Isteri muda lagi sudah nak berpoligami? Kasihan sungguh anak-anak yang masih kecil itu dahagakan kasih sayang seorang ayah yang sedang angau. Kalau betullah nak mengikut sunnah tunggulah masa sesuai yang melayakkan seorang suami berkahwin lagi. Tunggu isteri tak muda lagi dan anak-anak dah mampu berdikari, kalau dah terlampau berahi beristighfarlah dan ingat balik kisah poligami Nabi SAW yang setia bersama Khadijah. Bukankah Nabi SAW tidak pernah berpoligami semasa hidup bersama isteri pertamanya? 

 

Berkahwin lagi satu itu bolehboleh saja asalkan seorang lelaki sanggup didik isteri jadi solehah, anak-anak tidak memberontak dan mesti adil dalam menguruskan kewangan keluarga. Malangnya para suami yang dibuai angan-angan nak tegakkan sunnah kecundang dek kejahilan mengurus hawa nafsunya sendiri. Bagaimana pula mana kalau yang berpoligami itu ustaz? Alasannya  kerana wanita itu yang menyerahkan diri minta dikahwini. Nak selamatkan akidah, nak selamatkan maruah, nak selamatkan hartanya daripada fitnah. Peliknya hanya dia seorang lelaki sajakah yang layak mengemban tugas itu dari berjuta lelaki bujang di luar sana? Bukankah tugas ulama cukup berat menanggung duka umat, jika dia masih ada masa untuk berkongsi duka dengan seorang wanita sehingga melupakan duka umat tidakkah pelik? Oleh itu cukup sulit menemukan ulama yang bukan ulama biasa! Sepertimana cukup susah menilai seorang suami itu bukan suami biasa. Semua lelaki sama dalam menilai seteguk kenikmatan bernama kahwin, yang membezakan mereka hanya iman dan ilmu. Kejahilan seorang lelaki dalam mempertimbangkan kewarasannya untuk berpoligami boleh merosakkan agamanya. Jika ilmu berpoligami yang dipelajari dari kitab sunnah tidak mampu diaplikasikan dalam kehidupan sebenar, apalagi yang boleh menyelamatkan suami dari bala yang akan datang? Mengapa para suami yang mengaku membela sunnah tidak disibukkan dengan mengurus keluarga mengikut sunnah? Mengapa hanya poligami yang sentiasa dipromosikan sebagai sunnah Nabi SAW  sedangkan monogami tidak? Bukankah Allah SWT dalam fi rman-Nya juga menyebut jika kamu takut tidak dapat berlaku adil maka kahwinilah seorang saja.” (Surah al-Nisa ayat: 3)
 
Bagaimana pula jalan mengikut sunnah Nabi dengan cara bermonogami? 
Mengikut pandangan seorang suami dan pejuang umat sehebat syaikh Hassan al-Banna bukankah kewajipan lelaki itu lebih banyak daripada masa yang mereka  ada? Apakah kerana banyaknya masa kosong menyebabkan para suami mudah terjangkit penyakit angau? Bagaimana pula nak membuat suami jadi sibuk dan tiada  ada masa layan angaunya? Eloklah para isteri tengok-tengokkan suami yang suka membuang masa. Malangnya susah sangat nak lihat suami buang masa, kebanyakan  mereka memang sibuk dengan kerjaya dan urusan perniagaannya. Betulkah begitu? Takkah seratus peratus betul, mungkin suami pura-pura sibuk di  depan isteri manalah tahu! Sehingga isteri jatuh kasihan dan tak sampai hati meminta tolong kepada suami untuk uruskan rumah tangga dan anak-anak bersama-sama. Malangnya suami yang terbiasa dimanja isteri ini jadi tak berhati perut, tinggalkan isteri keseorangan menanggung beban menjaga anak-anak sementara dia bukan main seronok bersama perempuan lain. Duit gaji pun tak sampai ke mulut anak-anak kerana meraikan cinta baru sehinggakan isteri terpaksa mencari nafkah sendiri.
 
Di manakah sunnah Nabi yang membela para isteri daripada suami-suami tak amanah sebegini?Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah engkau  memberinya makan jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menjelek-jelekkan & tidak memboikot kecuali di dalam rumah.” (H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani) Sudahlah wang tak cukup, pinjam pula gaji isteri kemudian mengata isteri sendiri demi untuk mengambil hati perempuan lain. Bukankah perbuatan ini amat ditegah oleh sunnah? Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” (H.R. Muslim) Sikap suami yang menzalimi isterinya demi wanita lain ini bukanlah perbuatan mengikut sunnah sama sekali bahkan boleh menyebabkan rumah tangga bercerai-berai, hal ini sesuai dengan hadis Nabi SAW yang mengecam para suami yang menceraikan isteri. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melaporkan: Aku telah menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (H.R. Muslim) Jadi kepada suami janganlah mendabik dada kononnya hendak tegakkan sunnah berpoligami, jika penghujungnya hanya menceraikan isteri tua bukankah perbuatan anda ini diatas telunjuk syaitan bukannya sunnah?