yang terlintas di fikiran anda. Adakah lelaki itu kelihatan romantis atau anda nampak lelaki itu macam kena ‘cucuk hidung’? Jom tanya pendapat lelaki tentang perkara ini....

1. Cara Lain Boleh Tunjuk Caring

“Ada banyak cara kita nak tunjukkan sikap caring pada pasangan. Bawakan barang-barang yang mereka beli pun salah satu petunjuk bahawa kita caring pada pasangan. Tak perlulah sampai tolong galaskan beg tangan pasangan. Nampak ganjil sebab beg tangan itu aksesori wanita. Bila lelaki yang bawa, memang tak kena. Tak sweet pun bagi saya.

Tapi ada juga rakan-rakan saya yang biasa galas beg tangan teman wanita mereka jika mereka keluar bersama. Saya pernah tanya dan kata mereka, itu tanda sayang pada pasangan. Tapi  sebaliknya saya tengok macam kena queen control pun ada. Jadi, kesimpulannya, lain orang lain pemikiran. Tapi bagi saya, perbuatan itu tak sweet pun. Akmal Che Razak

2. Tak Sesuai Dengan Imej Lelaki

 

“Bagi saya, lelaki dicipta sebagai khalifah dan ketua keluarga. Bila bawa beg tangan wanita, rasa tak sesuai dengan imej dan watak lelaki itu sendiri yang gagah perkasa. Tapi kalau tolong angkat dan bawa barang-barang ketika beli-belah, tak ada masalah. Sebagai lelaki memang patut tolong angkat barang.  Nampak gentleman. Lebih-lebih lagi jika barang yang berat. Tapi bukan galas beg tangan perempuan.

“Apa pun, terpulang pada pendapat masing-masing. Ada yang memang tak kisah nak galas beg tangan pasangan mereka walau pun ketika itu perempuan itu tak bawa apa-apa barang pun. Mungkin nak tunjuk kasih sayang dan sifat caring pada pasangan. Tapi kalau saya, memang taklah..” Wan Izmir bin A.Rahim

3. Galas Demi Keselamatan

“Secara peribadi, saya tak nampak pun perbuatan galas beg tangan isteri atau teman wanita ini ‘sweet’ atau romantis. Sebab lelaki sifatnya macho, gagah dan kuat. Beg tangan pula dikaitkan dengan sifat feminin. Keduanya kontras. Namun, tengok situasi.  Macam saya, kalau setakat tolong pegang dan tunggu isteri ketika dia nak ke tandas masih boleh diterima. Sebab nak memudahkan mereka. Demi keselamatan. Tapi kalau hendak saya galas ke hulu ke hilir masa menemani isteri shopping, saya takkan buat. Tengok lelaki yang buat macam tu pun saya rasa pelik. Apatah lagi sendiri nak buat.

“Tapi ada lelaki yang tak kisah nak bawa dan galas beg pasangan mereka. Mungkin mereka rasa beg tangan ada banyak dokumen peribadi penting di dalamnya. Jadi demi keselamatan, biar mereka yang bawa. Lebih-lebih lagi jika berada di tempat sesak dengan orang. Tak kisahlah kalau mereka rasa macam itu.” Yuhaizal bin Yaacob

4. Bantu Mudahkan pergerakan Isteri

“ Saya memang tak pernah galas beg tangan isteri saya. Sejak kami bercinta hingga sudah berbelas tahun kahwin. Isteri pun tahu prinsip saya tu. Bagi saya beg tangan adalah lambang feminin wanita. Buruk benar kalau lelaki galas beg tangan wanita. Muka macho tiba-tiba galas beg tangan. Tak nampak pelik ke? Lainlah kalau tolong pegang dan jaga beg tangan isteri ketika dia nak cuba baju dalam fitting room atau tunggu isteri masuk tandas. Itu nampak sweet, menunjukkan lelaki ambil berat tentang barang berharga isteri. Tapi kalau ketika window shopping suami yang galas beg isteri, memang tak elok sangat nampaknya.

“Begitu juga jika isteri sedang dukung anak . Saya rasa memang patut kalau suami tolong bawa beg tangan isteri sebab nak bantu mudahkan pergerakan isteri. Nanti kalau tertinggal di mana-mana lagi susah sebab banyak dokumen penting di dalam beg tangan mereka tu. Ini pendapat saya secara peribadi.” Sharul Nizam Amir