Ibu yang bekerja dalam masa yang sama mempunyai anak-anak yang masih kecil pasti berhadapan pengurusan masa yang kritikal. Mudahkan rutin harian ibu dengan melatih anak-anak ke dapur. Anak lelaki juga boleh melakukan kerja-kerja rumah seperti anak perempuan.

Melatih anak lelaki masuk ke dapur sebenarnya perlu bermula dari kecil. Disiplin sebegini membuatkan mereka terbiasa. Pengalaman penulis blog SuriSuper.com dan penulis buku, Azura Abdullah melatih anak-anak lelaki memasak boleh dijadikan contoh. Melihat anak-anak lelakinya yang tidak kekok masuk ke dapur memasak benar-benar mengagumkan.

Bagaimana ibu ini memberi melatih empat orang anak-anaknya ke dapur tanpa rasa kekok. Anak-anaknya, Muhammad Irfan, 17, Nur Irdina, 14, Muhammad Irsyad, 13, Muhammad Isyraf, 10 tahun selesa malah gembira sekali ketika di dapur. Kadangkala bermacam-macam menu menarik yang mereka sediakan. Ikuti idea yang dipraktikkan olehnya.

1.    Berikan tugasan memasak

Anak-anak didedahkan dengan tugasan memasak sejak usia mereka masih kecil. Pendedahan itu dilakukan mengikut kesesuaian umur dalam mengendalikan peralatan dapur untuk mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku.

2.    Biar anak cari resipi di Internet

Tak nafikan, anak lelaki ketika di dapur, keadaannya bagaikan tongkang pecah. Tapi mereka sangat kreatid dalam mempelbagaikan resipi yang mereka cari sendiri dari Internet.

3.    Kenali kemampuan anak

Atasi kebimbangan ibu bila anak lelaki masuk ke dapur dengan memberikan pendedahan sejak mereka di awal usia. Ketika anak-anak di dapur, ibu perlu pantau. Dari situlah ibu akan faham kemampuan anak-anak dalam mengendalikan ruangan dapur.

“Misalnya anak lelaki saya yang bongsu masih dalam darjah 4. Saya lepaskan anak saya memasak bersendirian jika tidak menggunakan api atau minyak. Bagi anak lelaki saya ini, saya fokuskan kepada masakan yang menggunakan air-fryer dan oven sahaja.

“Manakala abang mahupun kakak yang sudah bersekolah menengah barulah saya berikan mereka kebenaran untuk menggunakan dapur gas atau memasak yang melibatkan minyak.”

4.    Ibu pun kena masuk dapur

Ibu bapa jenis yang cerewet tentang ruangan dapur pun sebenarnya boleh latih anak-anak lelaki mereka. Kunci utama adalah beri pendedahan awal. Libatkan anak ketika memasak. Lama-kelamaan anak-anak akan faham apa yang perlu dibuat.

“Misalnya selepas memasak, mereka perlu mengemas dan mencuci kembali segala peralatan. Seperkara lagi, kita sebagai ibu bapa perlu ‘walk the talk’ sesama suami isteri. Contohnya suami membantu isteri menghidangkan makanan. Selepas makan, suami bantu isteri mencuci pinggan mangkuk yang kotor. Dari situ, secara automatik anak-anak akan ambil peduli hal ini dan saling membantu antara satu sama lain.

Itu yang dipraktikkan dirinya dan suami, Mohd Hadzrami.