“Memang rasa tak sedap hati.” Ibu ingat kemalangan biasa, rupanya anak terkorban. Panggilan telefon daripada menantu disangkakan anak lelakinya hanya terlibat kemalangan biasa saja, namun kuasa Allah mengatasi segalanya.

Daripada Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Semoga keluarga ini kuat berdepan ujian berat di kala bulan Ramadan ini. Luluh perasaan seorang ibu dan juga isteri bila menerima khabar mengejutkan begini.

Memang Rasa Tak Sedap Hati

Perasaan tidak sedap hati seorang ibu selepas tidak melihat van dinaiki anaknya berhampiran rumah membawa khabar duka apabila buah hatinya itu disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kuala Nerus, petang semalam.

“Memang Rasa Tak Sedap Hati.” Ibu Ingat Kemalangan Biasa, Rupanya Anak Terkorban
Ibu dan bapa kepada arwah Mohd Shalam.

Dalam kejadian jam 6.22 petang itu, Mohd Shalam Mat Saat, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas van dinaikinya bersama tiga lagi rakan terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu van, dua kereta (Proton Wira dan Proton Persona) dan sebuah bas ekspres.

Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah tiga rakan sekerja Mohd Shalam.

Baca Di Sini : Baru 4 Hari Bergelar Suami Isteri, Pengantin Lelaki Maut Dalam Kemalangan!

Ibu Ingat Kemalangan Biasa

Menurut Che Rokiah Che Long, 65, biasanya van dinaikinya akan melalui kawasan rumah mereka di Losong sebelum anaknya itu pulang ke kediamannya di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang.

“Biasanya van diparkir berhampiran rumah tetapi petang tadi tak nampak van membuatkan saya terdetik mengapa dia pulang lewat hari ini.

“Memang rasa tak sedap hati dan perasaan itu terjawab apabila menerima panggilan daripada menantu (isteri Mohd Shalam) jam 7.20 malam memaklumkan Mohd Shalam terbabit dalam kemalangan.

“Ketika terima panggilan itu, kami sedang berbuka dan menantu cuma bagi tahu dia kemalangan sahaja. Sebaik selesai solat Maghrib, kami sekeluarga ke hospital sebelum dimaklumkan anak sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, malam tadi.

IKLAN

Rupanya Anak Terkorban

Sementara itu, bapa kepada Mohd Shalam, Mat Saat Jusoh, 72, berkata, dia tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa anak keempat daripada tujuh beradik.

“Ketika menantu telefon, ingatkan anak hanya kemalangan biasa tetapi sangkaan itu meleset apabila anak disahkan meninggal dunia,” katanya.

Allahyarham Mohd Shalam meninggalkan isteri yang sedang hamil tiga bulan dan seorang anak berusia lima tahun.

Baca Juga Di Sini: Hajat Tak Kesampaian, Anak Meninggal Kemalangan Dalam Perjalanan Ziarah Jenazah Ibu

Ragut Empat Nyawa

Tragedi 2 Ramadan ini meragut empat nyawa manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, jam 6.22 petang semalam.

Mangsa yang disahkan maut adalah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34 dan termasuklah Mohd Shalam, 37 tahun. Manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

IKLAN

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah van, dua kereta iaitu Proton Wira dan Proton Persona serta sebuah bas ekspres.

“Memang Rasa Tak Sedap Hati.” Ibu Ingat Kemalangan Biasa, Rupanya Anak Terkorban
Kemalangan dipercayai berlaku apabila van ini dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan sebelum melanggar Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

Artikel Berkaitan: Pemain JDT Kemalangan, Anak Baru Berusia 22 Hari & Ibu Mentua Meninggal

Kemalangan Empat Kenderaan

Menurutnya, mangsa yang maut adalah penumpang dan pemandu sebuah van yang dipercayai pekerja sebuah syarikat kimpalan berdasarkan tong gas yang terdapat dalam kenderaan terbabit.

Katanya, dua mangsa yang parah dalam insiden itu adalah pemandu dan penumpang Proton Wira, Muhammad Fazil Husin, 33, dan Nursilawati Said @ Nawang, 42.

“13 penumpang termasuk dua pemandu bas ekspres dan pemandu Proton Persona, Chew Cheong Keng, 55, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebaik menerima panggilan, seramai 18 anggota termasuk tujuh dari BBP Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

IKLAN

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila van jenis Daihatsu yang dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan sebelum melanggar Proton Persona yang datang dari arah bertentangan.

“Van terbabit kemudian melanggar bas ekspres yang dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu menyebabkan kenderaan terbabit remuk,” katanya.

“Memang Rasa Tak Sedap Hati.” Ibu Ingat Kemalangan Biasa, Rupanya Anak Terkorban
Tragedi 2 Ramadan ini meragut empat nyawa manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres.

Ambil Masa 1 Jam

Katanya, Proton Wira dinaiki Muhammad Fazil dan Nursilawati yang berada di belakang van terbabit kemudian melanggar Proton Persona yang berpusing selepas dirempuh van berkenaan.

Tambahnya, pihaknya mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam van berkenaan dengan mangsa terakhir dikeluarkan jam 7.14 malam.

Semua mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Mingguan Wanita : MW mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga mangsa yang terlibat. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Sumber : myMetro

Follow kami di :

Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI