Kerja rumah memang tak tak pernah habis. Ada sahaja perkara yang nak kena buat. Bila banyak sangat kerja rumah, kadang-kadang mak pun penat dan boleh jadi garang dengan anak. Kiranya dalam satu hari memang tak cukup untuk mak-mak habiskan semua. Kadang-kadang hari minggu yang sepatutnya masa mak-mak berehat akan digunakan untuk menguruskan kerja rumah.
Kerja rumah yang bertimbun ini, belum lagi dicampur dengan karenah anak yang macam-macam peel, lebih-lebih lagi anak yang ramai. Mahunya, ‘naik hantu’ mak-mak. Mungkin ini jugalah yang menyebabkan mak-mak mula menjadi garang. Suara yang lemah lembuh dah tukar jadi ‘tarzan’.
Kadang-kadang, keadaan ini boleh tertekan bukan hanya dengan kerja rumah yang banyak dan peel anak-anak yang membuatkan mak-mak jadi garang. Tetapi, ia boleh jadi garang atau mak rasa kecil hati bila suami dan anak-anak tidak membantu sedikit sebanyak kerja rumah.
Senang cerita, bila suami dan anak-anak ada rasa tanggungjawab dalam membantu mak dan urus kerja rumah, semua ini akan jadi lebih mudah dan senang. Mak-mak tiadalah rasa nak ‘garang’ 24 jam dan tak adalah merajuk atau kecil hati dengan suami.
Seperti perkongsian daripada Insyirah Soleha ini. Pendapatnya, anak-anak kena ada rasa tanggungjawab dan kena didik dari kecil dalam uruskan kerja rumah. Tak kira anak lelaki atau perempuan, kena sama-sama tolong.
Lama tak berbual panjang dengan seorang kakak, beliau baru bersalin jadi saya tidaklah mahu mengganggu rehat dan kalutnya beliau dengan anak-anak.
Tapi semalam, kami ambil masa sama-sama berkongsi cerita. Beliau pun bercerita kehidupannya bersama anak-anak, kami sama-sama ketawa bila berbual pasal ragam orang perempuan yang sangat kompleks.
“Bila fikir-fikir betullah kan.”
“Sebenarnya benda tu kecil pada suami, tapi pada kita ianya besar. Jadi merajuk sebab kita anggap besar tapi suami anggap kecil. Lepas tu merajuk.”
“Paling best, suami tak tahu pun kenapa isteri merajuk.” Hehe.
Bila emosi kucar kacir, anaklah yang jadi tempat lepaskan emosi.
Ads
“Makin ramai anak, makin terasa garang. Tak tahu macammana nak bagi tak garang dengan anak-anak.”
Beliau kongsikan kebaikan-kebaikan suami membantu urusan rumah tangga dan anak-anak.
Memang saya pun dapat rasa betapa syukurnya beliau dengan kebaikan suaminya. Alhamdulillah.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Surah Ar Ruum ayat 21.
Subhanallah.
Suatu muhasabah pada kami, kebaikan yang banyak jangan dileburkan dengan kekurangan yang boleh dibaiki mahupun emosi mengatasi ihsan.
Kurangkan ‘Garang’
Saya kongsikan kepadanya, apa yang berlaku pada saya sekarang, dah kurang garang dan anak-anak pun akui hal yang sama.
1. Faktor usia, dah tua tak larat nak garang-garang. Cakap tak jalan juga, cuit suami suruh guna suara seorang bapa. Kadang, ambil juga rotan, libas pada tilam atau kerusi nak bagi bunyi libasan rotan. Trick sangat.
2. Anak yang lebih besar diberi peranan dan tanggungjawab untuk bantu urusan rumah.
Sejak usia 5 tahun, suami dah biasakan anak sulung sendukkan nasi sendiri. Ajar anak senduk nasi. Jadi sekarang di usia 8 tahun, dah boleh diharap untuk sendukkan nasi, hidangkan lauk, selepas makan basuh pinggan, lap meja makan, kalau ada baki makanan terus simpan di peti ais.
Ads
Selepas mandi, sidai tuala. Pakaian kotor masuk dalam bakul.
Memang boleh dikatakan setiap hari perlu ulang skrip yang sama.
“Lepas mandi, sidai tuala.”
“Sebelum mandi, baju kotor masuk dalam bakul.”
“Lepas makan, basuh pinggan.”
Anak-anak pun bukan malaikat, ada masa mengelat juga.
“Alaaa penat la asyik kena buat kerja rumah.”
Suami selalu jawab,
“Kalau anak tak bantu ibu bapa, ibu bapa lagi penat. Anak yang soleh suka bantu ibu bapa.”
Jadi, buat juga lah walau kadang berperang perasaan. Ya, nak tak nak kena juga latih anak-anak.
3. Balik sekolah biasanya anak sulung akan tawarkan diri nak mandikan adik yang umur 15 bulan. Awal-awal memang saya pantau sepenuhnya tapi sekarang dah tahu macammana dia mandikan adik dan boleh lepas 50%.
Saya pun tahu adik teruja sangat bila abang ajak mandi sebab bawa mainan macam-macam nak main sambil mandi.
Masa anak sulung mandikan adik yang kecil, saya ambil peluang sediakan makan malam atau lipat baju.
4. Beri tanggungjawab pada anak-anak. Rasa bertanggungjawab pada ibu dan adik-adik, sedikit sebanyak akan membuat hati anak akan lembut dan berbuat ihsan.
Dari usia kecil diberi tanggungjawab, bila bertambah usia mereka, akan diberi tanggungjawab urusan rumah sedikit demi sedikit.
Ads
5. Anak-anak lelaki, memang lebih susah buat kerja rumah berbanding anak perempuan tapi ia bukanlah alasan untuk kita beri semua kerja kepada anak perempuan.
“Biarlah penat mengulang ayat yang sama sekarang, 20 tahun akan datang kita tak perlu ulang lagi ayat yang kita ulang sekarang.”
Begitulah pesan dari sahabat-sahabat yang anak mereka lebih besar.
Sentiasa Sabar Dan Bersyukur
Jadi, macammana nak kurangkan garang?
Saya tak ada jawapan.
Situasi setiap orang berbeza. Maka cara mereka juga tidak sama. Semoga kita semua mampu untuk jadi orang yang sabar dan syukur berdepan dengan makhluk halus setiap hari.
Bila penat, berehat.
Anak-anak tak pernah minta untuk mendiami rahim kita, tetapi kita yang minta dengan Tuhan untuk dikurniakan anak-anak dalam kehidupan kita.
Anak-anak tak mampu untuk memilih ibu dan ayah mereka, tetapi sebagai ibu dan ayah kita mampu mencorak anak-anak.
Amalkan dengan doa Nabi Ibrahim a.s.
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku keturunan yang soleh.
Ummu Amir,
Tak ada yang sempurna melainkan Dia.
MW: Dengan keadaan sekarang ini, mak-mak turut sama mencari rezeki untuk keluarga. Jadi, anak-anak kena beri tanggungjawab juga supaya besar nanti dia faham apa yang dilakukan sekarang ini.
Adik-beradik kutip duit beli barang dapur, mudahkan urusan mak ayah tiap kali raya. Setiap kali menjelang Aidilfitri, mak ayah pasti sibuk menguruskan persiapan. Dari kemas rumah, tempah kuih, beli baju raya, sehinggalah ke urusan memasak untuk sanak saudara yang bakal bertandang.
Adik-Beradik Kutip Duit Beli Barang Dapur, Mudahkan Urusan Mak Ayah Tiap Kali Raya
Bagi mereka yang sudah berusia, keletihan semakin terasa, tetapi tetap juga mahu memastikan anak cucu dapat menikmati juadah terbaik di pagi Syawal.
Sebagai anak, inilah masanya kita ringankan beban mereka. Salah satu cara yang mudah tetapi sangat membantu adalah dengan bergotong-royong mengumpul duit dalam kalangan adik-beradik untuk membeli barang dapur. Mungkin nampak kecil, tetapi impaknya besar.
Bayangkan kalau setiap seorang adik-beradik menyumbang RM50 hingga RM100, jumlah yang terkumpul mungkin sudah cukup untuk membeli bahan-bahan utama seperti ayam, daging, santan, beras, gula, dan rempah ratus. Bila barang dapur sudah tersedia, mak ayah tidak perlu pening kepala memikirkan bajet dan tenaga untuk keluar membeli.
Lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barang setiap tahun, duit belanja dapur pasti meningkat. Dengan adanya inisiatif ini, mereka tidak perlu berbelanja besar dari poket sendiri, sekali gus boleh menyimpan lebih banyak untuk keperluan lain.
Biasanya, pasar dan kedai runcit akan sesak menjelang hari raya. Kalau boleh, elakkan mak ayah daripada bersesak di tempat ramai. Sebagai anak, kita boleh mengambil alih tugas membeli barang keperluan lebih awal.
Buat senarai barang yang diperlukan dan bahagikan tugas antara adik-beradik. Ada yang boleh beli ayam dan daging, ada yang uruskan bahan kering seperti tepung dan gula, sementara yang lain boleh beli keperluan minuman dan kuih raya. Cara ini bukan sahaja mempercepatkan persiapan, tetapi juga mengelakkan pembaziran kerana semua barang dibeli mengikut keperluan.
Berkongsi rezeki dalam kalangan adik-beradik bukan sahaja meringankan beban mak ayah, tetapi juga mengeratkan hubungan sesama kita. Kadang-kadang, dalam kesibukan hidup masing-masing, kita jarang berhubung atau berkumpul.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, semua akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap keluarga. Mungkin ada yang lebih mampu memberi lebih, dan ada yang sekadar memberi ikut kemampuan. Tetapi yang penting adalah semangat bantu-membantu, bukan jumlah yang disumbangkan.
Pertengahan puasa, kami dah mula kutip setiap keluarga RM200 untuk tujuan persiapan juadah raya. Ada 2 orang masih belajar jadi kutipan terkumpul RM1,600. Duit tersebut dipegang oleh bendahari kehormat dan setiap pembelian barang-barang kena ada resit.
2. Tentukan Menu Raya
Menu raya pertama hingga raya ke 3 telah ditentukan dalam whatapps family dan pembahagian tugas telah diberikan. Maknanya untuk semua juadah raya anak-anak dan menantu yang uruskan. Mak jadi mandur dan kalau boleh rehat je biar anak-anak uruskan. Ahli keluarga dah ramai, takkan nak suruh mak juga masak kan???!! Menu wajib raya pertama nasi minyak + ayam masak merah.
3. Bayar Elektrik Untuk Mak Ayah
Raya ke 3 masing-masing akan balik rumah mertua (memang macam tu setiap tahun). Baki duit kutipan akan digunakan untuk bayar bil elektrik dan air. Bayangkan semua nak pakai aircond, hp ada berapa bijik nak charge, laptop, lampu kipas 24 jam sebab ‘bergebang sampai pagi’. Berpuluh-puluh orang mandi entah berapa banyak bil ayor yang kena bayor nanti. Ada baki itulah yang bagi dekat mak untuk simpan atau nak guna. Itulah rutin kalau beraya di rumah mak.
Sekadar berkongsi cerita. Bukan apa, kesian dekat mak ayah kita yang terpaksa keluar duit sendiri untuk tanggung makan minum kita anak beranak. Memang sekali sekala keluar duit, tetapi kalau kita boleh ringankan beban mereka kan lebih baik. Kadang-kadang kita terlepas pandang perkara yang remeh temeh tu. Mungkin tahun ni kita boleh buat perubahan.
Jangan biarkan mak ayah bersusah payah sendirian setiap kali raya menjelang. Sebagai anak-anak, kita boleh berganding bahu untuk memudahkan urusan mereka. Kutip duit dalam kalangan adik-beradik, beli barang dapur lebih awal, dan pastikan segala persiapan berjalan lancar.
Bukan nilai wang yang penting, tetapi usaha dan kasih sayang yang kita tunjukkan. Raya bukan sekadar tentang baju baru atau juadah mewah, tetapi juga tentang kebersamaan dan kegembiraan keluarga. Semoga dengan inisiatif kecil ini, kita dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna, penuh kasih sayang dan keberkatan.
Ibu anak 7 ini berkongsi kisah. Setiap anak ada perangai masing-masing. Bila anak mengamuk waima angin puting beliung datang, mak ayah boleh sampai urut dada. Biarpun masing-masing ada ragamnya, pantang untuk mak berleter panjang.
Haa.. ada sebab kenapa tak digalakkan? Ini yang Bonda Nor kongsikan di sebalik ragam anak-anaknya, ada pengajaran untuk mak ayah yang lain.
Saya Kenal Jenis Muka Itu ‘Muka Sedang Mengamuk’
“Sayang, abang Im mengamuk-ngamuk dalam kereta tu. Katanya, dah lambat.”
Saya angguk. Faham tujuan suami meluahkan itu. Tangan terus pantas mengopek telur rebus. Nasi goreng terus diisi ke dalam pinggan.
Settle.
“Angah! Hanis! Makan cepat!”
Kaki terus laju melangkah menuju ke kereta.
Pintu kereta dibuka. Saya pandang muka Imran yang sedang monyok. Saya kenal sejenis muka itu. Muka sedang mengamuk.
“Masuk. Masuk makan dulu.”
Ringkas. Tapi tegas.
Sudah faham, kes mengamuk begini, lagi dipujuk, lagi naik kepala. Jadi, ringkaskan saja.
Dia terus keluar dari kereta. Bentak-bentak.
Hadap makanan, masih membentak.
Sambil pakaikan Hadif baju, saya bersuara tegas.
“Mengamuk? Cubalah mengamuk. Nak tengok mama punya mengamuk?”
Dia diam. Terus makan sampai habis.
Settle.
Apa Yang Nak Marah Sangat..
Anak-anak hulur tangan, salam. Seorang demi seorang.
.
Saya perasankan sesuatu.
“Abang Im mana?”
“Dalam kereta.”
Saya terus melaung.
“Haziq Imran! Kenapa tak salam mama dulu?”
Dia datang. Hulurkan tangan, membentak. Saya tinggikan suara menegur reaksinya yang kurang ajar. Cuba bantu dia berfikir.
“Apa yang nak cepat sangat? Apa yang nak marah sangat? Mama ajak makan je. Suruh salam je. Semua tu macam biasa je. Kenapa nak mengamuk?”
Kali ini dia menangis. Dan saya biarkan dia menangis. Biar! Biar dia lepaskan rasanya yang terbuku dari tadi.
Kemudian saya peluknya lama-lama. Gosok belakangnya. Cium pipinya. Dan dia cium pipi saya.
Settle.
Drama pagi ini. It supposed to be drama ‘show don’t tell’. Tapi tak kira, saya tetap nak tell jugak. He he.
Setiap Anak Ada Angin Puting Beliungnya
Alhamdulillah, sebagai ibu kepada 7 orang anak, perkara seperti ini sudah biasa saya hadap. Anak-anak, mereka ada angin timur laut barat daya juga. Kadang tak pasal-pasal nak mengamuk. Kita jadi mak ayah memang urut dada saja bila datang angin puting beliung mereka.
Cuma satu yang saya pelajari. Jangan banyak berleter. Banyak berleter buat kita penat. Anak-anak pun rimas.
Mak-mak kena kuatkan hati. Jangan panjangkan drama. Nak tegur, tegur straight forward saja. Kalau pusing sana sini, kona sana sini, letih!
Marah-marah, tinggi suara boleh. Tapi bukan untuk lepas geram. Cukup untuk pamerkan ketegasan kita. Ya, anak-anak mesti tahu limititasi mereka. Yang perlu dibuat, tetap mesti dibuat. Mereka perlu tahu, untuk sesetengah perkara, tiada kompromi!
Mereka kurang ajar, kita tegur. Mereka berdegil juga, kita sekat sementara apa-apa yang mereka suka. Tak boleh TV, komputer, duit belanja.. or whatever. Jangan terikat dengan hukuman rotan. Takut masa marah, kita melibas dengan kekuatan syaitan.
Anak Kecil, Anak Remaja, Ragamnya Berbeza
Memang, tak mudah didik anak. Terutama bagi yang ada ramai anak. Anak kecil lain ragamnya. Anak remaja, lain kerenahnya. Masing-masing menuntut perhatian dengan cara masing-masing.
Tapi, dah namanya amanah, maka galaslah. Galas dengan penuh pergantungan kita pada Allah.
Kalau Allah uji kita dengan anak-anak yang ‘sakit’ jiwa mereka, biarlah kita usaha untuk sembuhkan perlahan-lahan. Kena sabar. Kena rajin belajar.
Kata orang, rumah buruk, kalau jatuh ke tangan orang yang rajin, boleh indah macam baharu.
Rumah cantik, kalau jatuh ke tangan orang yang malas, nescaya akan jadilah macam rumah Bonda Nor. Ya ampun.. kenapalah aku kemas, tak kemas-kemas?
Carilah rezeki berkat kalau benar anda kejar bahagia dalam hubungan rumah tangga, ini petua utama yang patut suami isteri pegang. Rezeki sedikit atau banyak bukan persoalannya.
Apa yang diutamakan adalah berkat. Apa guna dapat rezeki banyak tetapi tak berkat. Banyak mana pun masih tidak mencukupi. Selalu tidak puas hati. Sebaliknya kalau rezeki itu berkat, biarpun sedikit itu memadai. Apa yang ada diterima penuh redha dan kesyukuran.
Cuba faham dulu konsep keberkatan, mesti kita tak cepat merungut walau kadang rezeki cukup-cukup makan saja. Malah rasa lapang dada dengan apa yang ada.
Adakah rezeki yang kita dapat itu sudah dibersihkan untuk mendapatkan keberkatannya. Sama-sama dalami tip mendapat keberkatan rezeki…
1. Sedekah
Ini salah satu cara membersihkan rezeki yang diperoleh setiap bulan. Ringankan tangan menghulurkan sedekah kerana melalui cara itu kita akan mendapat keberkatan dalam rezeki. Jangan takut berkongsi sebab cara ini buat rezeki anda lebih cukup, malahan dapat menyimpan walaupun habuan yang diterima pada setiap bulan itu tidaklah lumayan. Ya, itulah berkat.
2. Ibu dan ayah
Ramai terlupa akan tanggungjawab sebagai seorang anak. Jangan berkira untuk hulurkan wang saku pada ibu dan ayah setiap bulan. Ingat dan percayalah, kalau selalu gembirakan kedua orang tuan kita mendapat redha daripada Allah SWT. Tak payah nak berkira dengan ibu dan ayah, anggaplah itu pemberian tetap pada setiap bulan yang perlu dilunaskan.
3. Mudahkan urusan orang
Ketika kita senangkan urusan orang lain Allah juga akan membantu memudahkan segala urusan kita pula. Jangan berat tulang menolong dan meringankan bebanan orang lain kerana di situ juga akan mendatangkan keberkatan dalam rezeki yang kita nak dapat.
4. Jangan langgar apa yang haram
Taat perintah Allah dan cuba tinggalkan segala larangan Nya juga. Tak kiralah dalam punca rezeki atau sebaliknya. Mentaati perintah Allah adalah kata kunci untuk berjaya di dunia dan juga di akhirat. Kita jaga solat, rezeki lagi makin mudah. Jangan jadikan sibuk sebagai alasan untuk buat ibadat.
5. Muliakan anak yatim
Dalam setiap rezeki yang kita peroleh, adanya hak orang lain. Jadi berikan pada yang benar-benar memerlukan. Muliakan anak yatim dan bantu mereka akan menjadikan rezeki yang diperoleh walaupun sedikit insya-Allah akan mencukupi. Jangan beranggapan dengan banyak memberi akan menjadikan kita kehabisan. Sebenarnya lagi banyak kita memberikan selagi itu Allah SWT akan lipat gandakan rezeki untuk kita.
6. Ada rezeki lebih, dahulukan haji dan umrah
Kalau sudah berkemampuan dan sihat tubuh badan lakukanlah haji dan umrah. Ziarah tempat-tempat suci di Makkah dan Madinah pastinya akan membuatkan hati bertambah tenang dan mampu beribadat kepada Allah SWT. Dengan rezeki yang halal pastinya ia akan memberikan ketenangan yang hakiki kepada diri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.