Cuba periksa barang dekat rumah mak-mak. Ada tak barang rumah yang masih elok, tapi tak digunakan lebih setahun. Gerenti ada saja kan?
Janganlah rasa sayang nak jual semula ya. Kalau simpan pun tentu sampai tahun depan masih juga sama kedudukannya di tempat yang sama.
Saranan wanita ini, Faridah Yusof berguna untuk dicuba oleh mak-mak yang ada banyak barang rumah tapi masih tersimpan elok dalam almari tu. Dan ada sebab kenapa dicadangkan agar dijual saja, bukan disedekahkan kepada orang lain.
Barang Rumah Masih Elok, Boleh Dimanfaatkan, Lebih Baik Jual
Andai ada barang-barang di rumah yang masih elok dan boleh dimanfaatkan tetapi tidak digunakan setelah lebih dari satu tahun, lebih baik dijual.
Masuk sahaja mana-mana grup barangan terpakai atau ada dipanggil ‘preloved’.
Cuba iklankan. Ada juga yang iklan di ruang media sosial sendiri.
Kenapa jual? Kenapa tidak disedekahkan?
Apabila dijual, kita akan dapat sedikit tunai. Dengan tunai, boleh bayar hutang, bayar zakat yang kita pernah terlupa dulu-dulu.
Satu perkara lagi, orang susah atau miskin akan merasa lebih gembira dapat beli barang terpakai yang masih elok berbanding menerima barang sedekah.
Baca sini : Mak-mak Sayang Nak Buang, Dalam Rumah Mesti Jumpa Barang-barang Ni
Maruah Tidak Tercalar
Terutama mereka yang dulunya berstatus M40, dengan kos perbelanjaan yang meningkat, status mereka menjadi B40.
Mereka akan lebih yakin diri dapat membeli untuk keluarga. Maruah mereka tidak tercalar seolah-olah mereka ini tidak berusaha untuk kehidupan sekiranya asyik menerima sedekah dan pemberian barangan dari orang.
Kecuali mereka yang sudah tidak berdaya untuk kerja, sakit terlantar, biasanya mereka redha menerima pemberian, hadiah, infaq dari orang lain.
Ada sahabat yang berjaya membayar hutang pelajaran dengan menjual barangan peribadi /preloved item.
Daripada barangan itu rosak dan lusuh tidak dimanfaatkan, alangkah baik bila dapat memberi manfaat kepada orang lain.
Mingguan Wanita : Bagus saranan ini. Lebih baik dijual daripada dibiarkan berhabuk. Lagipun, bila sampai masa perlu untuk mak-mak lakukan ‘declutter’ kediaman rumah masing-masing.
Sumber/Foto : Faridah Yusof / Jean van der Meulen via Pexels
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ada 10 Jawapan Kenapa Doktor Selalu Bising Kalau Jarak Kelahiran Anak Dekat, Laki Bini Patut Renungkan
Seronok tengok ibu-ibu muda yang semangat beranak kerap dalam jarak kelahiran anak dekat, malah lagi bahagia menyaksikan laki bini sama-sama tolong uruskan anak sebab kebanyakan zaman sekarang masing-masing sibuk mencari rezeki.
Kata orang anak meriah, rezeki pun bakal meriah. Bukan hari ini, mungkin hari tua. Tetapi bagaimana pula dengan kesan pada tubuh badan seoang isteri dan didikan pada anak-anak? Agak-agak mampu ke uruskan anak dengan penuh kasih sayang sampai anak berjaya dunia akhirat?
Sebelum pergi lebih jauh, mohon renungkan perkongsian Doktor Erna Nadia ini…
Saya ditugaskan untuk menjaga MCH ( maternal & child health) di klinik baru ini. Risau juga sebab agak berisiko tapi saya selalu fikir kalau tidak belajar sekarang, bila lagi?
Kebetulan seorang senior doktor di sini adalah bekas pelajar masters dalam bidang kesihatan keluarga.Hari pertama lagi dia dah tahu yang saya berminat untuk sambung belajar dalam bidang yang sama.
Nasihat dia : Erna, awak perlu banyak membaca setiap hari. Bukan baca CPG sahaja tapi kena buka textbooks dan baca jurnal. Dan awak praktikkan dalam kerja seharian. Insha Allah ok punya.
Telan liur kejap.
Punyalah susah nak jadi pakar ni kan?
Tapi kenapa ramai orang boleh senang2 percaya kepada penjual atau penyampai petua merapu yang langsung tak ada ilmu asas pun tentang kesihatan?
Pelik binti benar bin ajaib.
Ok, kembali kepada topik asal.
Kawasan tempat saya kerja ini adalah kawasan pedalaman. Orang utara kata hulu banat. Orang kl kata hulu gilerrr.
Jadi, ibu ibu di sini rata ratanya ada ramai anak.
Umur 25 pun dah 5-6 orang anak.
Ramai dan meriah.
Tapi tak terurus. Baik mak atau anak.
Ya, memang kita digalakkan untuk memiliki ramai cahaya mata tapi adakah kuantiti lebih penting dari kualiti?
Kenapa doktor selalu bising bising kalau jarak kelahiran dekat?
Risiko untuk mendapat bayi kurang berat badan dan zat, risiko kelahiran pramatang, risiko anemia (kurang darah) dan masalah kongenital adalah tinggi kepada ibu yang sudah mengandung lagi dalam masa 6 bulan.
Faktor risiko jika jarak kehamilan rapat:
1. Anemia
Wanita akan kehilangan darah dalam 200-400 ml darah setiap kali melahirkan anak ( jika beranak normal). Kehilangan darah yang banyak ini perlu di ganti semula. Darah merah memerlukan masa 90-120 hari untuk terbentuk semula. Kelahiran yang rapat akan membuatkan darah merah belum sempat terhasil dan risiko semakin tinggi kerana ibu perlukan darah yang cukup semasa mengandung.
Jadi, bayangkan.
Sudahlah yang lama belum sembuh, kita tambah lagi beban pada hati kita untuk kerja keras hasilkan darah. Bila kurang darah, kena ambil darah banyak kali dan suruh makan ubat tambah darah banyak, kita bebel kata doktor kejam.
2. Tombong atau rahim jatuh
Ingat lagi kenapa berlakunya tombong?
Salah satu faktor terbesarnya adalah kelahiran yang ramai. Ingat, rahim kita adalah otot yang fleksibel. Semakin kerap kita beranak, semakin tinggi risiko untuk mendapat tombong.
Semasa melahirkan anak, banyak otot yang luka dan trauma. Setiap yang luka pasti memerlukan masa untuk pulih.
Kesian badan kita. Bagilah dia rehat sama sekejap.
3. Rahim pecah
Hal ini banyak berlaku pada ibu yang melahirkan anak secara bedah. Rahim yang dipotong memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih. Nak nak pula kalau si ibu ada masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, kencing manis yada yada yada.
Rahim yang belum sempat pulih kemudian di tambah dengan kehamilan baru, berisiko untuk pecah ( jarang berlaku tapi boleh).
4. Kelahiran pramatang
Rahim masih lemah dan kita tambah beban lagi pada dia. Akibatnya rahim kekal lemah sepanjang kehamilan baru.
5. Bayi kurang berat badan
Ini adalah kerana ibu senang mendapat anemia. Kekurangan nutrisi menyebabkan bayi kurang mendapat zat semasa di dalam rahim. Kesian kan?
6. Depressi
Ada sesetengah kes, si ayah yang asyik nak anak. Nak buat kelab bola sepak katanya. Nak ada perempuan katanya ( lepas 10 anak semua lelaki).
Ya lelaki memang senang. Akibat mereka, yang menanggung adalah isteri. Padahal isteri tak rela mengandung lagi.
Jangan jadi lelaki dayus.
Fikir sama keadaan fizikal dan mental isteri.
Bukan senang nak jaga bayi kecil. Ditambah pula luka dalaman yang masih belum sembuh. Takut nanti isteri meroyan sebab terlampau tekanan. Nak ditolak takut dikata isteri nusyuz.
Bincang sama sama.
Nak berapa anak.
Bagaimana nak jaga.
7. Autism
Bayi yang dilahirkan oleh ibu dengan jarak kehamilan kurang dari setahun setengah adalah sangat berisiko menjadi autism. Perkembangan di dalam rahim menjadi terbantut jika nutrisi tak mencukupi.
8. Anak terabai
Rata rata yang datang klinik dengan anak masih setahun dan kandungan dah menjejak dua tiga bulan biasanya akan mengabaikan sahaja anak mereka. Anak yang berumur 0-3 tahun memerlukan perhatian yang lebih dari ibu bapa mereka kerana mereka sedang membesar.
Mereka tak pandai nak melakukakan apa apa lagi.
Biasanya bila mengandung, wanita akan jadi sedikit beremosi akibat daripada hormon dan penat atau morning sickness. Bila anak perlukan anda, anda marah anak kata anak anda degil padahal mereka cuma kanak kanak yang tak faham apa apa.
Kesian mereka.
9. Masalah tulang rapuh
Apabila mengandung, wanita memerlukan kalsium yang cukup untuk dirinya dan anak yang dikandung. Bayangkan kalau tengah mengandung dan anda masih menyusu anak anda lagi?
Hormon estrogen amat penting untuk penyerapan kalsium. Gangguan pada hormon boleh menganggu struktur tulang.
10. Rumah tangga terabai
Apabila anak masih kecil dan berderet dan anda mengandung lagi, kesihatan anda akan sedikit terjejas. Bukan kesihatan fizikal sahaja tetapi mental juga.
Nak uruskan rumah, nak uruskan suami dan anak anak dan nak uruskan diri sendiri dan kandungan. Akhirnya semua urusan jadi caca merba dan diri sendiri tidak selesa.
Jadi, adakah kita masih lebih mementingkan kuantiti berbanding kualiti?
Ya, saya faham ramai yang kata Islam galakkan ramai anak tapi kita kena ambil kisah untuk semuanya. Dari aspek kesihatan dan ekonomi serta perkembangan anak anak.
Kita tak boleh pentingkan diri sendiri.
Jika isteri tak sihat, biar dia betul sembuh dahulu.
Jika anak anak terabai, pulihkan dahulu kucar kacir keluarga.
Jika ekonomi tak membantu, fikirkan dahulu cara untuk stabilkan kehidupan anda.
Ada sebab kenapa doktor suruh jarakkan kehamilan.
Seeloknya jarakkan kehamilan 2-5 tahun.
Ada banyak kaedah untuk merancang keluarga.
Katanya ada viral mengatakan yang pil atau suntikan perancang adalah merbahaya?
Jawapan saya tak betul.
Biasalah netizen ni, gemar sangat menakut nakutkan orang dengan sesuatu yang tak pasti. Macam isu vaksin.
Bincang seeloknya dengan pasangan anda.
Fikir akan faktor risiko masa hadapan.
Rancang keluarga bagaimana yang ingin anda bentuk bersama.
Untuk isteri, jika tak selesa atau rasa penat atau ada penyakit, tolong jangan takut dan segan untuk bagitahu suami. Suami anda bukan jembalang yang makan orang.
Cakap elok elok, terangkan lembut lembut.
Insha allah mereka boleh faham.
“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dan untuk suami, fahami dan sayangilah isteri anda. Kita kahwin bukan sebab nafsu, tapi kita kahwin kerana tanggungjawab.
Jika anda sayang mereka, dengarkan mereka.
Perempuan ini biasanya sayang suami lebih dari diri dia sendiri.
Saling menjaga, insha Allah bahagia?
“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman). “
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Nota kaki: Biar kuantiti kecil tapi kualiti besar dari kuantiti banyak tapi semua terabai dan terbiar.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ada Yang Bersalin Caesar, Tapi Anak Belum Cukup 2 Tahun
Dilema isteri bersalin caesar, nak merancang pun kadang suami tak faham. Yang jadi mangsa, isteri sampai masuk dunia murung sebab emosinya penat.
Ya, ini realiti yang berlaku kepada sesetengah golongan wanita selepas berumah tangga. Tak salah nak tambah zuriat tetapi kena tengok keadaan isteri juga. Dapat suami yang membantu alhamdulillah, tetapi kalau sebaliknya?
Tolonglah jangan aniaya orang perempuan, ‘berkomunikasilah’ dan kurangkan tekanan dengan bercerita pada suami. Tak nak si isteri jadi mangsa seperti kisah Puan Intan Dzulkefli ini. Nanti badan perempuan juga yang tanggung!
Nasib Wanita Bersalin Kerap
Setiap kali ke klinik, pasti ada peristiwa yang menjentik emosi. Waktu check-up Insyirah haritu, buka je pintu bilik konsultansi terus dengar suara nurse,
“Puan lain kali ajak suami masuk sekali sini. Saya boleh explain sampai suami puan faham. Lepas ni pastikan ambil perancang puan, ni hb puan tak cantik, bp tak cantik, anak kecil-kecil lagi nak kena jaga tapi ibunya sendiri pun tak sihat asyik nak pengsan macam mana ni…” nasihat nurse dengan suara lembut.
Saya terpandang si ibu yang sekadar mendiamkan diri, mukanya pucat seperti tak bermaya, dipangkunya seorang bayi yang merengek kecil dalam umur 5-6 bulan dan disisinya ada seorang lagi anak, sedang makan junk food super ring.
“Puan lepas ni wajib pakai perancang puan, puan ni memang tak boleh dah nak rancang sendiri, asyik terbabas je. Kesihatan puan tak baik, takut effect yang dalam kandungan tu..” nasihat nurse lagi, si ibu tadi sudah tertunduk sambil menyeka air matanya.
Difahamkan si ibu ada anemia, hb selalu bawah 9, selalu nak pitam. Selepas berpantang anak pertama terus lekat, yang kedua juga begitu, kini anak ketiga baru berusia 6 bulan sudah hamil lagi. Memang tidak mengambil apa-apa perancang kerana suami tak izinkan.
Akhirnya Isteri Tersepit
Sebenarnya, di luar sana ramai isteri dalam keadaan tersepit seperti ini. Malah, ada yang bersalin czer, tapi anak belum cukup 2 tahun, dalam keadaan belum pulih emosi & fizikal dah mengandung sekali lagi.
Punca?
Tak ambil perancang kerana suami nak plan sendiri. Tetapi akhirnya tiada kerjasama konsisten dari pihak suami. Rancangan sendiri akhirnya memakan diri.
Yang menanggungnya si isteri jugalah. Dari morning sickness, sakit bersalin, kena jahit, kena seluk. Kemudian berminggu tak cukup tidur pula kerana menjaga anak soleh yang baru lahir serta anak yang lain meragam hingga subuh ketika dalam pantang.
Tak dinafikan inilah antara punca ramai isteri trauma, fobia, malah sampai kemurungan selepas bersalin (PPD).
Kehamilan, bersalin, berpantang & menyusukan anak bukan hal kecil. Sembelit pun sakit inikan pula nak melahirkan seorang bayi.
Iya, memang tanggungjawab isteri untuk melunaskan kehendak fitrah suami. Namun, merancang keluarga adalah tanggungjawab bersama, kedua pihak suami & isteri. Terutamanya jika kesihatan isteri sudah terjejas kesan dari melahirkan anak sebelum itu, memang kena terlebih precaution. Islam pun tak larang family planning jika kesihatan si ibu tidak mengizinkan.
Berbincanglah & decide bersama-sama.
Kalau suami isteri telah sepakat tolak cara yang KKIA suggest tak kira atas apa alasan & nak guna cara sendiri, suami kenalah bagi extra kerjasama sebab precaution lebih ke atas dia sebab si isteri tak ambil & pakai apa-apa protection.
Mungkin si suami boleh ikhtiar menggunakan kaedah kondom atau kaedah azal.
Rancang Kehamilan Dulu
Yang si isteri, kalau dah sedar suami jenis lepas tangan, semua biar tengkuk isteri menanggung, silalah fikirkan solusi terbaik untuk kesihatan fizikal & mental kalian. Berbincanglah dengan doktor & nurse. Jangan redha sahaja kemudian stress sendiri hingga menjejaskan kehidupan diri & keluarga.
Anak-anak perlukan ibu yang sihat & happy untuk mereka membesar dengan baik. Baik yang dalam perut mahupun yang di luar perut. So, plan your life wisely.
Anak-anak memang rezeki, tetapi mereka juga amanah. Jangan lupa juga, kesihatan diri sendiri juga adalah amanah.
Anak-anak Kena Belajar Dulu
Lastly, mohon kepada semua lelaki yang nak berkahwin, silalah belajar dulu bagi khatam ilmu berkaitan wanita termasuklah; haid, PMS, mengandung, bersalin, menyusu anak, berpantang serta wean-off.
Semua perkara ini walau bukan suami yang mengalaminya tetapi wanita perlukan suami yang berilmu & memainkan peranan yang supportive. Semuanya kena ambil tahu.
Ya, memang berat tugas suami yang baik ni.
Jangan bab jimak je khatam, bab lain kelaut. Tak usah jadi jahil sombong, dah sedar tak tahu, sila segera belajar. Sekarang semua info ilmu ini sangat mudah didapati. Tinggal nak atau taknak sahaja.
Kalau taknak belajar, jangan mengada-ngada nak kahwin. Kelak hanya menyeksa & menganiaya wanita bergelar isteri.
Ya, memang anak & isteri itu anugerah & rezeki, tetapi jangan lupa, isteri & anak-anak itu juga amanah.
Bila kata amanah, berkait rapat dengan tanggungjawab. Merangkumi nafkah kasih sayang, perlindungan, didikan agama, kenalkan dengan Allah, Nabi SAW, solat, ajar mengaji al-Quran, beri makan yang halal & baik, sediakan tempat tinggal yang selesa.
Bukannya sekadar kahwin & bangga lahirkan anak berderet tapi kemudian semua lepas tangan pada isteri bulat-bulat.
Ittaqullah! Semua ni nanti kena tanya di akhirat.
Muhasabah saya yang menulis. Sekian pesanan khidmat masyarakat. Diharap makin ramai yang cakna. InsyaAllah semua ada hikmah.
Alhamdulillah ‘ala kulli nikmah.
Nota kaki :
Penulisan ini tidak valid untuk pasangan suami isteri yang memang sepakat & mampu untuk melahirkan zuriat setiap tahun. Jika mampu zahir & batin, dipersilakan. Rasulullah SAW pun suka umatnya yang ramai sebagai penyambung rantaian dakwah & tarbiyah.
Buat yang telah sehabis merancang tetapi tetap hamil lagi, as a muslim, kita kena percaya, sekuat mana kita merancang, Allah punya perancangan yang lebih baik & ketentuan Allah jugalah yang terbaik.
Semoga yang diuji diberikan kekuatan & kesabaran. La yukallifullahu nafsan illa wus’aha. Allah jualah lebih tahu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sedih Dalam Diam Jadi Mangsa Fitnah Biras Yang Kuat Cemburu
Sedih! Hati tertanya-tanya, mengapa dirinya menjadi mangsa fitnah? Bukan orang lain, biras sendiri yang selama ini dianggap umpama adik sendiri. Ikuti perkongsian daripads seorang wanita dan luahan hatinya telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, kaunselor dan kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/mingguanwanita/?ref=bookmarks
Miliki Keluarga Bahagia
Assalamualaikum puan. Suami saya mempunyai tiga orang adik beradik yang kesemuanya lelaki. Dia anak yang tengah. Saya bersyukur kerana keluarga suami menerima saya dengan baik.
Ketika saya dan suami berkahwin, abang long sudah pun berkahwin terlebih dahulu dan sudah mempunyai dua orang anak. Manakala adik bongsunya, Zam, berkahwin setahun selepas kami berkahwin. Waktu itu saya sedang mengandungkan anak kembar saya yang kini berusia enam tahun. Di antara dua orang biras saya itu, saya lebih rapat dengan isteri abang Long, kak long.
Mungkin kerana kami sama-sama bekerja sebagai guru, jadi banyak perkara kami kongsikan bersama. Lagi pun kami turut memiliki hobi yang sama iaitu memasak dan sering kali bertukar resipi. Entah kenapa, isteri Zam iaitu Anne, kurang mesra dengan kami. Mungkin kerana dia berasakan gajinya lebih daripada kami, sering bertugas ke luar negara. Setiap kali ke luar negara, macam-macam hadiah akan dibawa untuk ibu dan ayah mentua. Untuk yang lain, diberikan key chain. Kami tak kisah dan tak rasa cemburu langsung. Dapat cenderahati pun kami dah rasa syukur sangat. Ingat juga dia pada kami.
Dingin
Pada Aidilfitri tahun lalu, saya perasan tiba-tiba saja kak long dingin dengan saya. Ketika itu giliran kami beraya di rumah mentua. Manakala Anne beraya di rumah orang tuanya. Kak long tak mesra seperti biasa. Sepatah saya tanya, sepatah dia jawab. Malah sering kali cuba melarikan diri daripada saya. Dek kerana rasa ada sesuatu yang tak kena, saya bersemuka dengan kak long.
Mulanya dia enggan bercerita tapi bila lihat saya bersungguh hendak tahu, dia buka mulut. Katanya dia sedih kerana saya sering mengata dia di belakang dan sering memburukkan dia di depan saudara mara lain. Terkejut saya bukan kepalang. Bila masa pula saya bersikap begitu? Bila saya desak lagi, akhirnya dia mengaku yang Anne memberitahunya. Ya Tuhan, saya rasa sedih, bingung, kecewa dan marah mendengarkan penjelasan kak long.
Sampai Hati Anne, Sedihnya…
Sampai hati Anne tuduh saya begitu sedangkan selama ini saya tak pernah bersikap begitu. Kenapa saya nak burukkan orang lain sedangkan diri saya sendiri pun tak sempurna. Kami umpama satu keluarga, kena terima baik buruk masing-masing dan bukan menjaja keburukan orang lain. Bila saya bersumpah, kak long dapat terima penjelasan saya. Memang dia tidak begitu percayakan Anne kerana dia tahu bukan sikap saya begitu. Tapi biasalah manusia, lama-kelamaan akan termakan juga.
Kata kak long, selama ini macam-macam Anne berkata buruk tentang diri saya tapi dia hanya diamkan saja. Dia minta saya berhati-hati dengan Anne kerana Anne seperti cemburu dengan diri saya. Cemburu kerana sepasang anak kembar saya sering jadi perhatian ramai kerana kecomelan dan kepetahan mereka. Saya tak pernah terfikir begitu. Tak pernah saya anggap anak-anak saya lebih comel dan bijak daripada anaknya yang berusia empat tahun. Mungkin sebab itu juga dia tak pernah layan anak saya dengan baik walau pun saya layan anak dia seperti anak sendiri. Rupanya dia cemburu! Sedihnya…
Suka Bandingkan
Kata kak long lagi, Anne sering membandingkan barang-barang yang saya beli. Katanya saya suka membazir membeli barang yang berjenama saja. Sedangkan saya tengok barang-barang dia jauh lebih berjenama daripada saya. Tapi saya tak pernah ada niat nak berlumba-lumba.
Kalau mampu dan saya suka, saya akan beli. Bukan niat nak menunjuk-nunjuk. Rasanya kehidupannya jauh lebih baik daripada saya. Miliki rumah besar, kereta mewah dan sering melancong ke luar negara. Berbanding diri saya yang serba sederhana. Tapi hidup saya gembira di sisi suami dan anak-anak yang menyayangi saya.
Sedih Sering Diburukkan
Saya kecil hati dan sedih dengan sikap Anne. Walau pun selama ini banyak sikap Anne yang kurang saya suka tapi saya terima saja dan tidak pernah burukkan dia depan orang lain. Tapi mengapa dia sengaja nak fitnah saya? Bila saya ingat, memang ada sepupu-sepupu sebelah suami yang rapat dengan Anne seolah-olah tidak sukakan saya. Apakah Anne telah memburukkan saya di depan mereka? Selama ini saya tak pernah nak bermusuh dengan dia, sering cuba menjaga hubungan baik kami, tapi mengapa dia seolah-olah menganggap saya ini musuhnya? Apa patut saya buat?
Risau juga kalau dibiarkan, Anne boleh memporak-perandakan hubungan saya dengan orang lain pula. Patutkah saya menegurnya secara terus terang? Perlukah saya luahkan pada suami saya? Nasib baik Aidilfitri tahun ini tak boleh rentas sempadan. Tak perlu saya jumpa mereka.
Keliru dan kecewa
Perak
SARANAN KAUNSELOR
Bercerita tentang biras dan adik-beradik merupakan satu perbincangan yang menfokuskan kepada tingkah laku yang berbagai. Kelebihan wanita adalah menghuraikan segala-galanya secara terperinci dan menyimpan segala perlakuan dalam bentuk emosi seterusnya dizahirkan dalam bentuk konflik yang berpanjangan. Konflik yang dicipta boleh menyebabkan kedua-dua pihak menjeruk rasa serta mencipta persepsi yang berbagai-bagai hasil daripada tidak berkomunikasi secara terus.
Jika dibiarkan berterusan boleh merosakkan hubungan serta menjarakkan perhubungan kekeluargaan yang terjalin. Kisah yang puan paparkan menunjukkan puan sangat terkesan daripada sikap cemburu biras puan yang membina persekitaran yang dingin dalam hubungannya dengan puan. Hati kecil puan ingin berbicara bersemuka tetapi tidak cukup kuat untuk menghadapi situasi ini. Puan semakin gelisah kerana jika dibiarkan takut puan akan berbalah dengan semua orang dalam keluarga akibat daripada fitnah ini.
Kegagalan Komunikasi
Fitnah terjadi hasil daripada dendam, buruk sangka, benci, tidak suka, dengki, cemburu serta berbagai idea negatif untuk menjatuhkan lawannya. Semua keadaan ini berlaku akibat komunikasi yang gagal serta penuh dengan persepsi sahaja. Gambaran yang sebenar tentang perlakuan dan hubungan tidak berlaku dan hasil daripada berdiam diri, mengasingkan diri atau “avoiding” maka semua keraguan tidak dapat jawapannya yang sebenarnya. Semua terjadi hasil daripada persepsi negatif dan disusuli dengan dendam kesumat yang mendalam.
Landasan kepada semua ini adalah kegagalan komunikasi yang sebenar dan iman yang semakin nipis di dalam hati. Semua ini menjadikan setiap hubungan manusia bermasalah dalam mempertahankan keegoan masing-masing. Penyelesaian kepada semua ini adalah merungkaikan jurang komunikasi dan membawa kepada perbualan atau penjelasan kepada kedudukan sebenar tentang apa yang diragui selama ini.
Mulakan strategi puan untuk mendepani masalah ini dengan bersemuka dengan Anne dan mendapatkan maklumat sebenar serta merungkaikan segala keraguannya.
Jangan Sedih, Bersemukalah!
Hindari bercakap-cakap atau memperbesarkan isu serta cuba sebaik mungkin untuk menanti masa yang sesuai untuk bertemu Anne. Jika puan mampu boleh juga berjumpa secara privasi atau berdua sahaja dengan Anne. Sebenarnya Anne belum mengenali puan dengan lebih rapat dan belum menerima puan sebagai birasnya secara keseluruhan.
Cuba bina “rapport “ dengan Anne dan fahami semuanya dengan hati yang terbuka. Terima kelebihan dan kekurangannya dan berlapang dada dengan segala yang berlaku. Anggap sebagai satu orientasi untuk mengenali biras dengan lebih dekat lagi. Mulakan dengan diri puan dan yakinlah bahawa apabila puan membuka ruang dalam hati puan untuk menerima, mengasihi, memberi kasih sayang, berkongsi dan sebagainya maka biras puan juga akan membuat perkara yang sama.
Beza Dengan Lelaki
Maka, cuba berfikir dan memberi fokus kepada masa kini seperti suami atau ipar puan menangani dan bersaudara sesama mereka. Kaum wanita terlalu memfokuskan kepada emosi dan sangat terasa dengan emosi tetapi kaum lelaki lebih melihat perkara sekarang dan akan datang. Mereka jarang membandingkan atau mengungkit masa lalu, maka hubungan kekeluargaan mereka lebih baik dan lebih realistik.
Oleh itu sesama biras puan cuba bangunkan hubungan sebegitu iaitu fokus kepada perkara sekarang dan akan datang dan kurangkan membanding-bandingkan apa yang ada sebaliknya cuba berpakat untuk kejayaan dan kecemerlangan bersama-sama. Secara tidak sedar puan dan biras membawa amanah mengasuh, membesarkan, mendidik serta memberi kasih sayang kepada generasi daripada keturunan yang sama iaitu keturunan suami puan dan biras-biras puan.
Oleh itu wajar puan dan biras-biras puan bincangkan bagaimana boleh dikongsi serta dipelajari pengalaman dan kasih sayang agar keturunan puan dan suami dibina untuk menjadi contoh kepada generasi yang seterusnya.
Fikirkan Perkara Berfaedah
Puan juga perlu berfikir kepada perkara yang lebih berfaedah dan bermanfaat kepada masa depan puan daripada memikirkan segala kata-kata biras puan. Tingkatkan pengetahuan puan dan bina pekerti mulia dalam diri puan dan anak-anak puan agar menjadi contoh kepada manusia yang lain. Usah bazirkan masa puan memikirkan perkara yang meracuni perhubungan persaudaraan puan dan biras.
Tanpa puan sedari konflik ini akan ditiru oleh anak-anak puan dan boleh menyebabkan anak-anak puan juga akan mempunyai konflik sesama sendiri. Akhirnya puan akan berbalah sesama sendiri dan kehidupan berkeluarga sudah tidak indah lagi. Puan perlu bijaksana dan keluar daripada kemelut emosi puan untuk bertoleransi dalam hubungan sesama biras ini.
Kawal Dan Bentuk
Tingkah laku manusia adalah hasil daripada gaya asuhan serta apa yang difikirkan untuk melahirkan tingkah laku tersebut, oleh itu segala yang puan fikirkan perlu dikawal dan dibentuk agar menjadi contoh teladan kepada orang lain. Yakinlah bahawa jika satu sangkaan buruk dibalas dengan seribu kebaikan maka ia akan jadi penawar kepada perhubungan. Oleh itu puan sewajarnya “stay cool” dan biarkan tingkah laku puan yang baik dan menerima segala-galanya dengan hati terbuka akan mengubah suasana ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI