Mak ayah kena tahu layanan pada anak-anak kena ikut jantina, tak boleh sama tapi jangan sampai terlampau berat sebelah.

Untuk besarkan anak lelaki mak ayah kena tempuh pelbagai cabaran sebab anak lelaki lebih bertenaga dan lasak jadi anda kena ada kekuatan mental yang kuat. Berbanding jaga anak perempuan yang anda boleh kontrol pergerakannya yang kadang anak pandai main sendiri mainannya tanpa buat hal.

Jadi mak ayah boleh gali 5 cara ‘halus’ nak didik anak lelaki agar tak terbabas salah membesarkan anak-anak menerusi pengalaman besarkan anak macam saya sendiri.

OK, selepas tiga hari bercuti panjang bersama keluarga baru-baru ini di Port Dickson dan Genting Highlands sememangnya saya berasa cukup seronok. Mana tidaknya sepanjang percutian tersebut tekanan kerja hilang sekejap sebabnya tumpuan benar-benar diberi kepada keluarga. Anak-anak pun tampak cukup gembira apatah lagi bila semua kehendak mereka dipenuhi.

Pada masa itulah baru saya tersedar yang anak-anak saya tiga orang, sudah besar dan bijak. Anak pertama dan kedua merupakan pasangan kembar perempuan dan anak ketiga saya merupakan seorang lelaki. Aina, Auni dan Bani mereka ni memang peramah dan cukup keletah.

Anak kembar perempuan saya sejak dilahirkan mereka tidak banyak ragam. Mujurlah mereka begitu, maklumlah saya dan suami yang menjaga mereka berdua tanpa bantuan pembantu. Anak lelaki saya pula cukup manja. Sejak kecil dia diberikan tumpuan sebab dia kami panggil ‘handsome boy’.

IKLAN

Kali ini saya nak berkongsi kisah mengenai anak lelaki saya. Oklah sebelum itu pulang saja dari bercuti saya diserang demam panas. Lepas saya beransur pulih anak lelaki saya pula berjangkit demam. Dia ni jenis yang manja jadi bila demam nampak sangat dia punya tak larat tu. Kadang-kadang saya risau jika dia terlalu manja, takut tak mampu nak berdikari bila dah besar nanti.

Walaupun manja tapi Bani ni seorang yang cukup aktif. Minat sukan lasak dan bermacam sukan termasuklah badminton macam papa dia. Cuma yang menjadi kerisauan saya bila dia terlalu lasak, setiap hari pasti akan jatuh atau terluka. Masa bermain dengan rakan-rakan, memang dia jenis aktif dan akan berlari-lari.

Beberapa hari lalu kami terpaksa bawa dia ke klinik kerana demamnya yang panas. Pada keesokan harinya dia sihat tapi tak ke sekolah sebab saya nampak dia benar-benar lesu. Hari seterusnya saya dan suami paksa juga dia ke sekola kerana sedang berlangsung peperiksaan akhir tahun. Takut dia tercicir pula dalam pelajaran kerana peperiksaan tersebut akan menentukan kelas Tahun 2 (2018).

Balik dari sekolah agama saya lihat seluarnya penuh dengan darah. Berderau darah saya, bila ditanya kenapa, dia cuma jawab, “Abang jalan tak pandang bawah, sekali termasuk dalam longkang, berdarah lepas tu ada seorang kakak bawa pergi bilik guru. Ustazah bersihkan luka dan balut luka.”

IKLAN

Aduh, dalam hati saya ni tak boleh jadi ni, saya dan suami ambil keputan bawa dia ke klinik yang berhampiran. Selepas doktor buat pemeriksaan, doktor cakap lukanya tak dalam tapi dua hari lagi kalau kaki masih bengkak doktor sarankan buat X-Ray.

Tapi masa doktor sedang cucikan luka, Bani cuma cakap ‘aduh’ saja. Doktor pun senyum dan cakap “Abang ni baguslah, tak nangis pun” dan nak tahu dia jawab apa? Dengan selamba Bani cakap “Saya kan anak lelaki jadi kenalah tahan sakit”. Dalam hati saya berkata, “Adoi anakku, pandai benarlah kau menjawab”. Lepas dua hari luka dia sembuh dan saya bersyukur kerana tidak perlu ke klinik lagi untuk buat X-Ray.

Cuma disini saya ingin berkongsi dengan pembaca betapa saya risau dengan kenakalan anak lelaki saya. Kadang-kadang tu masa bekerja sering terfikir, ok ke tak anak aku ya? Bagi saya yang baru ada seorang anak lelaki, saya berasa terlebih risau berbanding dengan anak kembar perempuan saya. Maklumlah budak lelaki ni lasak dan sebagai ibu saya berasa kerisauan yang cukup berlebihan pada anak lelaki ini.

Oklah disini saya nak berkongsi dengan anda, antara tip yang insyaAllah menjadi panduan saya sebagai ibu untuk membesarkan anak lelaki. Saya juga sentiasa berdoa agar anak-anak saya menjadi seorang yang soleh dan solehah apabila sudah besar kelak. Semoga saya dan anda mampu mendidik anak lelaki menjadi lelaki sejati yang bertanggungjawab dan takut dengan balasan daripada Allah SWT jika mereka tidak amanah.

IKLAN

1. Hormat & Jangan Kasari Perempuan

Bila ada anak lelaki, selalu ingatkan dia tentang perbezaan dirinya dengan ibu dan kakak (jika ada) atau adik perempuan. Ajar anak untuk menghormati dan menghargai golongan wanita. Katakan yang wanita adalah golongan yang lembut dan perlu disayangi bukan dikasari. Elakkan anak lelaki daripada bermain kasar seperti berlawan dan sebagainya dengan anak perempuan. Sebagai anak lelaki mereka bertanggungjawab untuk melindungi ibu, kakak dan adik perempuan jika ketiadaan ayah. Sekurang-kurangnya dengan cara ini dia tahu tentang tanggungjawabnya sebagai anak lelaki.

2. Bantu Kerja Rumah

Biasakan anak lelaki turut membantu membuat kerja rumah. Bukan anak perempuan sahaja yang perlu ditekankan tentang tanggungjawab membantu kerja rumah. Ajar mereka supaya membantu membasuh pinggan, menyidai pakaian, menyapu lantai, menjaga adik dan sebagainya lagi tugas rumah tangga. Cuba lari daripada tipikal orang lelaki tak perlu buat kerja rumah. Mungkin di zaman dahulu orang lelaki sudah dimanjakan tak perlu membantu ibu membuat kerja rumah sehinggakan pinggan makan pun ibu yang angkat dan basuhkan.

3. Rajin & Suka Membantu

Didiklah anak lelaki anda untuk menjadi lelaki yang ringan tulang. Didikan perlu dimulakan sejak mereka kecil lagi di rumah. Sentiasa ingatkan mereka untuk rajin membantu ibu dan ayah membuat sebarang kerja di rumah tanpa disuruh.

4. Bakal Ketua

Anak lelaki adalah bakal ketua. Jangan hanya membayangkan ketua sebuah organisasi atau negara tetapi anak lelaki adalah bakal ketua sebuah rumah tangga. Ketua yang bakal memimpin isteri dan anak-anak di masa hadapan.Sentiasa ingatkan mereka tentang tanggungjawab seorang ketua!

5. Jangan Mewahkan Anak

Walaupun anda kaya dan berkemampuan menyediakan segala kemewahan untuk anak, simpanlah ia sedikit untuk perkara lain. Ajarkan mereka bagaimana anda mereka perlu juga berusaha dengan usaha sendiri untuk mencipta kejayaan di masa hadapan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI