amyra rosli tak dedahkan wajah anak

Ada pelbagai perkara dibangkitkan oleh netizen kepada pasangan Amar dan Amyra terutamanya bab tak dedahkan wajah anaknya ketika baru-baru lahir.

Sememangnya selepas bersalin Amar dan Amyra tidak sabar mahu berkongsi wajah putera kesayangan mereka kepada orang ramai terutamanya peminat mereka. Namun selepas dua bulan Aqeef dilahirkan dan Amyra tamat berpantang, barulah mereka memperkenalkan putera sulung mereka ini. Amar dan Amyra menyatakan mereka punya sebab tersendiri.

Alasan Tak Dedahkan Wajah Anak

“Sebab sebenar kami tidak mendedahkan wajah cahaya mata sulung kami adalah kerana terikat dengan Program The Adventure of Aqeef AmyraAmar, terbitan astro yang mana nama dan wajah anak kami hanya akan dikongsikan apabila program ini bermula. Program ini juga turut memaparkan episod ketika Amyra mengandung, baby shower, bersalin, proses anak membesar dan paparan majlis kesyukuran dan majlis cukur jambul yang kami adakan baru-baru ini merupakan episod terakhir program The Adventure of Aqeef AmyraAmar yang mana Amyra akan berkongsi tip penjagaan ketika hamil dan proses berpantang,” ujar Amar memulakan bicara.

Bagaimanapun, selepas ini mereka akan sentiasa berkongsi tentang perkembangan terkini Aqeef dengan peminat menerusi laman sosial Instagram.

IKLAN

Letih Namun Berbaloi

Diusik tentang perasaan dan pengalamannya pertama kali bergelar bapa, Amar terus memandang wajah si comelnya yang sedang nyenyak tidur.
“Macam-macam pengalaman yang kami berdua dapat. Amar sebagai seorang Daddy memang sangat letih. Walaupun letih namun berbaloi sebab pengalaman seumpama ini sangat sukar dilupakan.

“Membesarkan anak yang baru lahir macam-macam perangai. Sampai sekarang dah nak masuk dua bulan saya tak tidur malam sebab ‘bertugas’ menjaga Aqeef pada sebelah malam. Jadi saya akan tidur pada waktu siang. Sebalah siang pula, mama dan Amyra yang akan jaga Aqeef. Kiranya kami bergilir-gilir menjaga Aqeef.

IKLAN

“Malah saya juga rasa sangat berbaloi walaupun terpaksa ambil cuti panjang untuk tengok anak membesar. Pengalaman ini sangat manis dan indah buat saya. Aqeef merupakan kurniaan Ilahi yang cukup istimewa buat saya dan isteri,” sambung Amar yang ringan tulang membantu Amyra menjaga putera sulung mereka.

Amar juga menambah, Aqeef merupakan bayi yang cukup baik kerana tidak banyak ragam dan senang untuk diuruskan.

IKLAN

Amyra Sangat Beruntung

Menurut Amyra pula, dia berasa beruntung ketika mengandung dan dalam proses berpantang kerana sangat dimanjakan oleh suami dan keluarga.
“Saya berasa sangat beruntung sebab masa mengandung hinggalah dalam pantang, sentiasa mendapat perhatian lebih. Sepanjang tempoh mengandung, suami beri tumpuan sepenuhnya pada saya dan begitu juga dengan mama. Dalam tempoh berpantang, memang Amar dan mama jaga saya sepenuhnya.

“Bergelar ibu memang penat, tapi saya gembira kerana hadirnya orang baru dalam hidup. Macam-macam perkara baru saya belajar. Dalam pantang, saya kena jaga diri sendiri dan bayi, Alhamdulillah saya boleh uruskan dengan baik.

“Saya bersyukur sebab mama tegas dan saya jalani proses berpantang secara tradisional. Mama memang suruh saya disiplin dan bersungguh-sungguh menjalani proses berpantang. 44 hari saya tak boleh keluar rumah, keluar hanya untuk check up anak di hospital. Makanan pun dipantau, rebus dan kukus saja. Adat dulu-dulu memang saya ikut 100 peratus. Bukan saja mama, malah Amar pun ambil sebahagian tanggungjawab mama. Kadang-kadang dia tolong masakkan lauk berpantang untuk saya. Mungkin disebabkan disiplin yang tegas oleh mama, Alhamdulillah saya dapat kembalikan berat asal sebelum mengandung,” kata Amyra yang kekal langsing persis anak dara.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI