Ini catatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (SERANTAU MUSLIM), Ustaz Hakim Mohd Nor yang mengikuti misi bantuan ke Sempadan Bangladesh-Myanmar. Sayu membaca luahan hati ini di facebook beliau. Ketika ini, mangsa penghapusan etnik Rohingya berhadapan trauma. Selain menyerahkan bantuan makanan, pakaian dan perlindungan, perlunya ada bantuan ‘trauma healing’ menerusi injeksi iman di jiwa mereka.

APABILA MANUSIA TELAH MENGABAIKAN MEREKA, PERCAYALAH ALLAH SAMA SEKALI TIDAK AKAN MENGABAIKAN MEREKA

Hari ini genap seminggu di kem pelarian. Satu tempoh yang cukup mencabar.

Hari ni rasa nak throwback gambar tiga hari lepas. Ini gambar saya dengan saudara Zulhanis dengan anak anak Rohingya betul betul di sempadan Bangladesh Myanmar. Di belakang sungai itu adalah tanah Myanmar. Saya berdiri dalam negara Bangladesh.

Sukar untuk gambarkan perasaan gembira bila lihat anak anak pelarian Rohingya ini gembira. Mereka gembira dapat bertemu kita. Mereka gembira dapat bantuan makanan. Kegembiraan mereka sangat priceless. Inilah azimat yang menjadi kekuatan saya terus bertahan di sini bersama mereka.

Ini kesimpulan yang kami dapat dalam misi kami ke kem pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmrar ini. Ya. Mereka kelaparan. Mereka perlukan makanan. Tetapi makanan akan habis. Kami hadir dan pergi meninggalkan mereka. Tetapi, ketahuilah bahawa Allah sama sekali tidak akan pergi meninggalkan mereka.

Jiwa mereka yang menjadi pelarian ini sangat rapuh. Mereka baru saksikan kemusnahan harta benda di hadapan mata. Mereka juga saksikan ahli keluarga dibunuh dengan kejam. Bahkan, ada diantara mereka yang masih trauma kerana dirogol.

Kesemua ini mendatangkan trauma yang besar dalam diri mereka. Barangkali mungkin ada yang mula rasa putus asa dengan kehidupan. Justeru, mereka perlu diingatkan kembali kepada Allah. Jangan putus asa kepada Allah.

Sebab itu kami percaya sesi “trauma healing” ini amat mustahak untuk diadakan. Alhamdulillah, hari ini saya sempat berbicara mengenai Allah kepada mereka. Mungkin ada yang tidak faham percakapan saya, tetapi saya percaya semua faham apa itu Allah. Bahasa bukan penghalang untuk berdakwah. Alhamdulillah, mereka perlahan lahan ikut bersama saya berzikir pada Allah. Rasa redha dan syukur meresap kembali.

IKLAN

Mangsa Rogol, Pembunuhan Kejam Rohingya Bukan Sekadar Perlukan Makanan, Paling Mustahak Bantu Mereka Bebas Dari Trauma

Sebab itu pada mesyuarat ngo ngo kelolaan SINAR4ROHINGYA pada minggu lepas, kami mencadangkan selain empat item kecemasan iaitu makanan, tempat tinggal, perubatan dan pakaian.. harus ditambah satu lagi item iaitu trauma healing.

Sepanjang 7 hari kami bergelumang dengan mereka di sini , kami amat percaya bahawa trauma healing ini sudah menjadi perkara kecemasan yang utama. Mereka terkadang kelihatan mengabaikan tuntutan solat . Bila iman lemah, bagaimana bantuan Allah mahu sampai?

Bantuan Allah ini besar kuasanya. Justeru. perkara wajib yang perlu diperbaiki ialah solat. Mereka perlu digerakkan untuk kembali bangkit solat jemaah. Mereka perlu diperingatkan kuasa Allah lebih besar dari kezaliman Myanmar.

Sebab itu semasa Serantau Muslim ditemu ramah oleh wartawan Berita Harian melalui Whatsapp tadi, kami sebutkan, hasrat kami ialah agar dapat diadakan satu solat hajat besar besaran oleh semua pelarian ini. Biar ia menjadi pencetus perubahan.

IKLAN

Kami bayangkan kita berkumpul ramai ramai di padang lapang. Jutaan pelarian. Kemudian kita angkat tangan tinggi tinggi kepada Allah. Kita berdoa penuh pengharapan. Biar banjir padang itu dengan linangan air mata jutaan umat. Dan kita merayu dengan sepenuh hati. Biarlah seluruh dunia bersatu mahu menumpaskan kita, kalau Allah tidak izinkan maka ia tidak akan berlaku. Dan kami berharap dari detik itu, ia akan jadi satu percikan momentum untuk mereka mula gerakkan solat jemaah secara konsisten. Dan sesi trauma healing dibuat melalui bacaan zikir serta ayat Quran sebagai pendamai jiwa.

Saya teringat contoh bagaimana kawan kawan Palestin apabila ditimpa ujian diserang oleh Israel, mereka tetap istiqamah solat jemaah dan menghafaz al quran. Saya impikan para pelarian Rohingya ini akan menjadi sebegitu juga Insya Allah. Kalau tiada siapa yang mahu mulakan, biarlah kami yang mulakannya dengan segala daya upaya yang ada.

Kekuatan sebenar adalah kekuatan iman. Apabila iman kuat, maka apa jua masalah kita akan atasi. Saya percaya Allah akan berikan bantuan kepada Rohingya ini. Yang penting, pra syarat bantuan itu mesti dipenuhi.

Dahulu kala, umat islam kecil tapi dapat menewaskan musuh yang lebih besar. Di perang badar, jumlahnya 313 orang sahaja tapi dapat menewaskan musuh yang tiga kali ganda besar. Dirakamkan dalam Al-Quran betapa Allah menghantar malaikat membantu kemenangan orang Islam.

IKLAN

Hari ini, setelah segala daya upaya kita usahakan. Kita lobi diperingkat ASEAN, OIC, PBB, KOMANWEL, KEDUTAAN Myanmar dan banyak lagi, semuanya menemui kebuntuan. Tapi jangan lupa, kita ada satu lagi senjata paling kuat yang tidak dapat ditewaskan oleh sesiapa. Iaitu doa orang mukmin. Apatah lagi doa orang mukmin yang dizalimi seperti pelarian Rohingya ini. Pasti ianya lebih makbul.

Insya Allah, kami berazam untuk memberikan sepenuhnya usaha untuk menggerakan momentum mengajak para pelarian ini kembali berserah diri kepada Allah ini dengan total action. Kami sudah mula menyusun tenaga tempatan untuk menjadi pentazkirah (trauma healing). Kami bahkan pernah menitipkan kepada rakan dari jemaah Tabligh yang ramai di Bangladesh ini agar masuk ke dalam kem pelarian untuk bersama dalam usaha ini. Ruh iman mereka perlu ditiup untuk bangkit. Dan kami amat memerlukan lebih ramai tenaga untuk bergabung dalam usaha ini.

Bantuan makanan dan lain lain tetap diteruskan. Namun trauma healing ini adalah usaha mustahak yang perlu dijalankan serta merta. Ayuh bergabung bersama kami. Ramai individu diluar sana mempunyai bakat dan kemahiran. Ayuh kita bangkitkan kekuatan Rohingya ini agar mereka kembali menjadi bangsa yang dihormati dan mendapat hak kewarganegaraan mereka semula.

Insya Allah.

Video Trauma Healing Buat Mangsa Kekejaman Di Rohingya

Ustaz Hakim Mohd Nor
Setiausaha Serantau Muslim
www.untukmurohingya.com

Sumber/Foto : FB Hakim Mohd Nor – Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI