Tuntutan membesarkan anak sendirian memaksa ibu menjadi kreatif, baik dari segi kekuatan emosi mahupun pencarian nafkah keluarga. Sikap lemah apatah lagi tak redha dengan ujian tuhan perlu dibuang jauh-jauh. Redha menjadikan ibu lebih kuat dan tabah.

Ini pengalaman Puan Zureiny Zulkafly yang bekerja sebagai pengasuh dalam masa sama membesarkan dua orang anaknya sendirian selepas ketiadaan suami. Salah satu tip membesarkan anak sendirian ini adalah tidak terlalu ego dengan anak. Selanjutnya boleh fahamkan prinsipnya dalam perkongsian beliau ini.

Ketika Terpaksa Membesarkan Anak Sendirian, Ini Prinsip Yang Ibu Perlu Pegang

Ibu Ini Macam Mana Orangnya?

Selepas pemergian hubby, anak-anak bergantung harap dan kasih sayang sepenuhnya pada saya. Ainalah yang paling ketara sampaikan tidak mahu berenggang dengan saya. Memang saya lemah jiwa bila tengok anak matanya yang seakan mengharap saya menghantarnya ke sekolah setiap hari. Memang hati saya diruntun pilu bila tidur setiap malam dia akan memeluk saya seeratnya. Seakan tidak mahu melepaskan.

Saya terasa lelah dengan amanah yang berat ini. Rasa senget bahu saya ini. Kadang-kadang saya jadi terlalu penat. Letih dan hilang segala kudrat. Saya bukan mahu jadi hebat. Cukuplah sekadar menunaikan tanggungjawab menurut apa yang mampu saya buat.

Saya akan menangis sendirian merindui hubby. Kalaulah dia masih ada, rasanya saya sudah menangis di ribaannya. Paling tidak pun saya akan mengomel bercerita tak tentu hujung pangkal kepala ekor. Hubby akan mendengar walaupun saya rasa dia seperti tidak mengendahkan. Rupa-rupanya dia faham bila dia jawab “Sabarlah.”

Memang itulah yang selalu dia pesan pada saya. Mendengar perkataan sabar mampu menghilangkan segala kedukaan hati. Meredakan marah yang tersembunyi. Melenyapkan segala dendam yang berapi. Meleraikan segala kekusutan jiwa. Sekarang ini saya terlalu rindu mendengar perkataan sabar dari mulutnya. Betapa saya mengharapkan akan mendengar kata-kata itu di telinga saya.

Begitu juga soal saya dan anak-anak. Bukan mudah mereka hidup tanpa seorang ayah. Saya cuba memahami perasaan mereka. Cuba mengerti apa yang mereka ingini. Bila anak-anak menjawab mereka ‘Ok’ saya terasa dibohongi. Benarkah mereka tidak apa-apa? Atau sekadar menjaga hati saya.

Saya masih merasa kepiluan bila hubby pergi. Tak kan semudah itu anak-anak sembuh dari kehilangan ini. Saya usaha sebaiknya untuk menjaga kedua mereka seperti yang hubby amanahkan. Saya lindung keperitan saya dengan sikap saya yang tegas. Saya tutup kelemahan saya dengan sikap saya yang sangat melindungi. Akhirnya, saya buntu dengan sikap saya sendiri. Saya panggil anak-anak dan secara jujur saya bertanya kepada keduanya.

IKLAN

Adik, kalau ada yang tanya adik, ibu ni orang yang macam mana…adik jawab apa?”

Ibu garang!” Terpacul kata-kata itu dari bibir Aina yang mungil. Spontan jawapannya. Saya pun terkejut.

Ibu garang sangat ke dik?” Aina tersenyum simpul. Mengulum senyumnya. Tak tahulah kalau dia sengaja menyakat saya. Pada saya, itu jawapan yang jujur dari hatinya.

Ayah garang tak dik?” Saya mengumpan Aina.

Tak. Ayah tak garang. Ayah baik. Ayah selalu bawak adik pergi taman.” Haih…celoteh sungguh budak kecil ini.

Tak baik tau adik jawab macam tu. Ibu garang sebab ibu sayang kita.” Tiba-tiba Afrina menyampuk. Saya ketawa tengok muka Afrina yang berkerut memandang adiknya.

IKLAN

Kalau orang tanya, Fina jawab apa?”

Ibu ni pendidik.” Lagilah saya terkejut dengan jawapan anak sulung saya ini.

Maksud Fina?”

Ibu kan didik kakak dengan adik. Banyak yang ibu ajar,” jawab dia ringkas.

Ye ke?” Afrina mengangguk.

Ketika Terpaksa Membesarkan Anak Sendirian, Ini Prinsip Yang Ibu Perlu Pegang

IKLAN

Fahamkan Prinsip Ini

Dari situ, barulah saya faham pandangan kedua anak saya adalah berbeza terhadap saya. Mungkin kerana faktor usia ataupun faktor kematangan. Afrina yang sudah berusia 13 tahun merasakan saya telah mendidiknya dengan baik. Mengajarnya tentang betul salah, buruk dan baik. Mengajarnya untuk hidup berdikari tanpa ayah di sisi.

Berbanding Aina yang baru 5 tahun, apa yang dia harapkan adalah tumpuan dan kasih sayang. Itulah sebabnya mengapa dia kata saya garang. Dia rasa saya tak perlu marah atau tegas dengan dia sebab dia cuma inginkan perhatian saya sahaja. Dia selalu fikir dia tak buat salah apa-apa.

Cuma yang saya tahu, segarang-garang saya macam singa (ni Aina yang cakap) saya tidak merotan anak. Saya tidak menghukum anak tanpa sebab. Saya hanya tegas terhadap sesuatu disiplin. Kalaulah saya ni betul-betul garang, rasanya anak-anak asuhan pun tak kan nak dengan saya. Tak mungkin saya bertahan hampir 10 tahun sebagai pengasuh anak-anak.

Okey…saya pun belajar perkara baru ketika itu. Sebagai ibu atau bapa, jangan terlalu taksub dengan status kita sehinggakan kita ego dengan anak-anak. Tidak pula terlalu beralah sehinggakan anak hilang hormat dan pijak kepala. Apa yang Afrina dan Aina cakap telah menjelaskan siapa saya sebenarnya. Pandangan mereka menjadi panduan untuk saya. Juga menjadi kekuatan untuk saya meneruskan kehidupan ini bersama mereka.

Terima kasih abang kerana abang telah mendoakan saya sebelum ini. “Didik anak-anak abang dengan baik. Abang nak anak-anak pandai macam Yang. Sekolah elok-elok. Ajar agama. Jangan biar anak-anak jadi macam abang.”

Mulanya saya memang tidak faham maksud hubby. Dia selalu ulang kata-kata ni sejak dari Afrina kecil lagi. Sehinggalah kami dikurniakan Aina pun, dia cakap perkara yang sama. Rupa-rupanya hubby pesan didik anak-anaknya menjadi orang yang berilmu kerana orang yang ada ilmu akan tahu mana letak dirinya. Walaupun hubby tiada segulung ijazah tetapi kebaikan akhlak hubby banyak diwarisi oleh anak-anak. Dan sikap saya yang tegas sebenarnya yang akan membantu segala didikan hubby kekal dalam diri anak-anaknya. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan pahala berpanjangan untuk hubby kerana kebaikannya terhadap kami.

Saat ini cuba tanya pada diri sendiri. Siapa kita pada pandangan anak-anak? Hanya mereka yang lebih mengetahui.

Sumber/Foto: zureinyzulkafly.blogspot.my via Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI