Lelaki Ini Disangka Gelandangan, Tidur Keseorangan Dalam Dingin Malam Di Luar Bangunan, Tapi Rupanya..

Ramai menyangka dirinya seorang gelandangan. Mungkin kerana dia dilihat sering tidur dalam kesejukan malam, keseorangan di luar bangunan di kawasan perumahan Gasing Indah, Petaling Jaya, Selangor.

Pernah ada yang berani mengejutkannya pada jam 1 pagi semata-mata mahu tahu siapa namanya, kenapa tidak pulang ke rumah dan kalau boleh mahu menghantarnya ke rumah jagaan orang tua-tua.

Bukan Gelandangan, Saya Pesara Tentera

Ternyata manusia sering bersalah sangka kerana bila melihat individu tidur keseorangan disangka gelandangan atau pengemis tanpa menyelidiki siapa sebenarnya mereka! Mungkin niat ingin membantu tetapi ada kalanya cara bertanya itu salah! Inilah antara pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh seorang warga emas, Pakcik Mansor Johari.

Dalam usianya mencapai 68 tahun, dengan kudrat yang masih kuat, pakcik Mansor bukan calang-calang orang.

Dia seorang pengawal keselamatan. Sudah 17 tahun bekerja dan diberikan amanah oleh bosnya menjaga harta syarikat daripada dicerobohi orang lain.

Syarikat tempat saya bekerja ini berkaitan pembersihan. Banyak projek-projeknya sama ada di sini mahu pun negeri lain,” katanya memulakan bicara.

Memandangkan dia bekerja, sebuah bilik disediakan untuknya. Agar dia boleh merehatkan tubuh. Tapi dia mengambil inisiatif membawa sebuah katil lipat “ala tentera” kerana jiwa patriotik yang tidak pernah terpadam.

Jauh Sekali Peminta Sedekah, Kerana Gajinya Lebih Dari Cukup

Kata bekas pesara tentera ini, dia pernah berasa marah. Dia juga agak tersinggung kerana ramai menyangka dia peminta sedekah tatkala melihat dia tidur dalam kedinginan malam sedangkan hakikatnya, wang gaji diperolehnya mencecah ribuan ringgit, cukup banyak untuk kegunaannya seorang.

Dan jangan sesekali memandang serong dengan situasinya.  Kerana dia punya enam orang anak yang mana kesemuanya adalah anggota tentera seperti dirinya.

IKLAN

Bukan mereka tidak pernah mengajaknya tinggal bersama. Faktor usia membuatkan pakcik Mansor lebih senang berdikari dan berusaha sendiri. Lagipun dia bukan punya sebarang penyakit yang kronik.

Jangan tak menyangka, kala hari cutinya, dia akan menaiki tren menuju ke KL Sentral, makan dan minum apa dihajatinya dan bila tiba masanya, dia kembali pulang ke biliknya semula.

Di Sini Juga Bukan Pejabat Haiwan

Sebelum mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan, dia ada rumah di Ampang.

Saya pernah tinggal bersama isteri dahulu di situ. Bila isteri meninggal akibat sakit saya datang sini. Alhamdulillah mendapat pekerjaan di sini. Semakin lama bekerja, saya menjadi selesa untuk berbaring di waktu malam di sini.

Selain diberi amanah menjaga bangunan syarikat. Bila pagi, saya akan balik ke rumah, mandi, makan dan kemudian kembali ke tempat kerja semula di mana ketika itu, saya boleh melihat anak-anak kucing yang saya pelihara bermain dan berlari.

IKLAN

Memelihara binatang kesayangan Nabi Muhammad ini satu kepuasan bagi saya. Kalau Nabi pun sayang, kenapa kita sebagai umatnya mahu membuang sesuka hati. Ada kes di mana orang mahu membuang tujuh ekor kucingnya di sini tetapi saya suruh mereka ambil semula.

“Di sini bukan pejabat haiwan dan saya tidak menerima begitu banyak kucing.

Tapi ada juga yang teruk, pernah kucing saya dirembat dengan kayu dan sebagainya. Macam-macam perangai orang ini. Pernah juga kucing saya mati dilanggar dan sebagainya tetapi saya paling tak suka kalau orang membuang kucing sesuka hati.

Lima ekor kucing ini, ada antaranya kucing mendatang. Saya belanja dekat RM300 setiap bulan untuk makanan, ubatan dan sebagainya. Makanan saya beri yang berkhasiat, kalau sakit saya akan bawa ke hospital haiwan.

Biasa bagi kucing-kucing kecil ini, bila tiba perlu dibawa mandi, saya akan bawa ke klinik haiwan. Kosnya dalam RM60 seekor iaitu kos mandi, rawatan kutu, syampu dan sebagainya.

IKLAN

Kalau kucing dewasa pula harganya RM80 untuk seekor. Pernah kucing saya dipukul hingga putus kakinya, saya bawa ke klinik dan bayarannya mencecah RM1000 lebih. Bila sudah baik, kucing itu keluar rumah tetapi akhirnya mati dilanggar kereta.”

Tak Takut Malam Atau Orang, Sudah Biasa Ikut Ops Gubir Sempadan Baling

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Pakcik Mansor bukan saja baik hati kerana memelihara binatang kesayangan Rasulullah tetapi di usia mudanya, dia ada pengalaman menarik ketika di dalam tentera.

Kalau orang takut kepada kegelapan malam, saya sudah biasa melaluinya ketika mengikuti operasi tentera dalam Ops Gubir di sempadan Baling. Pernah melihat pelbagai kejadian dan sebab itulah saya tidak pernah takut dengan orang.

Cuma silapnya mereka suka memandang rendah kepada orang lain tanpa menyelidiki latar belakang individu tersebut.”

Lari dari ceritanya yang pernah menjadi anggota tentera, senyuman sentiasa terukir di bibirnya setiap kali mengusap kucing-kucing yang manja berlarian di kaki tuanya itu. Seakan menjadi terapi buat dirinya kala anak-anak jauh dari mata namun dekat di hatinya.

Kalau saya ada di sini, saya akan biarkan kucing-kucing ini bebas berlarian, bergurau dan sebagainya. Bila tiba bagi makan, saya akan bagi dua tiga kali sehari. Selepas itu saya akan kurung untuk elak terjadi apa-apa,” katanya memaklumkan dia sentiasa membersihkan laluan pejalan kaki di tempatnya bekerja demi bauan yang tidak enak dari orang ramai.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI