Selepas sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, hari raya adalah hari kejayaan, kegembiraan dan kemeriahan. Kegembiraan sambutan Aidilfitri tergambar apabila masing-masing memakai baju baru, seluruh ahli keluarga berkumpul dan ziarah-menziarahi sesama saudara. Amalan saling menziarahi rumah terutama dalam kalangan saudara terdekat dan sahabat handai adalah satu tradisi yang sentiasa diamalkan sewaktu Aidilfitri.

Bukan itu saja, amalan rumah terbuka juga turut merapatkan hubungan dalam kalangan keluarga dan sanak-saudara. Menerusi amalan ini, seluruh ahli keluarga yang jauh dan dekat dapatberkumpul dan pastinya momen ini terlalu indah dan akan dipahat dalam minda. Begitu juga yang dikongsikan oleh tiga figura yang menjadi penghias muka hadapan majalah Mingguan Wanita istimewa Aidilfitri kali ini. Zarina Zainuddin, Wilma Muhammad dan Datin Mas Anizan, ketiga-tiga mereka memegang status sebagai isteri dan ibu glamor dan akui sambutan hari raya mereka sangat indah terutamanya apabila melihat anak-anak gembira di pagi raya.

Mas Anizan, Wilma & Zarina Kongsi Kemeriahan Aidilfitri

Wilma – Memori Sambut Raya Pertama Di Mekah

Usianya sudah mencecah 46 tahun namun pelakon yang pernah popular menerusi filem Pasrah dan Ghazal Untuk Rabiah, Wilma Muhammad tetap anggun. Ibu kepada lima cahaya mata ini juga tidak pernah lekang dari senyuman sepanjang sesi fotografi berlangsung.

Menyentuh mengenai hari raya Aidilfitri, sebagai seorang isteri dan ibu sudah pasti Wilma mahukan yang sempurna dan terbaik untuk anak-anak dan suami. Namun wanita ini sentiasa mendidik anak-anak agar mengamalkan kesederhanaan dan mengelak dari pembaziran.

“Sememangnya sejak dari kecil anak-anak saya sudah didik untuk amalkan kesederhanaan. Jangan berlebih-lebihan kerana akan menyebabkan pembaziran. Bukan saja amalan ini dipraktikkan pada bulan Ramadan dan Syawal namun saya sentiasa sematkan dalam diri mereka agar bersederhana selalu. Bila tibanya hari raya contohnya baju raya tak semestinya sentiasa bertukar yang baru setiap tahun. Kalau baju raya tahun lalu masih elok dan muat dipakai, jadi tak perlu dibeli. Kalau dah tak muat barulah cari yang baru. Jadi anak-anak saya ada yang dapat baju baru, ada yang pakai baju lama. Mereka tak kisah sangat tentang baju baru, tapi mereka nak duit raya lebih,” ungkap Wilma sambil tertawa kecil.

Amal Konsep Bersederhana

Wilma juga menerangkan dia berasa bertuah kerana anak-anaknya sudah memahami konsep mereka bersederhana dalam membuat persiapan raya dan kelima-limanya tidak banyak ragam.

Ditanya destinasi mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri tahun ini, Wilma yang juga berasal dari Lahad Datu, Sabah ini cuma menyambutnya di ibu kota, Kuala Lumpur.

“Tahun ini giliran berhari raya di rumah adik saya pula. Jadi semua keluarga akan berkumpul macam pulang ke kampunglah di rumah adik saya itu. Jadi tahun ini tak buat rumah terbuka sebab raya di rumah adik jadi dialah yang buat,” kata Wilma sambil melemparkan senyuman.

Menyentuh mengenai juadah hari raya yang menjadi kegemaran mereka sekeluarga, Wilma menerangkan pada kebiasaanya mereka akan menyediakan lemang dan rendang Tok di pagi raya.

“Dua menu tradisional ini memang jadi kegemaran saya, suami dan anak-anak. Ada lemang dan rendang Tok pun dah cukup, sudah semestinya juadah ini wajib ada di meja makan. Kuih raya pula anak perempuan akan buat sikit. Biasanya mereka juga akan membuat kek. Kuih raya lain yang jadi kegemaran kami sekeluarga tat nenas dan biskut suji.

Selain berkongsi kisah kemeriahan di pagi raya, Wilma juga punya momen teristimewa yang tidak akan dilupakan ketika melakukan ibadah umrah pada hari raya pertama.

“Ketika itu saya rasa cukup tenang. Dapat melakukan ibadah dengan aman. Paling seronok bila dapat tawaf Kaabah pada raya pertama sebab masa tu rasanya Kaabah tu kita punya seorang. Sebab orang tak ramai sangat macam biasa. Selain melakukan ibadah saya juga sempat menyambut raya di rumah kawan di Mekah. Paling tak boleh dilupakan bila kena naik banyak tangga untuk sampai ke rumahnya,” sambung Wilma yang akui berasa sangat seronok apabila dapat berhari raya di Mekah ketika itu.

Kuatkan Iman & Istiqomah

Bekas peragawati yang pernah membawa watak seksi dan menggoda satu ketika dahulu mengubah cara hidupnya untuk menjadi Muslimah sejati selepas berkahwin dengan arwah suami pertamanya, Mahir Effendi.

“Selepas berkahwin, saya tinggalkan industri hiburan sebab nak fokus dengan kehidupan berkahwin dan mahu tukar cara hidup, mahu lebih fokus pada suami, anak-anak dan keluarga pada masa itu. Bila saya pakai tudung semua terkejut. Mana tidaknya, dari seorang yang seksi dan kemudiannya berubah 360 darjah. Arwah juga tidak memaksa saya memakai tudung sebaliknya mendidik untuk saya berhijab. Lagipun saya memang nak tukar cara hidup dari tersangat seksi dalam filem dan mahu dekat diri dengan Allah.

“Bahagia itu datang bila kita letakkan Allah sebagai Cinta Utama dan Abadi. Insya Allah, Yang Maha Esa akan bagi ketenangan dan rahmat. Saya juga selalu berdoa supaya Allah kekalkan dan kuatkan iman saya untuk terus istiqomah,” luah Wilma Muhammad yang kini bahagia bersama suami kedua yang juga seorang ahli perniagaan dan anak-anak.

Mas Anizan, Wilma & Zarina Kongsi Kemeriahan Aidilfitri

Air Tangan Datin Mas Anizan Penyeri Juadah Sekeluarga

Orangnya cukup jelita dan manis. Walaupun baru pertama kali bersua wajah namun Datin Mas Anizan Mohamed Shahid atau lebih mesra dipanggil Mas Anizan, 46, melayan penulis dengan cukup baik. Karakternya yang lemah lembut dan merendah diri menyerlahkan personalitinya sebagai seorang isteri dan ibu yang penyayang. Berbual mengenai sambutan Syawal kali ini, Mas Anizan pulang beraya di kampung halamannya yang terletak di Perak.

IKLAN

“Setiap kali sambut raya sudah pasti anak-anak paling gembira. Anak pertama Mas Aliza, 24 dan kedua Muhamad Masli Danail, 19, masing-masing dah besar jadi hari raya bagi mereka sederhana. Berbeza dengan anak ketiga kak Mas, Ariana Marrisa, 5, dia paling seronok apatah lagi bila sampai di kampung dan berjumpa dengan sepupu-sepupunya. Dia akan sibuk bemain-main sehinggakan saya, mamanya pun dia lupa. Sambutan raya kak Mas sekeluarga memang meriah sebabnya sanak saudara akan berkumpul bersama-sama. Pada masa inilah kami dapat berbual-bual dan berkongsi cerita tentang kerjaya dan kehidupan mereka. Maklumlah setahun sekali bersua.

“Menu wajib kak Mas di pagi raya semestinyalah nasi minyak. Kak Mas akan masak sendiri untuk keluarga. Kiranya air tangan kak Mas ni memang antara juadah wajib dihidangkan atas meja makan. Kak Mas rasa seronok bila dapat sediakan menu istimewa ini untuk ahli keluarga dan juga saudara mara yang datang berkunjung. Kuih raya kegemaran kak Mas pula sudah tentunya biskut makmur dan ahli keluarga lain pula suka pelbagai kuih raya,” ungkap Mas Anizan.

Bertanya tentang rumah terbuka pula, Mas Anizan akui keluarganya sentiasa terbuka menerima tetamu.

“Rumah kak Mas sentiasa terbuka (sambil ketawa). Memang kalau di kampung, 24 jamlah budak-budak tak putus-putus datang beraya. Selagi pintu tak tertutup kami menerima dengan hati yang terbuka. Bila lagi nak dapat suasana macam ni kan. Setahun cuma sekali saja,” kata Mas Anizan.

Rindu Arwah Tiga Anak Buah

Di sebalik keceriaan Mas Anizan menyambut hari raya, sebenarnya ada juga kisah duka yang tidak dapat dilupakan apabila kehilangan ahli keluarga yang tersayang.

“Kak Mas kehilangan tiga anak saudara serentak pada raya ketiga. Itu satu dugaan berat buat kami sekeluarga. Tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat pada 2017 itu meninggalkan kesan yang amat sedih buat kami. Kerinduan pada arwah Muhd Syafiq Haikal, arwah Muhd Hafiz Iskandar dan arwah Muhd Harris Ikhwan sentiasa tersemat di hati. Malah kami sekeluarga juga sering terkenang saat-saat manis bersama tiga anak-anak ini terutamanya ketika hari raya,” luahnya dalam keadaan sebak.

Buat Come Back

Menyentuh pula tentang kerjaya seninya, Mas Anizan memilih untuk kembali berlakon setelah lama menyepi. Bakal beraksi di set penggambaran selepas cuti Aidilfitri dengan menjayakan tele drama untuk siaran TV3, pastinya kehadiran semula Mas Anizan bakal merancakkan suasana.

“Dengan izin suami dan atas permintaan pihak penerbit, kak Mas bersetuju untuk kembali sebagai pelakon. Tak nafikan, kak Mas juga berasa rindu setelah lama menyepi dari dunia lakonan. Selain itu kehadiran kak Mas kali ini juga bagi memenuhi permintaan peminat yang selalu bertanya bila kak Mas nak buat come back,” kata pelakon yang pernah membintangi filem Antara Gadis, sekaligus melonjakkan namanya ketika itu.

Untuk kembali beraksi di hadapan kamera, Mas Anizan telah membuat beberapa persediaan. Wanita cantik ini juga akui perlu bersedia meskipun terpaksa mengambil masa menyesuaikan diri.

Mas Anizan, Wilma & Zarina Kongsi Kemeriahan Aidilfitri

Zarina Zainuddin- Adakan Rumah Terbuka Untuk Eratkan Kekeluargaan

Setelah sekian lama, kini Zarina Zainuddin teruja bercampur bersyukur apabila diberi peluang untuk membintangi drama bersiri bertajuk, 30 Pesanan Suara , terbitan Suhan Movie. Slot yang ditayangkan pada bulan Ramadan di slot Akasia, TV3 baru sahaja tamat pengambaran.

Ternyata penantian selama ini berakhir kerana dirinya sangat merindui untuk muncul di kata televisyen. Memegang watak antagonis sebagai Puan Intan membuatkan Zarina mampu melepaskan tekanan sedia ada. Membesarkan dua anak autism membuatkan figura ini tidak boleh meninggikan suara di rumah, oleh itu lakonan adalah platform untuknya melepaskan tekanan.

IKLAN

Ditanya tentang adakah dirinya akan memilih watak atau drama terlebih dahulu sebelum meneriwa tawaran lakonan, Zarina mengakui selain memilih watak dirinya juga cenderung untuk menitikberatkan jadual pengambaran agar sesuai dengan keadaan dirinya.

Malahan, dia tidak ketinggalan meminta izin keluarganya terutama suami sebelum menerima satu-satu tawaran lakonan. Baginya, restu suami dan anak-anak adalah elemen terpenting sebelum dia mengambil keputusan untuk menerima tawaran berlakon.

Setelah sekian lama terlibat dalam dunia seni, Zarina tidak nafikan dunia seni melalui fasa yang cukup berbeza dibandingkan di awal kemunculannya dahulu. Jika sebelum ini tanpa telefon bimbit dan internet, para pelakon yang terlibat dalam satu-satu drama atau filem akan menjadi seperti sebuah keluarga yang besar.

Sekarang ini apabila berada di lokasi penggambaran yang sama, masing-masing sibuk dengan hal masing-masing kerana sibuk dengan telefon bimbit sendiri. Hubungan antara pelakon dahulu adalah lebih rapat berbanding sekarang.

Bukan Tugas Yang Mudah

Ternyata membesarkan pasangan kembar Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 23 tahun bukanlah satu tugas yang mudah. Menurutnya, dia sanggup melakukan apa sahaja demi anak-anaknya. Keadaan keduanya yang mengidap autisme membuatkan Zarina benar-benar mengambil berat tentang apa sahaja keperluan mereka.

Walaupun kdang-kadang sikap Zarina yang kerap melebihkan pasangan kembar ini mengecilkan hati dua lagi anaknya iaitu Muhammad Naim Azrai, 16 tahun dan Muhammad Adam Azrai, 13 tahun, tetapi apa pilihan yang ada. Dirinya sama sekali tidak pernah membezakan kasih sayang, namun anaknya yang normal terpaksa beralah dengan dua abang yang memerlukan perhatian lebih.

Baginya sebagai ibu, dirinya sentiasa inginkan yang terbaik buat anak-anak. Mereka adalah darah dagingnya, sudah tentu dia sama sekali tidak akan mengabaikan amanah yang Allah berikan buatnya untuk dipelihara dengan baik.

Jauh di sudut hati, Zarina berharap anak ketiga dan keempatnya memahami situasi yang dialami oleh pasangan kembar. Azal dan Azil kadang kala bersikap di luar sedar hingga mampu mencederakan diri sendiri, oleh sebab segala perhatian terarah kepada mereka.

Kerap kali juga Zarina melalui situasi getir apabila Razil mengamuk secara tiba-tiba seterusnya cuba mencederakan diri sendiri. Kadang-kadang Razil juga turut memukulnya, sebagai ibu yang melahirkan Zarina tidak pernah melenting kerana memahami keadaan yang berlaku bersebab.

“Sejak dahulu lagi, saya tidak kisah dengan pandangan orang luar tentang anak saya. Paling penting anak saya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengganggu orang lain. Saya juga telah berusaha pelbagai cara untuk memulihkan anak saya. Suami juga tidak jemu membantu saya,”ungkapnya lagi.

Berhijrah Demi Anak-anak

Biar pun berat untuk mengambil keputusan untuk berhijrah, tetapi ianya dibuat demi anak-anak. Anak-anak adalah dorongan paling kuat untuk selebriti ini mengenakan hijab.

IKLAN

Zarina mengharapkan penghijrahan ini akan menjadi contoh yang baik buat anak-anaknya yang semakin meningkat dewasa. Malahan walaupun telah hampir tiga tahun tampil dengan imej bertudung, terus terang dirinya masih berusaha untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

“Apa yang telah berlaku pada saya telah Allah aturkan. Saya tidak pernah prejudis tentang orang baik adalah orang yang bertudung dan tak bertudung itu jahat. Paling penting adalah soal hati dan jangan sesekali paksa diri untuk berubah.

“Saya sendiri sudah lama ingin berubah tetapi Allah Maha Mengetahui, akhirnya Dia buka hati saya untuk berubah. Bila bertudung kita perlu jaga pakaian dan amal ibadat kita. Apa guna bertudung tetapi sikap dan perangai masih sama.

“Ramai di luar sana terutamanya artis apabila mereka kembali tak berhijab mendapat kecaman dari masyarakat, sebaiknya anda jangan sombong. Mungkin apa yang berlaku bersebab, barang kali dia belum bersedia dan dia sendiri berperang dengan perasaan. Perkara yang lebih utama, jaga diri kita dan perasaan orang lain,” katanya lagi.

Tambah ibu kepada anak empat ini lagi, selain peminat, anak-anaknya juga kerap kali menjadi pengkritik tetap kepada cara berpakaiannya. Anak-anaknya lebih gemar ibu mereka tampil ringkas dan tidak perlu bermekap tebal. Mereka juga tidak mahu ibu mereka terlalu berhias apabila keluar rumah.

Namun, Zarina sedari awal jelaskan bahawa dia terpaksa bersiap setiap kali keluar rumah kerana dia merupakan seorang selebriti malahan dalam masa yang sama seorang ahli perniagaan. Jadi penampilan perlu dititikberatkan, dari situ anak-anak mula memahami keadaan dirinya.

Mas Anizan, Wilma & Zarina Kongsi Kemeriahan Aidilfitri

Persiapan Raya

Di samping itu, dari mata kasar mungkin ramai yang meramal bahawa Zarina seorang ibu yang garang. Sebenarnya Zarina seorang ibu yang penyayang dan berelmbut dengan anak-anak. Jarang sekali dia berkeras dengan anak-anak. Maklumlah ketika kecil dia pernah diasuh dengan tegas, jadi dia tidak mahu anak-anak melalui perkara yang sama.

Zarina cukup selesa menganggap anak-anak seperti kawan, jadi anak-anaknya tidak kekok berkongsi masalah bersama. Tatkala anak melakukan kesilapan, dia akan menegur dengan baik. Tetapi dirinya lebih banyak merajuk atau mendiamkan diri apabila ada perkara yang mengecilkan hatinya.

“Saya memang akan diam dan merajuk jika anak-anak buat salah. Anak-anak pun sudah faham kalau saya merajuk mesti ada benda yang tidak kena. Saya juga suka menangis, kadang-kadang anak-anak ambil kesempatan atas sikap saya,” ujarnya sambil berseloroh.

Tahun ini Zarina dan keluarga akan beraya di Kelantan iaitu di kampung halaman suaminya. Selepas itu akan pulang ke kampung opahnya di Parit, Perak. Jelas Zarina, dia sekeluarga bersama ibu-ibu saudara merancang untuk menganjurkan rumah terbuka untuk menyatukan ikatan kekeluargaan setelah sekian lama tidak berjumpa.

Telah menjadi kebiasaan selebriti dia mengadakan majlis terbuka di kampung dan kemudian apabila pulang ke Subang Jaya, dia akan mengadakan sekali lagi di sini untuk peminat, rakan artis dan juga pelanggan setia pulut kuningnya.

Lemang pulut hitam dan rendang tok adalah menu santapan wajib dia setiap kali tibanya syawal. Selain itu dia juga gemar memasak sendiri setiap kali hari raya.

*************************

Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh tiga figura hebat Zarina Zainuddin, Wilma Muhammad dan Datin Mas Anizan ini, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Jun, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.

Mas Anizan, Wilma & Zarina Kongsi Kemeriahan Aidilfitri

Penyelaras & Teks : Norhayati Suboh & Nur Syazwani Mehat
Foto: Tm Azman
Solekan: Kelrina (Wilma Muhammad), Bee Ramza (Mas Anizan) & Najeebazmi (Zarina)
Penata Gaya Tudung : Kelrina (Wilma Muhammad, Mas Anizan & Zarina)
Pakaian: Ariani Ready-To-Wear- Floraya Lebaran 2019 (Wilma Muhammad, Mas Anizan & Zarina)
Tudung: Galeri Ariani (Wilma Muhammad, Mas Anizan & Zarina)
Pakaian (Warna Hijau) & Tudung (Bercorak) Zarina : Hazara Boutique & As.Legacy Malaysia

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI